PENGARANG kitab Shafwah al-Shafwah menceritakan seorang ahli ibadah melihat seekor burung yang selalu membawa sepotong daging setiap hari. Burung itu hinggap di atas pokok kurma.
Ahli ibadah itu hairan kerana tidak ada seekor burung pun yang mempunyai sarang di situ.
Beliau berkata: "Saya memanjat pokok itu dan melihat di sana ada seekor ular buta. Setiap kali burung itu mendekatinya, ia pun bersuara, lalu ular itu membuka mulutnya, sang burung meletakkan sepotong daging itu ke mulut ular dan kemudian terbang. Perbuatan itu dilakukannya setiap hari."
Kisah berkenaan mengajar kita bahawa kemuliaan itu terletak pada seberapa besar manfaat yang boleh diberikan kepada orang lain, manakala, kehinaan itu kerana mensia-siakan potensi dan kekuatan jasmani dan rohani yang Allah kurniakan kepada kita.
Haiwan bekerja mencari makanan tanpa tangan dan kaki yang sempurna. Tetapi, manusia masih lagi diulit mimpi angan-angan yang panjang.
Haiwan dan alam semesta semua berzikir kepada Allah, tetapi manusia sibuk melupakan Allah.
Allah berfirman menyeru kepada orang yang mengaku beriman bermaksud: "Bekerjalah kamu, nescaya Allah dan rasul-Nya serta orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (Surah al-Taubah, ayat 105)
Bekerja adalah ibadat. Bahkan, nafkah yang dihulurkan kepada ahli keluarga adalah sedekah yang paling utama. Tetapi, sifat malas sering timbul ketika melakukan jihad ini. Ia sentiasa hadir dalam kehidupan pekerja yang beriman.
Di manakah kelemahannya hingga semangat bertempur untuk mendapatkan keuntungan dunia yang halal itu menjadi kendur?
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Jika datang hari kiamat dan di tangan seorang daripada kamu ada satu bijian tanaman, maka jika dia mampu menanamnya, hendaklah dia melakukannya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Ahmad)
Semangat kerja Nabi Idris patut dicontohi. Baginda adalah seorang tukang jahit yang mencari nafkah dengan hasil usaha tangannya sendiri.
Pada suatu hari, Allah berfirman bermaksud: "Wahai Idris, tahukah kamu mengapa Aku mengangkat darjatmu hingga ke tempat yang sangat tinggi? Seperti firman Allah bermaksud: "Dan kami mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi." (Surah Maryam, ayat 57).
Nabi Idris menjawab: "Saya tidak tahu wahai Tuhanku." Allah berfirman: "Setiap hari amalanmu terangkat ke sisi-Ku seperti setengah amalan penduduk dunia ini kerana kamu banyak berzikir.
Allah berfirman yang maksudnya: "Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh." (Surah Fatir, ayat 10)
Demikianlah keutamaan Nabi Idris kerana setiap kali baginda menusukkan jarumnya, pasti kalimah zikrullah yang empat diucapkan iaitu Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, wa Allahu Akbar.
Pekerjaan yang dilakukan sambil berzikir sungguh berat timbangannya di sisi Allah dan boleh menyuntikkan semangat untuk berjaya semata-mata kerana keredaan Allah.
Zikir adalah amalan yang paling mudah dan ringan tetapi amat berat pahalanya. Syaikh al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyah dalam kitab agungnya, Majmu' al-Fatawa menyatakan � amalan yang paling utama selepas amalan yang fardu adalah zikrullah.
Dalam hadis sahih riwayat al-Imam Ahmad dan at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kamu aku tunjukkan amalan paling utama dan yang paling bersih di sisi Allah? Lebih baik daripada kamu bertemu dengan musuh-musuhmu, lalu kamu memenggal leher mereka dan mereka juga memenggal leher-lehermu?" Sahabat menjawab: "Tentu wahai Rasulullah SAW." Rasulullah SAW bersabda: "Zikrullah."
Demikianlah zikir yang dilakukan. Ia tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat.
Ia tidak dibatasi oleh waktu dan tempat. Di mana dan bila-bila saja dan dalam keadaan apa pun, ibadat ini boleh dilakukan. Sungguh senang tetapi ramai manusia yang meninggalkannya.
Al-Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan: "Baginda memberi petunjuk supaya berzikir dalam setiap ucapan, tindakan, tarikan nafas, kala berdiri, duduk dan berbaring, gerak geri baginda adalah zikir kepada Allah."
Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang paling sibuk dengan dunianya dan paling bersedia untuk bekalan akhiratnya.
Baginda adalah ketua negara yang amanah, mahaguru yang dihormati, pakar motivasi, jeneral perang dan penganalisis politik yang hebat. Rasulullah SAW juga ketua rumah tangga yang adil, pendakwah yang karismatik, ayah penyayang dan saudara lelaki penyantun.
Seluruh masa dan tenaga dikerahkan untuk memastikan mereka yang hidup di sisi Baginda mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.
Begitu juga dengan kita yang memenuhi hari-hari dengan kerja dan zikrullah, pastikanlah ia tidak terhenti kecuali kedua-dua kaki ini sampai di pintu kenikmatan tertinggi, syurga abadi!
INTI PATI
Berkat berzikir
Bekerja adalah ibadat kerana nafkah yang dihulurkan kepada ahli keluarga adalah sedekah paling utama.
Ia tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat malah tidak dibatasi waktu atau tempat.
Haiwan dan alam semesta berzikir kepada Allah.
0 comments:
Post a Comment