Wednesday, July 10, 2013
Raya Pertama Tanpa Ibu
Sebenarnya aku tidak mahu buat entri berkaitan dengan kenangan-kenangan sedih yang melibatkan diri aku sendiri seperti entri ini. Lelaki yang korang kenal ini sangat tidak suka kepada kesedihan. Sebab itu kalau ada sesuatu yang menyedihkan berlaku aku cuba selindungkannya di sebalik wajah selamba atau hanya sekadar diam. Kadang-kadang kesedihan itu bagus juga untuk seseorang merasai keinsafan. Tetapi keinsafan itu hanya untuk diri sendiri, bukan untuk dipamerkan kepada orang lain. Setiap orang ada caranya tersendiri untuk menyerap keinsafan dalam diri masing-masing. Tak perlulah kita menilai seseorang hanya kerana penampilan luarannya saja.
Dua minggu sudah berlalu sejak menyambut Hari Raya Pertama Aidilfitri yang jatuh pada hari Jumaat, 10 September 2010. Raya tahun ini merupakan raya pertama sebagai seorang anak tanpa ibu. Ibu telah kembali ke Rahmatullah pada 31 Januari 2010 yang lepas akibat breast cancer stage 3. Lama juga arwah ibu menanggung derita, seingat aku hampir dua tahun. Banyak tempat sudah berubat tapi apa boleh buat, ajal tetap ajal. Kita hanya sekadar berikhtiar, yang menyembuhkannya adalah Tuhan Yang Esa.
Ironinya arwah ibu pergi meninggalkan aku dan tiga orang adik dua minggu sebelum anak sulungnya ini melangsungkan perkahwinan. Terkilan juga. Kalau dulu arwah ayah tidak sempat melihat anak-anaknya menamatkan pengajian di IPTA termasuk aku, kini ibu aku pula yang tidak sempat melihat anaknya berumahtangga. Niat aku untuk berumahtangga bukanlah untuk kepentingan sendiri, tapi untuk dijadikan hadiah paling berharga untuk arwah ibu dengan seorang menantu yang sangat baik dan penyayang. Ada sesetengah perkara yang tak mampu aku lakukan terhadap arwah ibu tetapi boleh dilakukan oleh isteri aku, namun tidak kesampaian.
Mungkin ada sesetengah orang berprasangka buruk atau hairan terhadap aku saat-saat majlis pernikahan aku bakal berlangsung. Aku akui tidak berjumpa dengan orang kampung secara dekat. Jemputan kahwin pun bukan aku sendiri yang uruskannya. Aku hanya mampu berterima kasih kepada ibu dan ayah saudara serta beberapa kenalan arwah ibu yang menolong menyempurnakan majlis perkahwinan aku. Dua minggu selepas pemergian arwah ibu aku sangat sibuk dengan urusan-urusan berkaitan dengan kematian, pusaka dan sekolahnya. Bahkan selepas tiga hari aku bergelar suami pun aku masih lagi sibuk menguruskan hal-hal penting berkaitan dengan arwah ibu sehingga berlanjutan selama 7 bulan. Ikutkan hati hendak saja aku tangguhkan majlis pernikahan aku tapi kad dah diedar dan beberapa persiapan dah dibuat.
Pasangan yang baru berkahwin biasanya akan ziarah rumah saudara-mara dan kenalan tapi aku dan isteri terpaksa tangguhkan aktiviti ziarah-menziarahi sebaliknya menggunakan masa tersebut untuk menguruskan hal-hal yang mesti disegerakan terlebih dahulu. Ada orang yang mengerti, tapi rasanya ramai yang tidak faham dengan situasi yang aku alami. Biarlah apa orang nak kata. Salah tanggapannya, pahala buat aku.
Berkaitan dengan adik bongsu aku pun ada yang menjadi bualan orang. Nak tinggal dengan siapa, belajar macam mana, macam-macam lagi yang difikirkan tapi tidak mahu bertanyakan sendiri kepada aku. Sebagai abang yang sulung aku dah mula fikirkan tentang adik-adik aku sejak arwah ibu masih ada lagi dalam keadaan sakit, lebih-lebih lagi untuk adik bongsu yang berusia 15 tahun. Cadangan aku dan isteri nak saja bawa dia tinggal bersama kami di KL tapi apa boleh buat kalau dia sendiri lebih selesa tinggal di kampung walaupun berseorangan. Alhamdulillah ada ibu saudara yang boleh menjaganya, sekurang-kurangnya tidaklah aku merasa risau.
Boleh dikatakan dalam sebulan ada sekali atau dua kali aku akan pulang ke kampung untuk menguruskan hal-hal berkaitan dengan harta pusaka, insurans dan macam-macam lagi yang makan masa lama untuk selesai sambil-sambil menjenguk keadaan adik aku. Balik pun cuma sehari dua saja, jadi masa tu pun agak terhad. Tambah pula aku kini bergelar suami, isteri pun masih ada keluarganya. Jadi aku perlu bahagikan masa untuk berjumpa dengan mertua. Ada sesetengah kawan yang tidak faham keadaan macam ni. Nak salahkan pun tak boleh juga. Diorang masih bujang. Nanti dah kahwin barulah faham macam mana hidupnya sebagai suami isteri.
Pengalaman pertama beraya tanpa ibu sedikit sebanyak buat hati rasa sebak, apatah lagi adik-adik aku. Tapi alhamdulillah beraya sebagai seorang suami mendapat pengalaman dan erti baru Hari Raya.
By Amirez
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment