
 
Kehadapan anak-anak mama yang dikasihi dan dicintai hingga ke mati; Ahmed Zaki, Ahmed Wafi dan Ahmed Lutfi....
 
  Assalamualaikum wrt.wbt.
 
  Mama harap surat ini sebagai wasiat mama pada anak-anak semua.  Mudah-mudahan semasa anak-anak membaca setiap bait dalam lembaran ini,  mama masih ada di dunia. Jika mama sudah tiada, cubalah selongkar blog  mama ini yang penuh dengan rahsia dan luahan hati mama.
 
  Pertama-tama mama nak maklumkan pada anak-anak, yang anak-anak  adalah buah hati mama. Pengarang jantung hidup mama. Anak-anak juga  pendengar dan sahabat setia mama. Anak-anak adalah nikmat hidup mama.  Pada masa yang sama. mama juga ingatkan pada diri mama bahawa anak-anak  adalah milik Allah sebenarnya. Allah bagi pinjam pada mama. Sampai bila  pinjaman itu, mama tidak tahu. Tetapi dengan doa dan usaha yang mama  ada, mama akan cuba menjaga pinjaman ini dengan seikhlas hati mengikut  apa yang termaktub dalam al Quran, Sunnah rasulullah saw dan pendapat  ulama dahulu kala.  Anak-anak pasti maklum sendiri yang mama sebenarnya  bukan seorang ibu yang sempurna. Banyak kelemahan yang ada pada diri  mama. Mama suka berleter, mama suka komplen dan mama kadang-kadang tidak  memahami jiwa anak-anak semua. 
 
  Ahmed Zaki atau "abang", mama selalu mengingatkan abang pasal akhlaq  dan tingkah laku dengan orang tua. Setiap kali abang balik ke rumah,  ada saja yang mama leteri. Dari bilik bersepah hinggalah solat  berjemaah. Mama tahu abang tidak suka mendengar leteran mama  itu.  Tetapi disebalik leteran itu mama tengok bilik dikemas dan abang pun  lesap ke surau.
 
  Ahmed Wafi atau "angah", mama selalu ingatkan angah, jangan lupa  angkat kain bila balik sekolah. Jangan lupa bawa kain baju dalam raga ke  kedai Dobi di bawah rumah kita. Angah suka pergi joging dan gymnasium  untuk menjaga kesihatan. Angah tak nak makan pisang goreng yang mama  beli sebab ianya berminyak. Mama sedih dan kecil hati maka angah makan  sekeping dua demi untuk menjaga hati mama. Sebenarnya mama yang mudah  merajuk dengan anak-anak.
 Ahmed Lutfi atau "adik", mama selalu berpesan janganlah "pongoh".  Nama Lutfi bermaksud lembut. Tetapi disebalik kepongohan itu, adik  adalah orang pertama yang akan bersiap-siap ke surau. Adik juga orang  pertama yang akan datang peluk mama bila masuk ke dalam rumah. Mama pun  cuba sedaya upaya menjadi seorang ibu yang bersabar dengan kerenah anak  yang bongsu yang sangat manja ini. Kadang-kadang mama perlu bertegas  bila hajat melampaui batas. Mama cuba menjadi seorang ibu yang kreatif  berhadapan dengan anak yang bernama Lutfi ini. 
  Maafkan mama kerana meninggikan suara, mungkin telinga mama tidak  mendengar jawapan anak-anak bila dipanggil tadi. Maafkan mama kerana  tidak dapat masak apa yang kamu hajati, mungkin mama lembap memahami  resepi atau pun mama malas hendak mengemas sinki. . Maafkan mama kerana  tidak memenuhi setiap yang kamu hajati, mungkin mama pentingkan diri  sendiri...
Anak-anak mama yang mama sayangi... Mama selalu berfikir yang suatu hari nanti, mama akan pergi bertemu  ilahi.
Jika mama sudah pergi jangan lupa mandikan jenazah mama.
Jangan  biar orang lain melihat aib mama mu ini.
Biar anak-anak sendiri yang  melihat betapa ibumu ini penuh dengan noda dunia.
Bila jenazah mama mahu  diangkat ke kubur,jangan biar orang lain mengusung mama. 
Ingat, apa  mama pesan dulu.
Seorang pegang di kepala, seorang pegang di tengah dan  seorang lagi pegang di kaki.
Sebaik saja mama akan dimasukkan ke dalam  liang lahad,
kalau muat masuklah semua anak mama untuk membuka ikatan  pada jenazah mama.
Pastikan mama berada di posisi yang betul dan  mengadap kiblat. 
Bila sudah selesai maka peganglah mama buat kali  terakhir. 
Pandanglah mama untuk ke sekian kalinya. 
Mama yang  mengandungkan kamu semua dan yang menyusukan kamu.
Tiada susu lain yg membesar dan menguatkan  tulang kamu melainkan susu dari badan mama sahaja.
Itulah nikmat yang  tidak terhingga bila dapat memeluk erat anak-anak mama.
Mama juga ingin berpesan, jika anak-anak semua mempunyai isteri  nanti atau anak-anak perempuan, jangan lupa menyayangi mereka  dengan sepenuh hati. Layanlah isteri-isteri kamu dengan penuh hormat.  Jagalah maruah mereka di depan rakan taulan atau sanak saudara ataupun  anak-anak kalian. Itulah sebaik-baik tanda yang kamu semua sayangkan  mama....
ustazahlama.blogspot
 
0 comments:
Post a Comment