Mak selalu cakap dengan kami adik beradik, hanya kekayaan dan kematian sahaja yang dia belum pernah rasa selama 54 tahun dia hidup di dunia ini. Kekayaan yang Mak maksudkan adalah kekayaan dari segi harta.
Rasa sakit dan susah itu semacam sudah sebati dalam kehidupan seharian dia. Dia tidak merasa apa-apa lagi. Hati Mak sudah tepu dengan dua benda tu. Mak juga pernah berkata, hanya kematian sahaja yang akan mengakhiri rasa sakit dan susah itu..<—sedihkan?
Mak adalah anak sulung daripada lima adik beradik. Semasa Mak dilahirkan dialah menjadi kesayangan kedua orang tuanya. Yalah, anak pertama. Anak yang ditunggu-tunggu selama ini. Hidup Mak dengan atuk dan nenek sungguh bahagia. Sehinggalah Mak berumur 10 tahun.
Ketika itu Mak sudah mempunyai empat orang adik beradik. Tiga orang perempuan dan seorang lelaki. Hidup Mak dan adik-beradik semakin menjadi seperti bara dalam sekam. Kesengsaraan sentiasa menyelubungi Mak sebagai anak sulung. Nenek ada hubungan dengan lelaki lain. Datuk yang kuat bekerja tidak tahu menahu.
Mak menjadi mangsa subahat nenek dalam hubungan terlarang itu. Mak yang selalu membantu nenek menulis surat cinta kerana pada masa itu Mak sahaja yang baru sekolah dan tahu menulis dan membaca. Nenek buta huruf. Kalau Mak membantah tak nak tolong nenek, nenek akan pukul dan cepit Mak belakang pintu. Sehingga Mak lebam-lebam dan kadang-kadang sampai pengsan .
Apabila datuk dapat tahu pasal hal itu, datuk tak pukul nenek, datuk pukul Mak, datuk hentak kepala Mak di bucu meja sehingga Mak tak sedar diri. Mak pengsan untuk beberapa ketika. Bila Mak sedar tiada datuk atau nenek di sisinya untuk bertanya, kamu okey? atau membelai-belai kesakitan akibat pukulan dan tendangan datuk, atau sekurang-kurangnya sapu luka dan lebam Mak dengan ubat. Tiada sesiapa pada masa tu. Mak hanya menangis sendiri.
Kemudian, nenek tinggalkan datuk dan anak-anak. Hidup Mak dan adik-beradik kucar-kacir. Bayangkan, nenek telah meninggalkan Mak dan adik-adik lain terumbang-ambing. Mak masih berumur 10 tahun dan adik paling kecil tidak sampai tiga bulan masa itu. Pada masa ini, datuk sudah tidak peduli anak-anak, datuk sibuk cari rezeki. Mak terpaksa berhenti sekolah. Mak jadi IBU, BAPA dan KAKAK.
Semua kerja rumah mak yang buat. Mak yang memasak, membasuh dan menjaga adik-adik. Sehinggalah, pada satu hari datuk dimasukkan ke hospital selama tiga bulan kerana menghidap sakit TB. Mungkin sebab terlalu banyak merokok. Stresss!
Lagi beban Mak semakin bertambah. Mak terpaksa keluar rumah untuk mencari sesuap nasi. Siang hari Mak bekerja, petang Mak melawat datuk di hospital, malam Mak uruskan hal ehwal rumah tangga. Mak, seorang yang sangat tabah, besar hati dan kuat semangat, biarpun fizikal Mak sungguh kecil dan kurus.
Mak yang lakukan semua untuk kelangsungan hidup, biarpun pedih, jerih, perih dan susah. Mak terpaksa kerana terlalu sayangkan keluarganya, terutama adik-adik yang baru kenal dunia. Mak tak pernah mengadu, Mak tak pernah merungut, mengungkit. Walaupun ketika itu tidak ada seorang pun yang bersimpati dan kasihan. Mak tak ada sesiapa pada masa itu, adik-adik memang masih belum memahami, belum tahu betapa kejamnya dunia ini, sehinggalah Mak berumur 16 tahun.
Sepanjang Mak hidup bersama datuk, Mak tak pernah rasa bahagia, datuk tak pernah hargai Mak, datuk tak pernah ucapkan perkataan keramat ‘TERIMA KASIH’ pada Mak.
Sehinggalah, pada satu hari, Mak dipinang oleh Bapa. Bapa adalah antara rakan sekerja datuk di estet getah pada masa itu. Waktu itu umur Bapa dalam lingkungan 36 tahun. Biarpun Mak tidak kenal Bapa, Mak terima pinangannya. Beza umur Mak dan Bapa sebanyak 20 tahun! kenapa Mak pilih Bapa?
Kenapa? sebab Mak mahu lari dari beban yang sangat menggunung dan membeban di bahunya. Mak sudah tidak larat. Urat nadi Mak sudah tidak mampu. Tubuh kurus Mak tidak berdaya membanting tulang lagi. Mak jerih. Bapa menjadi pilihan Mak sebagai sandaran sehingga hari tua. Jadi Mak dan Bapa disatukan dalam keadaan sederhana. Amat sederhana. Tiada orang tua yang menjadi saksi pernikahan mereka. Nenek memang tiada khabar berita dari saat dia menginjak keluar dari keluarga Mak. Datuk pula pergi berjoli-joli dengan perempuan lain. Mak jadi pengantin, Mak juga jadi tuan rumah melayan tetamu, Mak juga jadi tukang masak untuk jamuan. Semua benda Mak yang buat. Hatta selepas majlis Mak juga yang membasuh pinggan mangkuk dan kuali belanga.
Alhamdulillah, berlangsung juga majlis Mak. Syukur Mak dapat Bapa sebagai suami. Selepas berkahwin Mak ingatkan bebanannya akan berkurangan. Salah. Beban Mak semakin bertambah. Datuk sudah hilang berfoya-foya dengan perempuan. Nenek datang semula ke kampung dan hanya mengambil adik kedua bongsu. Adik-adik lain ditinggalkan bersama Mak, malah semakin membesar. Memerlukan pendidikan dan asuhan. Mak menjaga tiga orang adiknya. Lagi. Nasib baik bapa seorang yang memahami, malah penyayang dan pengasih. Bapa menjaga adik-adik Mak macam anak sendiri.
Bapa yang menyekolahkan mereka, memberi pakai, makan dan minum, memberi mereka perlindungan. Mak dan Bapa bersusah-susah pada masa itu. Memelihara ayam dan itik dan menjual di pasar untuk menampung perbelanjaan adik-adik Mak. Alhamdulillah, adik-adik Mak berjaya habiskan sekolah sampai tingkatan 5, dan ada yang berkahwin semasa di bawah jagaan Mak dan Bapa.
Tapi, sayang, selepas masing-masing besar dan berjaya, tiada seorang pun yang ingat Mak dan Bapa. Mak bukan minta untuk disanjung-sanjung, cukup sekadar Mak dihargai dengan kasih-sayang adik beradik. Itu sahaja.
Banyak Mak buat pengorbanan untuk mereka, tak tertulis, tak terkira malah tak terkata. Selepas berkahwin Mak pernah ikut Bapa balik Melaka, ke kampung halaman Bapa. Tetapi penerimaan keluarga Bapa tidak seperti yang dijangka. Mentua perempuan dan Kak Long Bapa tidak menerima kehadiran Mak dengan senang hati. Mak difitnah dan dibuli. Serius. Kesusahan hidup Mak tak pernah berakhir. Kasihan Mak.
Kemudian Mak membuat permintaan, samada Bapa pilih keluarganya atau Mak dan anak-anak (pada masa itu abang sulung, akak dan seorang abang saya baru lahir). Bapa pilih Mak dan anak-anak. Mak dan Bapa berpindah semula ke Sabah. Semenjak hari itu Bapa tidak pernah balik ke Melaka kerana terlalu berkecil hati dengan perlakuan nenek dan kak long Bapa. Bapa terus hilang dari hidup keluarganya. Mungkin Bapa terlalu kecewa dengan mereka.
Mak kembali semula ke Sabah. Tetapi hidup Mak tetap diselubungi kesusahan. Datuk masih dengan perangai berfoya-foyanya. Bertambah ligat lebih-lebih lagi anak-anak sudah semakin membesar. Datuk selalu menjadikan Mak tempat melepaskan kemarahan.
