“Astaghfirullah. Hei you, it’s HARAM!”, seorang lelaki Arab tiba-tiba menengking saya.
Terkejut saya dan isteri dibuatnya. Kami sedang mahu menyeberang jalan ke Botanic Garden.
“Sorry, what HARAM?“, saya bertanya.
“That! That is Haram“, kata lelaki itu sambil menunding ke arah tangan saya.
“You mean, it’s haram to hold my wife’s hand?“, saya bertanya kepadanya kembali.
“Astaghfirullah. You stupid!”, kata lelaki itu dan terus meninggalkan saya dan isteri yang terpinga-pinga.
Petang itu, mood kami rosak.
Asalnya saya berhasrat untuk membawa isteri saya ke kedai. Cadangnya mahu singgah mengambil angin di Botanic Garden terlebih dahulu. Maklum sahaja, sekarang ini musim bunga di Belfast. Kawasan Botanic Garden memang sangat indah.
Saya benar-benar tersentak dengan teguran lelaki itu tadi. Orang baru agaknya, tidak pernah saya melihatnya sebelum ini.
Isteri saya sedang mengandung 6 bulan, anak pertama kami. Beliau berjalan perlahan, dan saya biasa berjalan sambil memegang tangannya.
‘Irish’kah perbuatan memegang tangan isteri ini? Saya masih kebingungan. Bingung bercampur marah. Isteri saya juga kelihatan cemas di wajahnya diherdik lelaki tersebut.
Sememangnya di Ireland, saya dan isteri selalu berbual bab pegang tangan ini. Kami berasa sangat kagum dengan pakcik makcik Irish yang sangat mesra hubungan mereka sebagai suami isteri. Sambil bertongkat, suami masih berjalan sambil memegang tangan isteri. Menyeberang jalan bersama-sama. So sweet!
Lain pulalah dengan budaya kita orang Melayu. Jangan tunggu sampai ulangtahun ke-30 perkahwinan, baru 3 tahun kahwin pun suami sudah suka meninggalkan isteri di belakang. Malu nak melayan isteri sebagai isteri, barangkali!
Memang tidak dinafikan, lain orang lain budayanya. Mungkin kerana saya dan isteri lama tinggal di Ireland, kami pun tidak pernah pula terasa janggal berjalan dalam keadaan suami memegang tangan isteri. Apatah lagi dalam keadaan isteri yang mengandung. Tetapi perbuatan lelaki itu menengking saya dan isteri, sangat mengejutkan. Apatah lagi dengan label ‘stupid‘ yang diberikannya percuma kepada saya.
Selepas balik dari kedai, saya mengantar isteri ke rumah dan terus ke masjid untuk mengimamkan solat Maghrib.
Subhanallah! Lelaki yang menengking saya tadi ada di masjid. Apabila dia melihat saya, mukanya berubah menjadi merah. Masih marah dengan saya, entah di mana hujung pangkalnya.
Selesai iqamah dibacakan, saya melangkah ke hadapan untuk mengimamkan Solat. Alangkah terkejutnya lelaki itu hingga dia beralih ke hujung saf. Mungkin dia tidak menyangka yang saya si ‘bodoh’ ini yang diherdiknya di tepi jalan tadi, adalah imam di masjid. Selesai solat, lelaki itu bingkas bangun meninggalkan jemaah dan saya hanya memandang beliau pergi menghilangkan diri.
Saya berpesan kepada isteri saya, “apabila pulang ke Malaysia nanti, apakah benda-benda baik yang kita dapat di Ireland ini mampu dikekalkan?”
Berjalan seiringan, dan selepas kelahiran Saiful Islam, kami sering menolak pram ke taman bunga untuk menjaga kualiti kehidupan. Walaupun kerja di masjid banyak tekanan, tetapi jalan mencari keredaan itu banyak. Boleh ambil angin di Botanic Garden, boleh Rose Garden, atau sekurang-kurangnya berjalan ke rumah sahabat-sahabat, menyusur lorong-lorong Belfast yang redup dengan pepohon hijau yang menenangkan.
Tetapi apabila balik ke Malaysia, saya jadi khuatir. Lupakanlah soal jalan berpegangan tangan, atau membawa anak-anak ke taman bunga. Saya diancam rasa takut melihat “Krisis Umur Pertengahan”, yang melanda pakcik makcik yang pernah saya temui di dalam kursus.
Amat banyak kes penceraian berlaku, walaupun rumah tangga sudah mencecah 15 ke 20 tahun. Dan hasil kajian, puncanya pelbagai tetapi ada di antaranya yang sungguh menyedihkan. Apabila mencecah usia pencen, wanita kita sering meninggalkan suami. Mereka suka berkawan dengan anak-anak yang sudah dewasa. Wanita kita akan bersama anak-anak pergi ke masjid untuk belajar mengaji dan mendengar kuliah. Isteri sibuk berkawan dengan anak, suami pula ditinggalkan.
Suami pula sedang menempuh proses ‘pemudaan’ pusingan kedua.
Malang sekali, banyak benar kes penceraian berlaku di kalangan mereka. Ia ada feedback yang diterima melalui peserta kursus kami.
Sebab itulah saya sering mengingatkan diri, betulkan pandangan terhadap isteri. Jangan pandang isteri dengan pandangan mata yang kering, atau pandangan akal yang gersang, jauh sekali pandangan nafsu yang melulu. Pandanglah isteri dengan pandangan hati, kerana hati itulah yang memberi makna kepada pasangan hidup kita. Walaupun sudah dimamah usia, dialah separuh hidup kita. Separuh yang manis, kata pepatah Arab. Adanya isteri dan suami, sempurnalah sifat seorang insan. Bayangkan sahaja Adam di Syurga, segala-galanya sudah sempurna. Tetapi tetap terasa kurang kerana dirinya tiada pasangan…
Hargailah kasih sayang suami dan isteri, pandanglah dengan pandangan hati, kerana ia pandangan hakiki.
“Do I still sound stupid?” , ingin benar bertemu dengan lelaki Iraq yang mengherdik itu.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
0 comments:
Post a Comment