September 2, 2001
Mukadimah
WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS adalah seorang anak yatim miskin dari Kota
Bharu, Kelantan. Dia baru berusia 22 tahun tetapi telah melalui
liku-liku kehidupan yang menyedihkan.
Kedua-dua ibu bapanya sudah pun meninggal dunia, dan kerana latar
belakang itu apabila dia melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi
Malaysia (UTM) di Skudai pada tahun 1998, dia menjadikan pertubuhan
pelajar Islam di UTM sebagai tempat berlindung.
Malangnya tanpa disedari, dia telah terjebak dalam satu gerakan bawah
tanah yang sistematik oleh para penyokong parti pembangkang di
universiti itu untuk menanamkan kebencian pelajar Melayu-Islam terhadap
kerajaan.
Melalui kaedah brainwash dan ugutan dalam sesi usrah dan tamrin, Wan
Noor Hayati dipujuk untuk menentang kerajaan, diapi-apikan perasaan
marahnya terhadap UMNO dan akhirnya dia terlibat membantu parti-parti
pembangkang berkempen dalam pilihan raya umum 1999.
Dalam interviu dengan wartawan BAHAROM MAHUSIN, gadis yang hidup
sebatang kara itu meluahkan kekesalannya. Dia gagal dalam pelajarannya
di UTM. “Hidup saya telah dianiayai oleh gerakan bawah tanah ini,”
katanya.
Mingguan: Apakah latar belakang saudari sebelum terpedaya dengan gerakan sulit penyokong pembangkang di universiti?
WAN NOOR HAYATI: Saya menerima tawaran memasuki UTM pada tahun 1998. Saya adalah anak yatim piatu. Saya telah kematian ayah sejak tahun 1993.
Pada bulan Jun tahun 1998 ketika saya baru beberapa minggu di
universiti, ibu saya pula meninggal dunia. Ini menjadikan saya hidup
sebatang kara.
Ketika saya baru memasuki UTM, saya telah mendaftarkan diri menyertai
Persatuan Mahasiswa Islam. Saya kira wajarlah saya masuk persatuan itu
sebab namanya Islam dan saya pun orang Islam.
Saya masuk persatuan itu dengan matlamat hendak membina diri saya
sebagai seorang Islam yang lebih baik. Sebelum itu saya tidak tahu
apa-apa mengenai apa yang berada di sebalik tabir Persatuan Mahasiswa
Islam ini.
Yang saya tahu moto persatuan itu ialah membantu membimbing orang
Islam. Oleh kerana latar belakang saya sebagai pelajar baru yang yatim
piatu, saya telah diambil sebagai anak usrah persatuan berkenaan.
Kenapa saudari diambil sebagai anak usrah?
WAN NOOR HAYATI: Pada masa itu mereka menganggap saya sebagai
anak usrah yang bermasalah. Saya tidak mempunyai ibu bapa dan tempat
tinggal yang tidak menentu. Saya cuma tinggal di dalam kampus. Kebajikan
saya tidak terjaga dan saya kesempitan wang kerana pada awal kemasukan
saya ke UTM, saya tidak mendapat pinjaman.
Cuma selepas dua bulan barulah saya memperoleh pinjaman. Keadaan itu
memberikan saya bermacam-macam tekanan. Saya pun terasa terhutang budi
dengan persatuan itu kerana mereka telah memberikan saya seorang kakak
angkat yang selalu ambil tahu fasal saya.
Kakak angkat itu berada dalam tahun berapa di UTM?
WAN NOOR HAYATI: Pada masa itu dia belajar di tahun empat
dalam jurusan kejuruteraan mekanikal. Dia jaga saya dengan baik. Dia
memakai tudung labuh, pakaiannya bersopan. Apa yang disampaikannya
kepada saya lengkap dengan hujah hadis dan al-Quran, dan ini mendorong
saya untuk bergiat aktif dalam persatuan itu.
Tambahan pula pada masa itu saya telah tidak ada ibu bapa. Saya tiada
benda hendak dibuat. Dengan itu saya menghabiskan masa saya dengan
persatuan itu yang saya fikir dapat membantu saya.
Selepas itu saya lihat mereka ambil anak-anak usrah yang bermasalah.
Semua anak usrah itu berbangsa Melayu, beragama Islam, mereka yang ada
masalah akademik dan sosial, mereka yang dulu jahat sekarang hendak jadi
baik, mereka yang ada masalah peribadi dan keluarga.