Tetapi hati dan jiwa Mak disaluti emas. Mak masih menjaga datuk, menjaga makan dan pakai datuk. Sudah tanggungjawab Mak sebagai anak. Datuk berkahwin semula. Mak mendapat tiga orang adik baru. Selepas adik baru Mak paling bongsu lahir, emak tiri Mak meninggal dunia. Mak terbeban lagi menjaga adik-adik barunya. Namun, syukur, nenek mahu menjaga adik baru Mak yang paling kecil. Tapi hanya sekejap sahaja. Jadi Mak dan Bapa lah yang bertanggungjawab menjaga adik-adik barunya tambah dengan beban 8 orang anak.
Kemudian datuk menjual tanah di kampung, tanah yang ada rumah Mak dan Bapa, semata-mata untuk menampung pebelanjaan kahwin adik lelaki Mak. Mak terpaksa rela. Datuk berjanji, nanti datuk akan buatkan Mak rumah baru hasil penjualan tanah. Janji datuk dari dulu hingga kini tidak boleh pakai.
Datuk bagi Mak dan Bapa rumah lama tuan tanah yang datuk beli. Rumah buruk. Rumah senget. Rumah Mak dan Bapa di kampung lagi baik. Sana-sini bocor, berlubang dan rapuh. Datuk buat rumah baru yang besar.
Semasa awal-awal kami pindah ke kampung baru, adalah masa yang paling susah buat kami sekeluarga. Bapa belum ada kerja, adik-beradik kami ramai, rumah buruk, tiada pendapatan tetap. Tahu tak, datuk memang tiada rasa perikemanusiaan langsung terhadap Mak dan cucu-cucunya. Mak terpaksa mengemis datuk untuk beli makanan. Datuk memperlekehkan Bapa, mengatakan Bapa malas berusaha. Datuk hanya belikan Mak dan cucunya seikat sayur bayam dan berkilo-kilo ikan masin yang paling murah. <—-sehingga hari ini kalau Mak nampak ikan masin tu air mata Mak akan bergenang-genang.
Datuk menjadikan Mak macam orang gaji. Masa kami baru pindah, adik perempuan bongsu Mak baru lepas bersalin. Jadi, datuk paksa Mak untuk menguruskan semua hal berkaitan rumah tangga. Seawal jam 5.30 pagi datuk dah terpekik dan terlolong memanggil Mak untuk ke rumah makcik. Padahal Mak ada tanggungjawab sendiri untuk menguruskan anak-anak dan suami sendiri. Tapi, datuk akan marah-marah kalau Mak enggan menurut perintahnya. Mak lah yang akan menjaga makcik, memandikannya, memasakkanya, mencuci pakaiannya dan menjaga anaknya. Mak terpaksa membelakangkan tanggungjawab terhadap Bapa dan anak-anaknya. Bapa dan anak-anaknya terpaksa berusaha sendiri.
Datuk membelikan sayur dan ikan-ikan yang mahal untuk makcik sampai peti ais pun penuh. Berbagai-bagi jenis buah-buahan sampai tak habis makan. Untuk keluarga Mak, seperti biasa hanya sayur seikat dan ikan masin. Mak redha <—hati Mak kan diperbuat daripada intan.
Bukan setakat datuk yang jahat dengan Mak. Nenek juga begitu. Selepas berpindah ke kampung baru, Mak dan keluarga Mak (datuk, nenek dan adik-adik) tinggal bersama dalam satu kampung tetapi berlainan rumah. Nenek selalu marahkan Mak. Sehingga Mak tua, nenek masih memukul Mak, itu semua akibat hasutan daripada adik perempuan Mak. Mak pun tak tahu kenapa hati adik-beradik dan orang tua Mak sangat busuk.
Sehinggakan suatu hari, nenek humban parang dengan Mak. Memaki-maki Mak dan tidak mengaku Mak sebagai anaknya. Mak sampai pengsan diperlakukan begitu. Nasib baik ada kakak-kakak saya pada masa itu, akak saya tidak sanggup Mak diperbuat begitu rupa. Akak saya marahkan nenek dan berkata, nenek tak habis-habis benci dan pukul Mak dari kecil sampai tua, nenek tak malu? Mulai hari ini, anak-anak Mak ada 11 orang, kalau nenek buat Mak macam tu lagi, kami akan melawan!
Ya, mulai hari itu nenek tidak mengapa-apakan Mak. Hati Mak kan selembut sutera. Mak tak pernah berdendam dengan ibunya. Mak tetap berbaik sangka dengan nenek walaupun nenek tak pernah anggap Mak anaknya. Allah itu maha adil, di hari tua nenek, nenek nyanyuk. Nenek tak ingat apa-apa. Nenek tak kenal sesiapa. Tetapi paling mengejutkan, nenek masih kenal Mak, anak yang tak diakui anak olehnya, anak sulungnya. Nenek juga selesa kalau Mak yang menjaganya. Ada beberapa kali Mak pergi KL rumah abang, nenek tercari-cari Mak. Kuasa Allah siapa tahu. Sehingga nenek meninggal Mak setia di sisi nenek, memandikan serta mengafakannya.
Perihal datuk. Datuk yang masih tinggi egonya, besar jahatnya dan cemburunya terhadap Mak yang bahagia dikelilingi anak-anak dan cucu-cucu. Sehingga hari ini. Datuk banyak tabur fitnah di seluruh kampung mengenai Mak dan anak-anak Mak. Klimaks, apabila Mak pergi menunaikan umrah, jiran-jiran Mak membuat pengakuan pasal fitnah yang datuk lakukan terhadap Mak. Mak menangis dan mendoakan kesejahteraan datuk di tanah suci. Serta memaafkan datuk.
Tetapi, Mak janji, Mak tak akan menjaga datuk di hari tuanya nanti. Mak tidak berdendam, tapi Mak kata, perasaan sayang untuk datuk sudah tiada. Datuk tak pernah ingat jasa Mak, datuk tak pernah hargai kehidupan Mak yang sentiasa berada di sisi datuk. Datuk tak pernah ‘MEMINTA MAAF’ atas semua kesalahan yang datuk telah lakukan. Mak kata tidak ada sudah ruang di hati Mak untuk datuk.
Tetapi, hati Mak memang diperbuat daripada emas dan intan. Mak tak pernah ajar anaknya untuk membenci datuk, nenek, makcik dan pakcik kami. Walaupun kami tahu cerita disebalik kehidupan Mak bersama mereka.
Sesungguhnya, ALLAH MAHA ADIL.
Sekarang hidup Mak sungguh bahagia, anak-anak membesar, berjaya menjadi manusia, mempunyai menantu yang semuanya baik-baik dan sayang serta menghargai anak-anak Mak, pemurah kepada Mak dan Bapa, mempunyai cucu-cucu yang comel, sekarang Mak dan Bapa seperti diawal perkahwinan mereka. Duduk berdua menikmati hari-hari mereka. Tiada yang mahu difikirkan.
Berbalik kepada adik-adik Mak, kehidupan mereka tetap begitu. Kesemua talam dua muka. Sungguh baik bila di hadapan Mak, bila di belakang mengumpat Mak. Mak dah tidak peduli.
Itulah Mak saya, mak saya yang dijadikan Allah daripada seketul tanah yang wangi, cantik, bersih dan bernilai untuk semua orang. Hati Mak yang disadur emas berkilaun dan daripada intan yang tahan lasak.
Biarlah, hari ini Mak tak pernah rasa kasih sayang daripada orang tuanya, daripada adik beradiknya. Nanti di syurga Mak akan diselubungi kasih sayang Allah. Di dunia Mak di kelilingi kasih sayang Bapa yang setia (orang yang paling banyak menyokong dan memberi kata-kata yang baik untuk memujuk) di sisi Mak, anak-anak Mak, menantu Mak serta cucu-cicit Mak yang akan datang.
Hidup Mak baru bermula ~Today My Life Begins~
Kisah hidup Mak berlainan daripada kisah hidup orang lain. Mak saya tidak sama dengan Mak orang lain. Mak saya seperti muzium dan arkib yang menyimpan banyak khazanah dan kisah di sebaliknya. Ya Allah! berilah aku peluang untuk menjaga dan memberi sepenuh kasih pada Mak dan Bapa.
#Kisah benar Mak yang selalu Mak kisahkan kepada kami adik-beradik dengan tujuan supaya kami berkasih-sayang sesama saudara dan mengingat kesusahan#
sumber : ieyd.wordpress.com
1 comments:
i am touched
Post a Comment