Tuesday, August 27, 2013
Jalan Keluar Pada Masalah
Assalammualaikum…….
Sebelum saya meneruskan perbincangan jalan keluar
kepada masalah ini, saya ingin mengambil kesempatan
masa yang sangat terhad ini meminta kepada semua
ahli-ahli yang telah meminta saya menyelesaikan
masalah mereka dapatlah kiranya anda semua merenung
dan muhasabah diri kita dan keluarga kita dengan
masalah yang kita hadapi sekarang dengan tajuk yang
saya bawa hari ini.
Sebagai contoh kenapa dan mengapa masalah itu timbul,
seperti keluarga berpecah belah, isteri tidak taat
suami, suami yang panas baran, ada ahli keluarga
kahwin lari, ada mengandung anak luar nikah dan seribu
satu macam masalah. Kalau kita hendak bincang isu ini,
satu hari tidak selesai jadi kesimpulannya jawapan
ringkas kepada masalah-masalah tuan-tuan dan puan-puan
semua ke atas email-email yang anda semua minta saya
selesaikan.
Setiap manusia termasuklah diri saya tidak boleh lari
daripada ujian. Samada dia rakyat biasa, atau
keturunan raja, orang bijak atau orang bodoh, orang
miskin ataupun kaya, beriman ataupun tidak beriman
dengan Allah, semuanya pasti diuji oleh Allah swt.
Ujian pula ada berbagai macam bentuknya. Ujian
kesusahan, kemiskinan, kesakitan, ketakutan, bencana
alam dan seribu satu macam lagi bentuk ujian yang
Allah swt datangkan pada kita. Ujian-ujian ini
semuanya menimbulkan masalah pada kita. Sebab itu bila
seseorang itu punya masalah, hakikatnya dia sedang
diuji oleh Allah swt. Bagi orang mukmin ujian adalah
merupakan khabar gembira buat mereka tetapi derita
bagi orang yang sebaliknya. Gembiranya orang mukmin
diuji kerana mereka faham dan yakin bahawa dengan
ujian itu Allah mahu menghapuskan dosa-dosa mereka.
Mereka gembira kerana dosa-dosa mereka akan disapu
bersih oleh Allah melalui sifat redha dan sabar mereka
dalam berhadapan dengan ujian. Dalam Al Quran surah Al
Imran Allah berfirman maksudnya:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga
padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang
berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang
yang sabar.”
Ganjaran bagi mereka yang sabar dengan ujian ini
adalah tidak terkira banyaknya sepertimana firman
Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan
pahala tanpa hisab.”
Allah memberi kita peluang untuk dapatkan pahala sabar
yang tidak terkira banyaknya ini hanya melalui ujian
yang sebenar yang Allah datangkan pada kita. Betapa
pemurahnya Allah! Ujian yang sebentar itu Allah bayar
dengan Syurga yang kekal abadi. Kita tanggung
kesusahan dan penderitaan hanya sekejap sedang
gantinya adalah nikmat yang kekal.
Kalau begitu soalnya mengapa dan kenapa kita tidak
boleh sabar? Atau sengaja tidak mahu sabar? Siapakah
kita hendak berani memberontak dengan Allah?
Keluh-kesah, merungut-rungut, mengadu-ngadu,
gundah-gulana dan merapu-rapu bila diuji oleh Allah.
Mengapa dan kenapa begitu berani kita demonstrasi
dengan Allah sedangkan asal kita adalah dari setitik
air mani yang hanyir. Yang kalau Allah tidak mahu
jadikan kita sebagai manusia sempurna maka cacatlah
kita atau jika Allah tidak mahu jadilah kita maka
tiadalah kita.
Begitulah lemahnya kita dan tidak ada apa pun istimewa
kita ini untuk dilihat oleh Allah melainkan jika kita
bertaqwa di sisi Allah. Firman Allah swt yang
bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah
itu ialah orang yang paling bertaqwa.”
Justeru itu, marilah kita usahakan sungguh-sungguh
agar kita dikurniakan oleh Allah dengan sifat taqwa.
Hingga kita boleh rasa terhibur dengan ujian. Bahkan
rasa bimbang dan risau pula jika Allah tak datangkan
ujian kerana takut-takut itu merupakan kutukan Allah
ke atas kita. Allah kutuk kerana buruknya akhlak kita,
derhakanya kita dan kurang ajarnya kita kepada Allah.
Inilah yang menyebabkan para muqarrobin menangis.
Inilah yang menyebabkan mereka boleh berbuat baik jika
orang berbuat jahat terhadap mereka. Para ahlillah
tidak nampak orang yang menyusahkan mereka, tetapi
yang dia nampak adalah af’al ataupun berbuatan Allah.
Tidak hairanlah jika Hassan Al Basri boleh memberi
hadiah kepada tiap-tiap orang yang mengumpatnya. Bila
ditanya orang, “Kenapa kamu berbuat demikian?”
Dijawabnya, “Allah mahu aku ganjaran Syurga dengan
umpatan mereka. Pahala kebaikan mereka diberikan
padaku dan kejahatan aku mereka ambil, maka salahkah
aku jika kubalas dengan pemberian yang sekecil ini?”
Begitu pandangan tembus orang soleh. Mereka nampak
yang tersirat, bukan hanya yang tersurat. Pandangan
mereka jauh menjangkau ke alam Akhirat, alam yang
tidak nampak dan tidak boleh dilihat, tetapi bagi
mereka, seakan telah dilihat. Allah berikan kepada
mereka hasil dari sifat taqwa mereka. Ini membuktikan
jika kita dapat mencapai tahap taqwa, nantinya Allah
akan kurniakan ilmu pada kita. Ilmu dari Allah
sebagaimana penegasan Allah dalam Al Quran:
“Bertaqwalah nescaya Allah akan mengajar kamu.”
Alhasil, bilamana kita bertaqwa kepada Allah semua
masalah akan selesai. Bila diuji kita akan sabar. Apa
sahaja ketentuan Allah kita akan terima dengan redha.
Nikmat yang Allah kurniakan pada kita akan kita
syukuri dan kemuncak dari itu semua ialah pertolongan
dan bantuan daripada Allah yang tidak putus-putusnya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Allah menjadi pembela orang-orang yang bertaqwa.”
langitbarzakh.blogspot
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment