Sekadar renungan


Bila Allah cepat makbulkan Doamu, Maka DIA Menyayangimu,

Bila DIA Lambat Makbulkan doamu, Maka DIA Ingin Mengujimu,

Bila DIA Tidak Makbulkan Doamu, Maka Dia Merancang Sesuatu Yang lebih Baik Untukmu.

Oleh itu, Sentiasalah Bersangka Baik Pada ALLAH Dalam Apa Jua Keadaan Pun... Kerana Kasih sayang ALLAH Itu Mendahului KemurkaanNya.

********************************************************

Saat itu, hadir syaitan yang terkuat, sementara si hamba dalam kondisi paling lemah. Siapakah yang selamat?


Ya Allah, jadikanlah amal terbaik kami sebagai penutup amal kami. Jadikanlah umur terbaik kami sebagai akhirnya. Dan jadikanlah hari terbaik kami sebagai hari kami menjumpai-Mu
.


Sabda Nabi s.a.w ;"...dan sesungguhnya waktu yang paling syaitan dengan manusia adalah disaat kematian (nazak) ","(Riwayat Abu Na'im)" didalam sepotong ayat Mursyal , Nabi s.a.w bersabda dengan membawa maksud ," Saat paling hampir musuh Allah (syaitan) itu dengan manusia ialah dikala terbit rohnya".

ZIKIR HARIAN

HARI AHAD: Ya Hayyu Ya Qayyum ( 1000 X )
HARI ISNIN: La haula wala quwwata illa billa hil 'aliyyil 'a ziim ( 1000 X )
HARI SELASA: Allahumma salli 'ala 'abdika warasulika wanabiyyikal amiina wa'ala alihi wasahbihi wasallim ( 1000 X )
HARI RABU: Astagh firullahal 'a ziim ( 1000 X )
HARI KHAMIS: Subhanallahii 'a ziim , Subhanallahi wabihamdihi ( 1000 X )
HARI JUMAAT: Ya Allah ( 1000 X )
HARI SABTU: La ilaha illallah ( 1000 X )

Sedikit Ilmu untuk dikongsi bersama...



Imam Ja’far Ash-shadiq (sa) berkata: “Barangsiapa yang membaca surat Ar-Rahman, dan ketika membaca kalimat ‘Fabiayyi âlâi Rabbikumâ tukadzdzibân’, ia mengucapkan: Lâ bisyay-in min âlâika Rabbî akdzibu (tidak ada satu pun nikmat-Mu, duhai Tuhanku, yang aku dustakan), jika saat membacanya itu pada malam hari kemudian ia mati, maka matinya seperti matinya orang yang syahid; jika membacanya di siang hari kemudian mati, maka matinya seperti matinya orang yang syahid.” (Tsawabul A’mal, hlm 117).

Bacaan Surah

.

Followers

Blog ini mengandungi Maklumat dan Koleksi ibadah untuk diri saya . Sekiranya ia baik , kita kongsi bersama , sekiranya ianya tidak baik , elakkanlah. Saya hanya insan biasa yang mencari ilmu selagi hayat dikandung badan...

.

Tuesday, May 29, 2012

Hidup Bersama Malaikat Allah



Beruntunglah orang-orang yang beriman kerana perbuatan mereka sentiasa dipuji dan menjadi perhatian para malaikat. Sesungguhnya makhluk Allah yang tak terhitung banyaknya ini sentiasa menjadi sahabat orang beriman. Mereka sentiasa mendoakan kita, memberi ilham berupa lintasan-lintasan di dalam hati manusia, menyaksikan ibadat kita dan memuji segala kebaikan yang dilakukan. Hal ini pernah diceritakan oleh baginda Rasulullah SAW dalam hadisnya: “Sesungguhnya syaitan itu ada pengaruh dalam lintasan hati anak Adam dan para malaikat juga ada pengaruhnya. Pengaruh syaitan adalah mengilhamkan manusia supaya berbuat kejahatan dan menolak kebenaran. Adapun lintasan para malaikat adalah mengilhamkannya melakukan kebaikan dan membenarkan yang hak. Maka barangsiapa yang mendapat ilham kebaikan, hendaklah dia mengetahui bahwa itu adalah daripada Allah. Dan siapa yang mendapat sebaliknya hendaklah dia meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan.” Hadis riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ibnu Hibban.