Saya lihat orang yang ada masalah seperti saya mereka ambil kerana
mereka fikir mereka boleh makan kami untuk berkhidmat dan memberi
komitmen kepada persatuan itu bagi satu gerakan sulit lain. Waktu itu
saya tidak tahu lagi dan belum didedahkan dengan gerakan sulit yang
dipanggil Hizbi Islami itu yang merupakan sebuah gerakan bawah tanah
tidak berdaftar yang berada di belakang persatuan berkenaan.
Gerakan itu menjalankan tamrin-tamrin untuk mempengaruhi pelajar. Ada
lima tamrin yang dilaksanakan secara berperingkat. Saya sempat
menyertai tiga daripadanya.
Apakah yang berlaku dalam tamrin-tamrin tersebut?
WAN NOOR HAYATI: Sebagai anak usrah yang berada dalam tahun
satu UTM pada tahun 1998, saya diminta menyertai tamrin-tamrin itu.
Melalui tamrin itu, mereka hendak tunjukkan kepada kita fikrah-fikrah
yang terdapat di Malaysia. Fikrah itu adalah mengenai pegangan
parti-parti politik yang mesti kita ikuti.
Semasa di dalam ceramah atau perbincangan tamrin, adakah disentuh soal politik?
WAN NOOR HAYATI: Ya, memang disentuh tetapi kita tidak nampak
kerana ia disentuh secara halus. Baru sekarang saya sedar, rupa-rupanya
mereka memang banyak selitkan benda itu. Mereka mempengaruhi kita
mengenai politik secara psikologi dengan mengatakan wadah perjuangan
Islam itu adalah perjuangan kerana Allah dan ia mesti diletakkan di
tempat teratas.
Dalam tamrin itu, penganjur-penganjurnya menggambarkan musuh orang
Islam adalah orang Islam sendiri dan musuh orang Melayu adalah orang
Melayu sendiri. Mereka bariskan jemaah dan fikrah yang harus dipilih
seperti ABIM, JIM, Pas, UMNO.
Maknanya mereka cuba menunjukkan kebaikan dan keburukan setiap
jemaah itu untuk pelajar-pelajar yang terlibat dalam tamrin memilih?
WAN NOOR HAYATI: Ya. Mengenai UMNO, mereka cuba tunjukkan UMNO
sejahat yang mungkin. Mereka kata bahawa UMNO suka bina bangunan yang
besar tetapi lupa kepada rakyat yang miskin.
Inilah rupa UMNO yang mereka tunjukkan. Manakala Pas pula mereka
gambarkan sebagai wadah Islam yang menggunakan al-Quran, berpegang
kepada prinsip Islam dan hukum hudud. Mereka kata hukum Islam itu patut
diletakkan di tempat yang atas; mereka tunjukkan seolah-olah Pas itu
sahaja yang baik. Pertubuhan-pertubuhan Islam lain dianggap sebagai
berada pada peringkat pertengahan seperti JIM dan ABIM.
Berapa besar kumpulan tamrin yang saudari sertai?
WAN NOOR HAYATI: Amat besar sebab dalam tamrin yang saya
hadiri pada tahun pertama, mereka mengambil beberapa ratus orang pelajar
dan lebih 80 peratus daripada pelajar itu adalah penuntut tahun
pertama.
Bagaimanakah aktiviti tamrin itu dijalankan di UTM?
WAN NOOR HAYATI: Setiap aktiviti gerakan sulit itu telah diluluskan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTM.
Semasa kertas kerja program itu dibentangkan, semuanya memang elok,
jadi HEP luluskan sahaja dan beri peruntukan untuk melaksanakan program
berkenaan. Tetapi apabila program itu dijalankan, semuanya berubah dari
segi tempat dan waktu.
Pada tahun 1998, tamrin pertama yang saya sertai yang dinamakan Tamrin Jelas Fikrah diadakan di luar universiti.
Kami disuruh pergi ke satu tempat yang dirahsiakan pada waktu malam
selepas sembahyang isyak dengan bas UTM. Kami tidak tahu ke mana kami
dibawa dan kami tidak dibenarkan bertanya. Kami hanya naik bas dan
dibawa tanpa kami tahu arah tujuan.
Sampai sekarang saudari tidak tahu ke mana tempat saudari dibawa dalam Tamrin Jelas Fikrah?
WAN NOOR HAYATI: Saya tidak tahu. Cuma yang saya pasti ialah
tempatnya macam ladang kelapa sawit, kadang-kadang ia macam berdekatan
dengan laut. Gambaran yang saya dapat ialah tamrin pertama yang saya
sertai pada tahun 1998 dibuat di sebuah madrasah dalam sebuah kawasan
kebun kelapa sawit.
Berapa jam perjalanan ke tempat itu?
WAN NOOR HAYATI: Agaknya dua tiga jam. Kami berkumpul semasa
sembahyang maghrib dan bertolak selepas isyak. Apabila kami sampai ke
tempat itu menjelang tengah malam, kami terpaksa berjalan kaki masuk ke
dalam hutan.
Berapa jauh saudari dan rakan-rakan berjalan kaki dari jalan besar?
WAN NOOR HAYATI: Agak-agaknya dalam dua kilometer.
Di kiri kanan, apa yang saudari nampak?
WAN NOOR HAYATI: Pokok-pokok kelapa sawit, dan tempatnya saya
tidak pasti. Tetapi saya rasa ia terletak berdekatan dengan hutan kerana
saya dengar mereka hendak tamrin itu dibuat dengan cara ala komando.
Saya pernah dengar ia dibuat di Kota Tinggi dan Mersing, tetapi saya
tidak tahu di mana tempatnya.
Sepanjang perjalanan, adakah saudari dapat lihat sebarang penunjuk jalan?
WAN NOOR HAYATI: Tidak ada. Perjalanan dibuat pada waktu
malam. Apabila sampai, kami terus turun dari bas. Mereka letakkan kami
di kawasan pedalaman bagi memastikan kami tidak tahu di mana tempat
tamrin itu berlangsung.
Modul-modul yang diberi semasa tamrin juga diambil semula. Kami tidak
dibenarkan menyimpan apa-apa dokumen. Saya dapat tahu kemudian bahawa
ia dibuat begitu supaya rahsia boleh dijaga. Sebelum kami keluar dari
tempat itu, yang juga dibuat pada waktu malam, kami dipaksa bersumpah
memilih sebuah parti politik dengan menyebut nama Allah.
Saudari memilih untuk berpegang kepada parti itu kerana terpaksa atau dengan kerelaan sendiri?
WAN NOOR HAYATI: Saya terpaksa kerana semasa tamrin, parti itu
sahaja yang ditunjukkan kepada kami sebagai baik. Saya dan para pelajar
tahun pertama lain menjadi keliru. Kami takut dan terpaksa membiarkan
kami dibrainwash.
Berapa hari saudari berada di sana?
WAN NOOR HAYATI: Saya berada di sana selama tiga hari dua malam. Pada malam terakhir kami berpuasa dan menjalankan aktiviti ala komando.
Waktu itu mereka kata mereka hendak bekalkan kami dengan senjata
kerana ada orang memberi syarahan mengatakan umat Islam di Ambon,
Indonesia dibunuh kerana orang Islam tidak pandai mengendalikan senjata.
Selama di sana mereka mengawal kami secara psikologi. Waktu itu kami
banyak bertanya soalan tetapi mereka seolah-olah tidak menjawabnya.
Mereka meninggalkan kami dalam keadaan keliru. Kami bersumpah di sana
untuk menyokong perjuangan Islam gerakan sulit itu dengan nama Allah.
Berapa ramai yang bersumpah?
WAN NOOR HAYATI: Ramai, kami bersumpah di hadapan barisan
pemimpin gerakan itu yang kami tidak diberitahu siapa nama mereka. Cuma
yang kami tahu ialah mereka orang luar.
Mereka orang muda atau orang tua?
WAN NOOR HAYATI: Mereka berusia dalam lingkungan 30-an dan
40-an tapi saya percaya mereka kebanyakannya adalah bekas pelajar
universiti atau pelajar tahun akhir.
Bagaimana perwatakan mereka?
WAN NOOR HAYATI: Semuanya baik. Wanitanya bertudung labuh
dengan pakaian berwarna gelap dan lelakinya pula berkopiah. Kami tidak
diberitahu siapa penceramah yang datang dan identiti mereka. Selepas
bersumpah, kami diletakkan kononnya di satu tempat rahsia. Maknanya
kalau kami bocorkan tempat rahsia itu bermakna kami tidak taat dan kami
akan ditimpakan bala oleh Allah.
Jadi perasaan takut terhadap apa yang akan diturunkan oleh Allah
telah wujud dalam diri kami. Saya difahamkan kemudian bahawa semasa
dibentangkan kepada HEP UTM, majlis itu dinamakan Seminar Pemantapan
Akidah tetapi apabila dilaksanakan, ia telah menjadi satu program lain.
