Duhai teman seperjalanan, di sepanjang jalan kehidupan. Mengapa kita perlu berduka, kala ketentuan mengunjung tiba? Mengapa kita perlu bersedih, kala dirimu ingin dikasih? Perjalanan ini, suatu pembuktian. Kehidupan ini, suatu komunikasi. Komunikasi antara sang hamba dengan Ilahi.
Manusia sering gundah, resah, gelisah dan bermacam-macam lagi kerenah, tatkala dikunjungi oleh ketentuan Allah s.w.t.. Kala kita diuji dengan bebanan kehidupan, mengapa kita sering melupakan Dia yang menurunkan ujian? Mengapa kita terpaku khayal dalam tempurung ketentuan?
Duhai teman seperjuangan di sepanjang perjalanan kehidupan. Manusia bersedih kerana tidak melihat bebanan kehidupan sebagai simbol kasih. Manusia bersedih tatkala dilanda musibah, kerana tidak melihat di sebaliknya wujud Allah yang Maha Pemurah.
Bahkan, manusia mudah kecewa dalam kehidupan, kerana tidak melihat dalam diri adanya unsur kehambaan. Manusia mudah lalai dalam kesenangan, kerana tidak melihat dalam usianya, ada tempoh kesudahan. Manusia yang semacam ini, sering berputar antara lalai dan kecewa. Pada hakikatnya, mereka sentiasa resah dalam suka dan duka.
Takkala mendapat kesenangan yang membuatkannya gembira dan suka, dia sentiasa resah jika kesenangannya hilang serta-merta. Dia takut nikmat yang dimilikinya dicuri, didengki dan dikhianati insan-insan di sekelilingnya. Tatkala dia mendapat musibah, dia juga resah, kerana terasa dibebani oleh musibah. Ketika dalam kesenangan pun resah, dalam kesusahan pun resah juga?
Adakah manusia diciptakan hanya sekadar untuk resah, dalam senang mahupun susah?
Duhai teman. Hidup ini tidak seresah yang disangkakan. Hidup ini tidak perlu bersedih dalam menghadapi ketentuan dalam kehidupan. Demi sesungguhnya, ketentuan dalam kehidupan, tidak hadir tanpa sebarang maksud yang penuh berharga. Demi sesungguhnya, apa yang dikau kecapi dalam segenap kehidupanmu, bukan tiada makna dan tidaklah sia-sia.
Jangan pandang pada ketentuannya. Jangan pandang pada musibahnya. Jangan pandang apa yang dihadapi. Susah mahupun senang, semuanya dari Ilahi. Semuanya ada maksud yang tersembunyi, sekiranya dikau mengerti.
Hidup ini seluruhnya adalah sebuah komunikasi. Komunikasi antara kita dengan Tuhan yang Maha Mengasihi. Mengapa gusar terhadap komunikasi sehingga melupakan kasih sayang yang mana kepadaNyalah kita berinteraksi.
Apa sahaja ketentuan dalam hidupmu, ianya adalah bukti kasih sayangNya kepadamu. Apa sahaja yang menimpa kita, yakinlah ianya tidak pernah sia-sia. Bukankah Nabi s.a.w. pernah bersabda: "Allah s.w.t. jika mengasihi seseorang hamba, Dia akan mengujinya?". Mengapa sedih dengan ujian, sedangkan diri sentiasa mendakwa ingin dikasihi Tuhan? Mengapa tidak mampu redha dengan ketentuan, sedangkan diri masih sentiasa mengaku Dialah Tuhan?
Wahai teman. Dalam dirimu ada unsur kehambaan, sedangkan Allah s.w.t. menzahirkan ketuhananNya dalam kehidupan. Kita yang sebagai hambaNya, zahirkanlah kehambaan kita kepadaNya, dengan sabar dan redha, dalam setiap ketentuan yang melanda. Hidup ini adalah komunikasi cinta. Allah s.w.t. menzahirkan ketuhananNya dalam kehidupan kita, melalui ujian dan ketentuanNya, sedangkan kita, perlulah menzahirkan kehambaan kita kepadaNya dalam kehidupan kita, melalui sabar, syukur dan redha, dalam menerima setiap ketentuanNya.
Jika kita mengerti hakikat dikasihi, pasti kita mengerti, kesanggupan kita untuk menghadapi ujian Ilahi itu sendiri, tidak mampu untuk membeli cintaNya yang Maha Tinggi. Tiada yang lebih bernilai bagi kita yang merupakan makhluk-makhluk ciptaanNya, daripada kecintaanNya kepada kita.
Duhai teman yang ingin dikasihi Tuhan... Dunia ini sebentar cuma. Pejam celik, usia kita sudah semakin sampai ke penghujungnya. Apalah sangat nilai kesabaran, kesyukuran dan keredhaan kita, dalam usia kita yang semakin berkurangan, sedangkan balasannya adalah keredhaan, kecintaan dan kemesraanNya yang berpanjangan, di akhirat nanti yang abadi selamanya tanpa kesudahan.
Kalaulah nak diikutkan, apalah sangat untuk sabar dalam tempoh usia di dunia ini terhadap musibah dan ujian yang merupakan tanda kasih sayang Tuhan, jika ingin dibandingkan dengan keredhaanNya yang abadi di hari Kemudian.
Wahai temanku yang budiman... Dunia ini sebenarnya syurga, kalau kita tahu nilai kehidupan sebagai tempat menzahirkan kehambaan. Nama pun hamba, mestilah menzahirkan kehambaan. Pada ujianlah, dapat kita menzahirkan kehambaan, dengan kesabaran. Pada kesenangan dariNyalah, kita dapat menzahirkan kehambaan, dengan kesyukuran. Pada ketentuanNya seluruhnyalah, kita dapat menzahirkan kehambaan, dengan meredhai setiap ketentuanNya. Kita hamba, maka jadilah hamba. Kita hamba, maka zahirkanlah kehambaan.
Hidup ini syurga, kerana di sinilah kita menzahirkan kehambaan. Syurga kita adalah pada kehambaan. Sesiapa yang tidak menzahirkan kehambaan di dunia, dengan mentaati setiap suruhan, dan tidak redha dengan setiap ketentuan, maka tiada baginya syurga di akhirat kelak. SyurgaNya hanya untuk hamba-hambaNya yang tahu diri mereka adalah hambaNya lalu menzahirkan kehambaanNya kepadaNya sejak di dunia.
Senyumlah kepadaNya yang sentiasa menunjukkan bukti cintaNya dalam segenap kehidupan kita. Teruskan berjalan dalam kehidupan dengan bergantung hanya kepadaNya semata-mata. Kita insan, tetaplah insan, yang serba lemah nan banyak kekurangan. Bagaimana kita mampu bergantung kepada diri kita yang serba kekurangan? Bagaimana kita sanggup bergantung kepada makhluk yang jua serba kekurangan? Bergantunglah hanya kepadaNya, maka kamu akan dapati hidup ini membawa ceria. Senyumlah kala ingin dikasihiNya melalui ujianNya. Zahirkanlah rasa rendah diri dan memerlukanNya dalam meneruskan perjalanan kehidupan.
Dengan demikian, kita sama-sama dapat meneruskan perjalanan, dengan penuh keceriaan, dek ketergantungan hanya kepada Tuhan, dan kerana memahami hidup ini tempat menzahirkan kehambaan. Allah s.w.t. mencintaimu, dan kerana itulah Dia mengujimu. Yakinlah dengan kasih sayangNya kepadamu, kerana Allah s.w.t. itu menurut apa yang kamu sangkakan. Berbaik sangkalah kepadaNya, kelak kamu ketahui Dia lebih baik (Maha Baik) dari apa yang kamu sangkakan.
Oleh yang demikian, mengapa bersedih?
0 comments:
Post a Comment