Adakah kita merasai kehadiran mereka pada setiap langkah dan gerakan? Sayangnya kebanyakan manusia lebih mempercayai adanya hantu di setiap sudut-sudut rumah yang boleh mengganggu penghuninya. Padahal Rasulullah SAW pernah menyatakan jumlah malaikat yang memenuhi ruang dengan sabdanya: ”Langit telah bersuara dan sememangnya ia berhak mengeluarkan suara, kerana tidak ada suatu tempat sekadar empat jari melainkan ada di atasnya malaikat yang sujud.” Hadis riwayat al-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Bazzar.

Perbuatan yang kita lakukan semuanya mesti menjadi perhatian makhluk yang tidak pernah bermaksiat ini. Mereka ditugaskan untuk merekod setiap pergerakan manusia. Hal ini bukan bermakna bahawa Allah perlukan pertolongan dan Allah tidak berkuasa untuk kerja-kerja itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang ghaib dan ilmu-Nya meliputi seluruh alam semesta. Hakikat penciptaan malaikat ini adalah menjadi syarat bagi kelulusan iman seseorang. Iman anda tidak sempurna tanpa mengakui kewujudan malaikat sebagai wakil Allah yang menguruskan hal ehwal dunia dan akhirat. Ibnu al-Qayyim pernah menyatakan dalam kitabnya Ighothatul Lahfan min Mashayidis Syaithan’, beliau berkata: ”Para malaikat diwakili bagi mengurus kejadian manusia semenjak penciptaan nutfah hingga sempurna kejadiannya, mereka mencatit rezeki manusia, amalannya, ajalnya, kecelakaannya atau kebahagiaannya, mereka bersama manusia setiap masa dan keadaan, menjaganya ketika hidup dan mencabut rohnya ketika mati, membentangkan amalan manusia di hadapan Tuhannya. Mereka adalah utusan Allah yang menyambungkan di antara Allah dan hamba-Nya. Mereka membawa turun perintah Allah ke seluruh Alam dan membawa naik laporan kepada Allah.”

Bagaimanakah perasaan anda jika anda mengetahui ada seseorang yang mencintai, mendoakan dan sentiasa mengharapkan kebaikan untuk diri anda. Tentunya kita berasa gembira dan mahukan apa yang diharapkan untuk kita termakbul. Hargailah kecintaan para malaikat Allah dengan menyukai apa yang mereka suka dan membenci apa yang mereka benci. Rasulullah SAW menceritakan bagaimana kecintaan dan kebencian malaikat itu menaungi manusia. Sabda beliau SAW: ”Tiada suatu haripun yang seorang hamba hidup melainkan dua malaikat turun kepadanya. Salah satu daripadanya berkata: Wahai Tuhanku berikanlah kepada orang yang bersedekah gantian balasannya. Dan yang satu lagi berkata: Wahai Tuhanku berikanlah kepada orang yang bakhil kebinasaan perbuatannya.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Kemudian sabda baginda SAW lagi: ”Dan malaikat berdoa kepada orang yang berada di tempat sembahyangnya, Ya Tuhanku kasihanilah dia, ya Allah ampunilah dia, maafkanlah dia. Selama orang itu tidak menyakiti orang lain dan selama ia tidak berhadas di tempat itu.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Siapakah yang akan membawa berita gembira pada saat sakaratul maut? Yang membuka kubur seluas-luasnya untuk diperlihatkan syurga kepada kita? Yang berbaris bersaf-saf bersama orang-orang beriman yang menghadap Allah di akhirat nanti? Sesungguhnya para malaikat mengajar kita untuk sentiasa taat kepada Allah. Jangan takut dan gentar ketika menghadapi musuh yang amat jahat. Syaitan tidak akan mampu mengalahkan kita kerana di setiap zikrullah dan saat membaca al-Quran ada malaikat yang memenuhi langit memberi naungan kepada kita, ketika menuntut ilmu, berjalan ke masjid, bersedekah, puasa di hari yang panas, menghidupkan malam dengan tafakkur dan menghisab diri, mereka menyaksikan apa yang kita lakukan dengan pandangan rahmat. Jadi mengapa kita berasa berputus asa ketika melawan nafsu yang ganas padahal ada makhluk Allah lain yang sentiasa mendoakan keselamatan kita. Jangan bersedih sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya beserta orang-orang yang beriman.

drjuanda.com

Erti Bahagia Seorang Isteri


Sebagai seorang suami, tiada kebahagiaan yang paling bermakna lebih daripada didampingi oleh isteri yang salihah, anak-anak yang taat, rumah yang menenteramkan jiwa dan kerjaya yang membawa keberkatan. Tetapi kadang-kadang sesetengah suami lupa apakah isterinya merasai kebahagiaan yang sama?

Hidup bersama wanita yang kita sayang selama bertahun-tahun belum tentu membuat anda memahami dirinya, tahu apa yang dia suka dan apa yang dibencinya apatah lagi jika isteri anda jenis yang penurut dan taat, apa-apa kemahuan kita dia akur walaupun dia tak suka. Demi cintanya pada anda, dia akan merelakan apa saja yang boleh dikorbankan. Kepura-puraan ini kadang-kadang memeningkan juga. Tetapi sesekali ia akan meletup akhirnya kalau suami tak pandai mengambil hati isteri. Ada pula jenis isteri yang pandai memberi idea dan berani menyuarakan pendapatnya setakat yang dibenarkan syarak dan tidak bersikap kurang ajar lagi memberontak membabi-buta. Perbincangan dari hati ke hati akan lebih memesrakan perhubungan keduanya. Suami yang baik akan berusaha untuk membahagiakan hati isterinya dan dia tahu apa erti kebahagiaan bagi seorang yang bergelar isteri.

1. Apabila di hatinya berbunga keimanan yang harum semerbak.


Profesor Dr Yusuf Al-Qaradhawi ketika menulis dalam bukunya yang bertajuk Al-Iman wal-Hayah, ada menyelitkan satu kisah pergaduhan antara suami dan isteri. Pada suatu hari sang suami marah kepada isterinya dan berkata: “Aku akan memusnahkan kebahagiaanmu.” Lalu isterinya itupun menjawab: “Engkau tidak akan dapat merampasnya dari diriku.” Suaminya berkata lagi: “Mengapa tidak, aku akan mengambil segala-galanya sehingga engkau akan merana.” Dengan tenang isterinya menjawab: “Bagaimana mungkin kau akan merampas kebahagiaan dari diriku kerana ianya tertanam dalam hatiku, bahagia yang aku rasa ialah imanku pada Tuhanku.” Demikianlah keimanan seorang isteri kepada Allah dan Rasul-Nya sudah cukup baginya walaupun tanpa emas dan permata. Bukankah Asiah isteri Firaun telah memberi teladan? Beliau sanggup kehilangan segala-galanya demi cintanya kepada Allah. Iman yang benar adalah iman yang dapat menyinari hatinya, menunjukinya jalan yang baik dan menyelamatkan diri dari jalan yang sesat. Seorang suami seharusnya dapat menyediakan sarana untuk memastikan keimanan yang menjadi punca kebahagiaan isterinya terwujud. Mengajarkan isteri tentang ilmu-ilmu agama dan mengajaknya bersama-sama beribadah adalah cara yang sesuai untuk memastikan tahap keimanan dalam rumah sentiasa tinggi.

2. Apabila ia didampingi oleh lelaki yang mendorongnya untuk berjaya dalam kehidupannya.


Kebahagiaan yang kedua ini amat diperlukan oleh isteri anda. Jadilah lelaki yang gentleman, sentiasa di sampingnya saat ia memerlukan. Kelemahan isteri adalah bukti kelemahan suami juga. Tugas anda adalah menuntun dan mengganding tangannya agar dapat melalui jalan yang susah dan merbahaya dengan selamat. Bukankah telah jelas dan terang dalam firman-Nya: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Taubah: Ayat 71)

Tolong menolong antara suami dan isteri untuk mencapai kejayaan bersama seelok-eloknya menjadi agenda percintaan yang cukup manis untuk dijalani bersama-sama. Bila isteri bekerja, suami turut membantu kerja-kerja di rumah. Bila isteri suri rumah sepenuh masa, suami seharusnya menjaga kebajikan isteri, masa rehatnya, didikan kepada anak-anak dan yang paling penting dorongan dan sokongan untuk sang isteri tetap bertenaga dalam jihadnya mendidik anak-anak dan mewujudkan syurga di rumah mereka.

3. Apabila suaminya kuat bekerja dan menjaga keperluan rumah tangga dengan penuh tanggungjawab.


Kemiskinan dan kemalasan adalah dua penyakit merbahaya yang timbul dari jiwa manusia yang hina. Budaya rajin bekerja dan membuat sesuatu yang bermanfaat dengan pelbagai aktiviti dalam keluarga akan mendidik setiap ahli keluarga supaya berdisiplin. Suami dan isteri yang rajin bekerja akan menjadi contoh kepada anak-anak agar mereka terbiasa dengan budaya ini di rumah. Sikap berdikari dan tidak menyusahkan orang lain akan terwujud dalam peribadi setiap ahli keluarga. Suami yang bertanggung jawab akan memberi nafkah dengan cukup dan ini menimbulkan kebahagiaan hidup sang isteri yang merasa dilindungi. Bahkan pahala yang besar akan diberikan kepada seorang suami yang ikhlas memberi nafkah kepada keluarganya. Sabda Rasulullah SAW: Dari Abu Hurairah, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: ”Satu dinar yang kamu nafkahkan di jalan Allah, dan satu dinar yang kamu keluarkan untuk memerdekakaan seorang hamba, dan satu dinar yang kamu berikan untuk orang miskin, dan satu dinar yang kamu nafkahkan untuk keluargamu maka yang paling besar pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Pernah suatu ketika seorang wanita yang bekerja menjadi peguam menziarahi saya dan isteri di rumah, dia berkata: ”Alangkah bahagianya jika saya duduk di rumah hanya menguruskan suami dan anak-anak tanpa harus pening kepala memikirkan pekerjaan di pejabat dan anak yang demam di rumah bersama pembantu rumah.” Hal ini amat menyedihkan dan membimbangkan saya. Pada ketika itu dalam hati saya berkata: ”Betapa kasihannya melihat isteri yang terpaksa menolong kita dan turut mengambil tugas lelaki padahal jiwanya tak pernah berpisah dari anak-anak.” Kasihanilah isteri anda, dia sepatutnya boleh memilih apa yang dia rasa bahagia, hendak bekerja atau tidak kedua-duanya boleh dibincangkan bersama mengikut kemaslahatan bersama, asalkan tidak menjejaskan keutuhan rumahtangga. Yang paling penting anda harus sedar sebagai suami andalah yang bertanggungjawab terhadap kebajikannya.


drjuanda.com

Anak Punca Rahmat !



Setelah hadir beberapa orang cahaya mata di tengah sebuah keluarga yang beriman, kehidupan mereka tiba-tiba berubah. Bagaikan malam disimbah cahaya bulan, bebintang pula menambah cantik lukisan alam yang memukau perasaan. Ayah umpama malam, ibu pula purnamanya dan bebintangnya ialah anak-anak. Anak-anak hanya tahu erti bahagia dan gembira, senyum dan tawa. Begitulah hakikat makhluk Tuhan yang dicipta dan tidak menanggung dosa ini. Anak-anak yang suci dan bersih, belum memahami makna kejamnya dunia. Mereka berada di sisi ibu bapa, menjadi punca turunnya rahmat Allah di dalam sebuah rumah, melimpahlah rezeki dan keberkatan. Sepertimana sabda baginda SAW kepada sahabat baginda yang tidak pernah mencium sepuluh anaknya yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak merahmati maka dia tidak dirahmati (Allah).”.

Disebabkan anak-anak, Allah Taala terus menerus mencurahkan pahala dan melipat gandakan ganjaran. Kerana mereka juga banyak dosa yang diampunkan Allah Taala. Atas nama cinta yang tulus kepada mereka ibu bapa menjadi begitu kuat melawan keperitan hidup, kerana wajah mereka ibu bapa menjadi matang dan belajar bertanggungjawab menjadi manusia dewasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Satu dinar yang kamu belanjakan kerana memerdekakan seorang hamba dan satu dinar yang kamu sedekahkan kepada seorang miskin dan satu dinar yang kamu nafkahkan kepada keluarga kamu, yang paling besar pahalanya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluarga kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Barangsiapa yang sabar menjaga anak-anak mereka dalam kemiskinan sesungguhnya Rasulullah SAW berjanji akan mendekatkan kedudukan mereka di syurga bersama baginda, sesuai dengan sabdanya yang bermaksud: “Seorang perempuan yang telah menjadi janda kerana kematian suaminya tetapi dia bersabar menanggung anaknya, maka aku akan bersama dia di dalam syurga dalam keadaan seperti ini.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Oh anak, jika mereka hadir membawa seribu satu berkat, boleh jadi mereka juga membawa fitnah yang paling merbahaya ke atas diri ibu bapa. Untuk itu Al-Quran menyatakan yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (Surah al-Tahrim ayat: 6)

Ujian berkeluarga bukan hanya ditanggung oleh suami seorang diri tetapi isteri pula bersama-sama memikul beban yang sama demi kebahagiaan dunia dan akhirat. Mereka saling berkongsi tanggungjawab mendidik anak supaya menjadi insan yang beriman. Di tangan ibu dan bapalah masa depan mereka terbina, jiwa mereka dicorakkan. Yahudi, Majusi ataukah Nasrani atau mungkin Islam yang menjadi pilihan. Gaya barat atau timur, kapitalis atau sosialis, sekularis atau islamis tulen. Semuanya akibat didikan kedua ibu bapa. Ramai yang beranggapan bahawa anak kita telah dirosakkan oleh persekitaran yang mempengaruhinya. Bukan kerana tangan ibu bapa, bahkan ibu bapa telah memberi didikan sempurna di rumah tetapi di luar rumah dia terpaksa berdepan dengan hawa nafsunya sendiri untuk memilih, manakah yang buruk dan baik?

Persoalan ini tidak berbangkit dan memberi pembelaan kepada ibu bapa yang merasa tidak bersalah, masalahnya selagimana ibu bapa masih hidup mereka wajib mempengaruhi anak ke jalan Allah dan menjaga pergaulan anak-anak mereka. Jika iman telah kukuh dan sebati dalam jiwa raganya hasil didikan ibu bapa, terlepas ke mana saja dia pergi, Insya Allah didikan iman itu masih mempengaruhi keperibadiannya, sedikit atau banyak itu bergntung kepada pihannya sendiri.

Ramai orang tua yang hanya mengingat keburukan anak-anaknya tetapi lupa dosa-dosa mereka kepada anak. Bukankah mereka berdosa kepada anak-anak jika memberi nafkah dari sumber yang haram, walaupun kemewahan boleh diberi tetapi ia hanya untuk kehidupan yang singkat, di akhirat nanti kedua ibu bapa seolah-olah memberi makan bara api kepada anaknya.

Sesungguhnya jika kejahatan yang dilakukan itu diniatkan kerana anak, ia tetap haram di sisi Allah Taala. Rupanya anak boleh menyebabkan seorang hamba bermaksiat kepada Allah. Hal ini jelas diterangkan di dalam surah Al-Taghabun ayat 14 yang bermaksud: “Wahai orang-orang mukmin, Sesungguhnya di antara Isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu.

Musuh bermaksud menjadi punca kamu mengikut kehendak mereka, yang mahukan kamu melakukan pekerjaan yang haram.

Musim cuti sekolah ini, anak-anak mempunyai bermacam-macam perancangan. Hendak pergi ke luar negara, umrah atau menghabiskan masa di rumah saja. Ibu bapa perlu bersedia dari segi kewangan, masa dan emosi. Jika semuanya sudah sedia dicurahkan, ada satu lagi yang tak kurang pentingnya iaitu soalan yang mesti ibu bapa jawap: “Pengisian apakah yang paling baik untuk meningkatkan iman anak-anak?

Selagi Allah Taala memberi masa yang panjang untuk bermesra dengan anak-anak selagi itulah iman harus ditanam. Kekadang yang diingat hanya mahu menyeronokkan hati mereka saja. Maka melimpahlah kasih sayang itu dalam bentuk hadiah yang mahal, percutian yang melalaikan dan kenikmatan berlebihan mengejar kepuasan hati. Bukan bermakna tidak boleh menyediakan fasiliti kelas terbaik kepada mereka, apa salahnya jika mampu selagimana tidak menjejaskan perhatian kepada anak yatim dan fakir miskin di sekeliling kita.

Seelok-eloknya anak-anak diajar prihatin, disuruh melihat anak-anak yang kurang bernasib baik, keluarga-keluarga miskin dan para pesakit kanak-kanak yang terlantar di hospital. Supaya mereka memiliki jiwa pengasih kepada sesama dan tahu menilai erti hidup agar jangan disia-sia. Kita mahu mendengar anak-anak kita berkata: “Terimakasih ayah atas segala pemberian yang tak sanggup kami membalasnya.” Dan kita tidak mahu mendengar makian dan rungutan daripada mulut-mulut yang tidak pernah diajar cara beradab: “Aku mahu yang terbaik, ayah mesti sediakan dan usahakan juga!” Mereka meminta apa yang tidak mampu kita miliki kerana telah terbiasa hidup senang. Padahal masih ramai insan lain menderita. Marilah bukakan mata hati anak-anak kita untuk melihat kehidupan ini dengan pandangan iman bukan mata syahwat sahaja.


drjuanda.com

Hak Anak.

Kerana mulut badan binasa! Itu pepatah lama yang sentiasa hidup.

Kalaulah semua ibu bapa ingat dengan kejahatan lidah nescaya anak-anak kita terlepas daripada tekanan perasaan yang dihadapi setiap hari. Sumpah seranah, jeritan dan makian yang didengar anak-anak akan membekas seumur hidupnya sekaligus membentuk persepsi anak tentang dirinya sendiri. Bodoh, lembab, degil yang didengar setiap hari pastinya membuat anak percaya bahawa diri mereka benar seperi apa yang ibu bapa mereka makikan.

Naluri manusia inginkan kelembutan, Rasulullah SAW suami dan bapa yang paling lembut kepada ahli keluarganya. Bahkan kepada orang kafir yang mengata keji baginda tetap menjaga tuturkatanya dengan ketinggian maruah diri. Hal ini pernah dikhabarkan di dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Beberapa orang Yahudi telah menghadap Rasulullah SAW, mereka mengucapkan salam (al-Sam mu ‘alaikum) yang bermaksud: Mudah-mudahan kematian menimpamu wahai Abu Qashim. Rasulullah hanya menjawab: Dan atas kalian juga. Berkatalah Aisyah: Semoga kematian menimpamu, laknat Allah juga dan murka Allah juga. Lalu Baginda bersabda: Wahai Aisyah hendaklah engkau bersikap lemah lembut, jauhilah tindakan kasar dan perbuatan keji. Aisyah berkata: Adakah engkau tidak mendengar mereka berkata: Matilah kamu? Rasulullah bersabda: Tidakkah engkau dengar jawapanku: Dan atas kalian juga? (Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Jika dengan kafir Yahudi pun Nabi larang berkata kasar kerana boleh jadi mereka akan lembut hati jika mendengar kata-kata yang lembut. Inikan lagi dengan anak-anak kita yang kita harapkan hati mereka lembut dan bersih. Manakan dapat hati menjadi lembut jika setiap kali bertemu ibu bapa, mereka dengar kata yang kasar dan tidak berperikemanusiaan. Kelembutan adalah kunci kasih sayang, magnet hati yang paling kuat daya tarikannya. Ibu bapa perlu mengawal lidah dan emosi jika berhadapan dengan anak yang bermasalah.

Mengapa anak tak mahu belajar, malas sembahyang, suka memberontak, bercakap bohong, ganas kala bermain dan sebagainya? Semua anak memiliki masalah yang berbeza. Sebenarnya mereka perlukan kawan yang memahami dan pandai mempengaruhi, yang boleh menjadi idola yang wow … hebat di hati. Bolehkah ibubapa berperanan sebagai kawan yang sebegini?

Tapi jika bertemu terus mendakwa, menjatuhkan hukuman, tanpa usul periksa dengan adil, mana boleh bersatu dua hati. Bapa jangan didekat, ibu pula jangan diusik, selamatlah nanti, buatlah baik di depan mereka, belakang nanti lain cerita. Mungkin sebeginilah muslihat anak yang lebih faham menilai orang tuanya sendiri berbanding orangtua yang tak faham jiwa anak.

Membuka pintu hati anak tidaklah susah, duduk saja bersamanya dan koreklah cerita-cerita mereka dengan akrab dan santai. Jadi teman yang suka mendengar isi hatinya, di sebalik itu warnai pemikiran mereka dengan fahaman kita yang positif. Sambil sembang, tanamkan visi tentang kehidupan yang baik dan bertanggungjawab. Taklah semestinya berceramah di depan mereka, atau membuka kitab agama yang mesti membosankan, tanamkan iman secara halus sebagai doktrin awal yang akan membekas sampai bila-bila.

Bercerita sebelum tidur pasti amat diminati kanak-kanak, ibu bapa mesti bersedia setiap kali menidurkan mereka dengan cerita berhikmah yang diambil dari Al-Quran atau perjalanan hidup Rasulullah SAW yang penuh dengan teladan. Boleh juga kisah benar orang-orang miskin yang berjaya di dunia dan jangan sesekali lupa kisah di alam akhirat. Kalau tidak bersedia pun, paling kurang dengarkan cerita mereka, jawap soalan mereka, bagi pandangan jika mereka minta.

Orang tua yang sangat sibuk dengan bebanan kerjaya dan hanya memiliki masa terhad bersama anak perlu memperingati diri dan menyoal hati, di manakah anak-anakku sekarang? Sudahkah anda memanfaatkan masa berkualiti bersama keluarga? Kadang-kadang orang tua yang banyak masa pun tak pandai memberi didikan, dia hanya duduk bersama anak tetapi hati mereka jauh berpisah. Selalu bersama dalam rumah tetapi masing-masing dengan halnya sendiri-sendiri. Bapa menghadap komputer, anak-anak dengan Playstation sepanjang hari, ibu pula tak habis-habis dengan kerja rumah. Tak ada masa duduk bersama, kulit dan kulit bersentuhan. Perkataan yang keluar mesti suruhan saja. Pergi mandi, ambil nasi makan, basuh kaki tidur dan perkataan-perkataan yang sama waktu dengannya, kata-kata tanpa perasaan.

Tiada dialog sayang, memuji, mendoakan, memaafkan dan menunjukkan jalan keluar jika anak kesusahan. Yang mereka mahu anak mesti dengar cakap, patuh dan taat dengan titah perintah mereka saja. Padahal anak-anak mesti didorong, disokong, diajar caranya bagaimana jadi baik, diberi jalan keluar, dibantu jika dia susah, dimaafkan jika bersalah, dipuji supaya bangkit dan berani, diberi imbalan untuk tingkatkan prestasi, dipujuk saat merajuk, diubat jika terluka hati, dibimbing mengikut jalan yang lurus, diperingatkan jalan-jalan yang merbahaya dan dijaga dari gangguan-gangguan kejahatan sampai akhirnya dituntun mengucap syahadah saat meninggalkan alam fana dan sebelum itu mestilah dibekalkan iman dan digesa berbuat amal untuk menghadapi kematian.

Jauh sungguh perjalanan kita mendampingi anak-anak. Inilah matlamat sebenar dijadikan anda sebagai ibu bapa supaya bumi Allah ini dipenuhi oleh hamba-hamba-Nya yang beriman.


drjuanda.com


Friday, May 18, 2012

Hati Isteri


Seseorang yang sentiasa tersenyum riang di hadapanmu,
Ketahuilah dia sering menyapu air matanya tatkala sendirian.

Seseorang yang sentiasa bergurau senda di hadapanmu,
Ketahuilah dialah seorang pemurung tatkala sendirian.

Seseorang yang sentiasa menyuntik kata-kata semangat dan perangsang kepadamu,
Ketahuilah tatkala itu dia sedang menyulam hatinya yang retak seribu.

Seseorang yang sentiasa kelihatan kuat di hadapanmu,
Ketahuilah dialah yang sentiasa mengadu lemah di hadapan Tuhannya.

Seseorang yang ketawanya menceriakan harimu,
Ketahuilah tatkala itu dia sedang membalut duka di dadanya.

Seseorang yang sering memberi hadiah kepadamu,
Ketahuilah dialah insan yang tidak pernah mendapatkannya.

Seseorang yang bebas mengeluarkan cetusan fikirannya,
Ketahuilah dialah seorang ‘pertapa setia’ yang tidak mampu bersuara tatkala sendirian.

Antara Orang Agama dan Orang Beragama

Abah tak paksa. Terpulang kepada kamu. Cuma dulu arwah Tok ada pesan, keluarga kita keluarga ulama. Kalau boleh biarlah ada anaknya yang mengikut jejak. Tak dapat anak, cucu pun Alhamdulillah”, itu sisa-sisa memori saya tentang dialog bersama abah lebih 20 tahun yang lalu.

Dialog itu mengisi perbualan kami semasa abah menghantar saya ke peperiksaan kemasukan MRSM di Sek. Cator Avenue.