Daripada beratus-ratus orang pelajar baru yang mengikuti Tamrin
Jelas Fikrah tadi, apa yang terjadi kepada mereka apabila mereka kembali
ke kampus?
WAN NOOR HAYATI: Ada yang menarik diri terus daripada
Persatuan Mahasiswa Islam. Mungkin pegangan mereka masih kuat lagi dan
masalah mereka tidak seteruk yang lain. Mereka mungkin masih lagi mampu
berfikir secara rasional.
Bagaimanapun, dalam kes saya dan beberapa pelajar lain yang menjadi
pengikut kuat, kami tidak ada tempat bergantung. Jadi saya terus
terlibat secara tidak sedar dalam Persatuan Mahasiswa Islam.
Apakah yang berlaku selepas itu?
WAN NOOR HAYATI: Sesuatu yang aneh selepas tamrin pertama
ialah kami seolah-olah telah diberi suntikan fikiran supaya memegang
rahsia gerakan. Kami cuma bertemu seminggu sekali. Tidak lama kemudian,
saya dipanggil sekali lagi untuk menyertai tamrin peringkat kedua yang
dinamakan Tamrin Walaq. Walaq bermakna ketaatan kepada pemimpin.
WAN NOOR HAYATI: Ia dibuat pada cuti semester.
Di manakah tempatnya kali ini?
WAN NOOR HAYATI: Tempatnya berlainan tetapi cara dan bila kami
bertolak dan cara identiti tempat itu disembunyikan adalah sama. Kali
ini tempatnya adalah kawasan pantai. Saya tidak tahu di mana, mungkin di
Mersing.
Apabila saya menerima surat jemputan itu, saya cuba mengelak kerana
saya ada ujian. Saya juga berasa marah kerana mereka asyik memilih saya
sedangkan pada waktu itu saya sedang cuba menyesuaikan diri dengan
keadaan ketiadaan ibu bapa, tetapi mereka datang ke bilik saya mengajak
saya secara halus dengan mengatakan kita berjuang kerana Allah dan Allah
pasti akan membalasnya.
Oleh kerana mengenangkan jasa kakak angkat saya, dan diberitahu
kononnya majlis itu dinamakan Kem Penghayatan Islam, maka saya pun
pergi.
Apabila sampai di sana baru saya tahu majlis itu dipanggil Tamrin
Walaq yang tujuannya untuk membina kesetiaan kami. Selepas tamrin itu,
mereka menanamkan pada kami cara menjaga rahsia. Para peserta yang tidak
dapat menjaga rahsia akan direndam dalam air laut. Saya sendiri telah
direndam selama hampir tiga jam dari pukul 3 pagi hingga pukul 5.30
pagi.
Mengapakah saudari direndam?
WAN NOOR HAYATI: Dalam satu aktiviti tamrin yang dijalankan,
kami kena sampaikan mesej tertentu kepada amirah (ketua wanita) tapi
kami tidak diberitahu siapa amirah itu. Dalam aktiviti itu mereka
wujudkan beberapa pengacau bagi mengelirukan amirah yang sebenar. Jadi
kerana terkeliru, kami mendedahkan rahsia mesej itu kepada amirah yang
salah.
Kerana seorang ahli tidak dapat menjaga rahsia, kumpulan saya seramai 30 orang semuanya telah direndam dalam air laut.
Berapa ramai yang terlibat dengan tamrin kali kedua ini?
WAN NOOR HAYATI: Pelajar perempuan ada kira-kira 30 orang.
Jumlahnya lebih kecil selepas tamrin kali pertama kerana mereka telah
membuat tapisan ke atas siapa yang mereka boleh percayai.
Apa terjadi kepada pelajar yang mengikuti Tamrin Walaq apabila mereka balik ke kampus?
WAN NOOR HAYATI: Kami lebih taat kepada pemimpin tanpa usul
periksa. Contohnya saya sendiri telah diarahkan untuk membuat
kerja-kerja membantu parti pembangkang dalam pilihan raya umum bulan
November 1999 di Batu Pahat, Rengit, Kluang dan Mersing.
Dua bulan sebelum pilihan raya umum itu, saya telah pun menghadiri
satu taklimat pilihan raya di sebuah markas parti politik di Pulai,
Johor.
Ketika itu saudari berada pada tahun berapa pengajian?
