“Jauhkan diri daripada Abi. You’re just beyond the limit” saya menahan marah.
Memang panas hati.
Tidur awal, sudah dibawa berjalan bersiar-siar semalamnya, masa berkualiti, dan tidur dengan baik. Tiada sebab langsung untuk buat perangai subuh-subuh ini.
Pagi ini anak saya enggan ke sekolah. Bukan pertama kali, tetapi sering. Malah bergilir-gilir pula dengan si adik. Kalau yang seorang ini tidak buat perangai, seorang lagi mengambil giliran. Kalau tidak yang seorang itu buat perangai, yang seorang ini menguji iman.
Sudah lama rotan tersimpan.
Kaedah ‘gentle but firm’ sentiasa diamalkan. Tetapi rotan tetap tergantung.
Kelmarin ia turun ke lantai, berfungsi buat pertama kalinya bagi tahun ini.
Pagi ini nampaknya rotan itu sekadar rotan. Cabaran yang sama berulang lagi.
Buat perangai pula di masa-masa kritikal. Jam 6:30 ke 7 pagi, waktu yang amat sempit untuk sesi kaunseling atau psikologi. Ada empat orang pula yang perlu diuruskan.
Tidak mahu mandi, enggan bersiap, mengamuk di bilik air, menendang-nendang termasuk bibik yang turut puas menahan sabar… hmm!
Dalam suasana seperti ini komitmen saya sebagai bapa terhadap ilmu pengetahuan dan kemahiran yang ada teruji. Jika sekolah di sebelah rumah, lain ceritanya. Tetapi sekolah terletak 35km dari rumah dan yurannya hampir RM700 sebulan untuk seorang. Saya tidak suka dengan fakta itu kerana ia bukan isu untuk anak saya. Ia isu saya. Isu untuk saya dan isteri yang berusaha menguasainya. Bagi anak, sekolah dekat atau jauh, sekolah percuma atau mahal, ia adalah sebuah sekolah.
“Baik tak payah sekolah kalau macam ni!” bisik di hati bapa.
Tidak pasti yang berbisik itu iman, nafsu, atau syaitan.
“Kalau ikutkan hati, rasa nak lempang aje!” ada suara dalam hati berkata.
Tangan mengurut dada, mencari iman untuk memadam amarah.
Astaghfirullah!
Keletihan usaha seorang bapa untuk memenuhi keperluan pendidikan anak-anak, adakalanya menjadikan kita tidak rasional.
Sebenarnya…
Kisah ini jangan diceritakan di Facebook. Jangan ditulis di blog. Apa yang diharap adalah simpati. Tetapi benda lain yang lazimnya muncul.
Nanti salahnya akan ditunding kembali kepada bapa. Mungkin genetik yang dipersalahkan. Saya yang agaknya semasa kecil terlupa bahawa saya juga pernah begitu. Ada juga yang kata, mungkin bagi anak makan duit tak bersih, jadi anak buat perangai. Oleh kerana saya banyak berceramah, ada juga yang berteori bahawa Allah sedang menguji saya pada apa yang saya kata.
Ada yang kata biarkan sahaja. Banyak contoh di depan mata, budak-budak yang semasa kecil buat perangai, akhirnya besar jadi manusia yang baik juga. Pendek kata, rasa sedih, kecewa dan kesal saya itu tidak valid.
Semua itu menyebabkan rasa kecewa dan tertekan kita sebagai satu kesalahan. Dan ia menambah lagi rasa tertekan. Lebih menekan, apabila ibu bapa yang sudah senior hanya ketawa dan berkata, “been there, done that!”
Akhirnya kita tidak pasti, di mana hendak bernafas. Meminta tolong kepada manusia, akhirnya jadi seperti orang lemas meminta bantuan daripada orang lain yang lemas juga!
Hanya mampu menarik nafas dalam-dalam dan membina keyakinan, inilah sebabnya mengapa anak mencecah usia 40 tahun, baru dia benar-benar berjaya menghayati susah payah ibu bapanya membesarkan dia suatu ketika dahulu.
Suatu ketika dahulu…
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)” [Al-Ahqaaf 46: 15]
Saya mohon ampun kepada Allah atas dosa-dosa saya sebagai seorang anak.
Maafkan saya Abah.
Maafkan saya Emak.
Sakitnya usaha mendidik dan membesarkan anak-anak.
Di sinilah timbul kesedaran untuk saya bersungguh menggerakkan kumpulan sokongan ABAH.MY yang lama terbengkalai. Kumpulan sokongan ini perlu untuk para ABAH mencari sisi pandang yang menyokong, bukan menghukum.
Kepada Allah jua dipohon pertolongan.
Aku insan yang lemah.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
0 comments:
Post a Comment