WAN NOOR HAYATI: Saya berada pada tahun kedua. Waktu itu
pelajaran saya amat merosot kerana terlalu menumpukan kepada gerakan
itu. Keputusan saya dalam peperiksaan bulan Disember 1999 iaitu selepas
pilihan raya umum itu amat-amat teruk. Ketika itu saya betul-betul
terbeban.
Apakah yang dibebankan?
WAN NOOR HAYATI: Saya terbeban kerana saya telah dilatih
menerima arahan tanpa merungut. Saya seolah-olah telah menjadi seperti
komputer yang diprogramkan dan motonya adalah berjuang kerana Allah.
Hanya selepas itu baru saya tahu bahawa saya secara diam-diam telah
terlibat dalam satu gerakan sulit yang dinamakan Hizbi Islami.
Berapa kerap perjumpaan Hizbi Islami itu dibuat?
WAN NOOR HAYATI: Perjumpaan sulit Hizbi Islami dibuat setiap
minggu di aras bawah masjid UTM untuk membincangkan isu-isu gerakan.
Misalnya, bagaimana hendak tarik pelajar-pelajar lain masuk Hizbi
Islami, bagaimana mengatasi masalah pelajar yang cuba menarik diri
daripada taat kepada Hizbi Islami. Saya telah jadi teramat takut. Setiap
minggu kami dibrainwash dalam perjumpaan itu. Saya adalah bendahari
Lujnah Ekonomi Hizbi Islami UTM.
Adakah pihak universiti tahu aktiviti itu?
WAN NOOR HAYATI: Saya rasa mereka tahu atau mereka buat-buat
tidak tahu. Gerakan ini sudah lama bertapak, saya fikir sudah lebih
daripada 10 tahun memandangkan Hizbi Islami sudah mempunyai barisan
pelapis.
Daripada penglibatan dalam Hizbi Islami inilah, pemilihan seseorang
dibuat untuk bertanding dalam pilihan raya universiti dan menentukan
siapa yang bakal menjadi pemimpin persatuan-persatuan pelajar Islam.
Mengenai kerja-kerja semasa pilihan raya umum 1999, bolehkah saudari jelaskan apa yang saudari lakukan?
WAN NOOR HAYATI: Saya melakukan kerja-kerja menaip teks-teks
propaganda pembangkang, merentang kain sepanduk, memeriksa daftar
pemilih menggunakan komputer, berkunjung dari rumah ke rumah dan
melakukan kerja-kerja lain.
Berapa ramai pelajar UTM terlibat?
WAN NOOR HAYATI: Saya tidak pasti kerana kami diarahkan pergi ke tempat-tempat yang berlainan.
Apakah perbezaan antara Persatuan Mahasiswa Islam dan Hizbi Islami?
WAN NOOR HAYATI: Mereka adalah daripada kumpulan yang sama
tetapi ada di kalangan mereka yang bergerak dalam Persatuan Mahasiswa
Islam tidak tahu kewujudan Hizbi Islami.
Maklumat-maklumat yang saya terima ialah kebanyakan pelajar
universiti yang ditangkap dalam mana-mana demonstrasi di seluruh
Malaysia adalah anggota PMI dan Hizbi Islami.
Bagaimana saudari tahu tentang Hizbi Islami?
WAN NOOR HAYATI: Selepas Tamrin Walaq berakhir, mereka
berusaha menyediakan barisan pelajar yang bakal bertanding dalam pilihan
raya kampus UTM. Dalam pilihan raya pelajar itu, kami diarahkan supaya
menyokong calon-calon kumpulan Barisan Alternatif (BA) dalam pilihan
raya kampus dan bukannya calon-calon mahasiswa yang menyokong kerajaan
dan UMNO.
Semasa pilihan raya umum 1999, adakah saudari sedar apa yang saudari lakukan?
WAN NOOR HAYATI: Saya tidak pasti tentang apa yang saya buat
tetapi saya tidak boleh tanya apa-apa kepada mereka. Kami hanya
pengikut. Kami telah menjadi manusia yang diprogramkan.
Ketika itu kalau diletakkan pedang di leher kami pun kami tidak takut
kerana kami diajar bahawa kalau kami mati semasa membuat kerja-kerja
itu, kematian kami itu nanti adalah mati syahid.
Sesetengah kami juga diajar menipu ibu bapa dengan tidak memberitahu mereka kami pergi membantu kempen pilihan raya.
Semasa kempen pilihan raya itu, kami tidak dibenarkan memakai tudung
labuh seperti semasa di universiti. Kami diminta memakai baju kurung
berwarna-warni dan bertudung biasa kerana menurut orang yang membawa
kami ke sana, jika kami berpakaian tudung labuh, kami sukar diterima
umum.
Kami dibolehkan berpakaian sedemikian hanya pada waktu pilihan raya untuk tujuan penyamaran.
Semasa dalam kempen itu, adakah saudari berjumpa dengan mana-mana pemimpin pembangkang?
WAN NOOR HAYATI: Ya, saya ada berjumpa dengan calon wakil
rakyat pembangkang di sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri tetapi dia
tidak tahu siapa kami. Kami juga diminta menjaga rahsia dan taat dengan
tidak mendedahkan identiti kami.
Kuasa baiah yang kami buat semasa tamrin dulu begitu kuat hingga kami sanggup menipu kononnya untuk jihad.
Apa yang berlaku selepas saudari balik ke universiti apabila pilihan raya umum 1999 selesai?
WAN NOOR HAYATI: Kami melakukan aktiviti mingguan seperti
selalu dan memikirkan program-program untuk menarik pelajar baru
meneruskan perjuangan Hizbi Islami.
Hizbi Islami ini bukan organisasi formal dan ia tidak diketahui ramai. Adakah ia sebuah pertubuhan yang besar?
WAN NOOR HAYATI: Ia tidak besar dari segi aktivis tetapi
mempunyai pengaruh yang kuat ke atas program agama di kampus dan ke atas
pertubuhan-pertubuhan pelajar Islam peringkat universiti dan
kebangsaan.
Apakah yang Hizbi Islami lakukan bagi menarik pelajar-pelajar menerima ideologinya?
WAN NOOR HAYATI: Ia dibuat melalui matlamat perjuangannya
menentang UMNO dan berjuang bagi membantu parti pembangkang tertentu
tetapi mereka tidak menggunakan nama parti itu dalam kempen-kempen di
universiti.
Bilakah saudari keluar daripada Hizbi Islami?
WAN NOOR HAYATI: Pada akhir bulan Mac tahun 2000, kira-kira
empat bulan selepas pilihan raya umum 1999 berakhir. Ketika itu saya
sudah hampir-hampir gagal dalam peperiksaan saya di UTM. Saya telah
dipulihkan oleh seorang juru kaunseling di UTM. Selepas itu saya diajak
semula memasuki Hizbi Islami tetapi saya tidak mahu dan saya menerima
banyak ugutan, pujukan dan panggilan telefon. Mereka ugut saya dengan
berkata saya akan diturunkan bala oleh Allah kerana saya tidak taat lagi
kepada mereka.
Adakah saudari berani bertanggungjawab atas semua yang saudari ceritakan kepada saya ini?
WAN NOOR HAYATI: Saya berani demi kebaikan anak bangsa saya sendiri.
Apakah yang saudari paling bimbangkan dengan gerakan sulit ini? Apa akan terjadi jika ia dibiarkan?
WAN NOOR HAYATI: Pelapis-pelapis gerakan ini apabila mereka
keluar nanti akan menjadi pemimpin yang boleh membuat huru-hara seperti
di Ambon. Mereka boleh membunuh sesama sendiri seperti di Afghanistan.
Mereka akan jadi radikal dan terlibat dalam kumpulan ekstremis.
Kenapa kerajaan patut berbuat sesuatu untuk membanteras gerakan sulit ini?
WAN NOOR HAYATI: Saya takut jika satu tindakan tegas tidak
dilakukan, masa depan golongan muda Melayu-Islam di negara ini akan
dihancurkan sedangkan merekalah yang akan memimpin negara pada masa
depan. Bayangkan apa yang bakal terjadi jika mereka telah dibrainwashkan
sejak mereka di universiti.
Apakah nasihat saudari kepada pelajar-pelajar universiti?
WAN NOOR HAYATI: Mereka patut berhati-hati dalam membuat
pilihan semasa mula-mula masuk universiti. Saya menasihatkan mereka
supaya berfikir secara rasional. Jangan jadi mangsa seperti saya
sehingga pelajaran saya terbengkalai.
Gerakan mereka ini dibuat secara sulit, terancang tetapi tidak secara
terang-terangan. Benda yang tidak dibuat secara terang-terangan
biasanya mengandungi kejahatan.
0 comments:
Post a Comment