Saya termenung.

Biar pun latar belakang kehidupan saya semasa kecil, tidaklah terlalu berhias dengan agama, namun kecenderungan itu terjadi sendiri. Bermula dengan aktiviti mewakili sekolah di dalam pertandingan tilawah al-Quran, hafazan al-Quran dan minat yang mendalam kepada subjek agama di sekolah rendah yang tidak seberapa itu.

Lalu dilorongkan Allah, semua tawaran menyambung pengajian yang saya terima semasa melangkah ke alam sekolah menengah, terdiri daripada sekolah agama belaka. SMKA Sultan Azlan Shah, SMAP Labu Negeri Sembilan, SMA Idrisiah Kuala Kangsar dan SMA Izzuddin Shah Ipoh. Atas sebab yang pelbagai,SMA Izzuddin Shah jua yang dipilih. Saya mensyukurinya.

Tidak perlu menunggu lama, semenjak di minggu orientasi lagi, saya sudah mengalami keributan jiwa. Seakan-akan lahir semula, perasaan beragama jadi begitu mendalam. Sering sahaja mata basah dengan air mata mengenang kehidupan, dan mula belajar mengikat serban. Saya suka ke depan, dan kini saya bertemu dengan sebab yang lebih tulen untuk ke depan. Kerana agama.

SIMPANG KEHIDUPAN

Panjang likunya.

Keputusan peperiksaan yang baik di simpang SRP, SPM dan semasa temuduga biasiswa, akan mencabar nekad diri untuk menjadi ‘orang agama’. Tatkala dibentangkan dengan pelbagai peluang dan ruang untuk memilih jalan yang lain, saya terus dilorongkan dan melorongkan diri hingga akhirnya sampai ke tempat saya bakal diacu menjadi ‘orang agama’.

1993 saya tiba di Jordan.

“Kenapa ambil bidang agama? Kenapa tidak buat ekonomi?”, tanya bapa saudara saya.

Terkejut dengan pilihan yang saya buat.

Saya hanya tersenyum. Tidak berkata-kata. Malah harus kuat semangat untuk melawan persepsi yang bertentangan.

KEJUTAN

Keberadaan saya di gelanggang ilmu selama bermastautin di Jordan banyak likunya. Saya tersepit di antara pengajian yang saya sendiri pilih, dengan kegagalan mencari kepuasan di dalam apa yang saya lakukan. Entah di mana silapnya, serba serbi jadi tidak kena. Minat kepada subjek-subjek Syariah tidak hilang, tetapi keghairahannya berpindah, tumpah ke bidang Sejarah.

Apabila direnung-renungkan balik, syukurlah bidang itu bidang yang saya pilih. Bukan sesuatu yang dipaksakan ke atas saya. Tatkala dihinggap kejemuan, teringat kembali kepada segala peluang lain yang dilepaskan untuk INI. Bukan saya sendirian, malah rakan-rakan yang lain juga.

Dalam komuniti pelajar agama’, pelbagai kerenah dan insiden yang berlaku. Bukan sedikit nanah yang membusung. Semuanya mencetuskan jatuh bangunnya maruah pelajar Malaysia di rantau orang. Apatah lagi pelajar agama. Tatkala puncanya cuba dikesan, bertemu kita dengan beberapa peringatan.

Antara yang paling utama, jangan sesekali berjuang dalam paksaan. Ibu bapa, paksalah anak belajar dan faham agama, tetapi jangan dipaksa anak itu menjadi ‘orang agama’.Ilmu agama itu perlu untuk bekalan diri, tetapi memaksa anak menjadi ‘orang agama’ tanpa kerelaan hati si anak, bukan sahaja merosakkan dirinya, malah anak itu ada upaya pula merosakkan orang lain.

Ayah dan ibu manakah yang tidak mahu melihat anaknya mendalam pengetahuan dan penghayatannya terhadap agama? Segala kepedihan, cabaran dan pengorbanan selama membesarkan anak, terasa berbaloi dan berbayar kembali tatkala si anak merendangkan seisi keluarga di bawah teduhan agama.

Bacaan al-Qurannya…

Kepimpinannya di dalam solat…

Penghargaan yang diterimanya dari masyarakat…

Itulah anak soleh juga solehah, yang bakal mendoakan si ayah dan ibu tatkala berangkat pergi, di suatu hari nanti.

Impian itu diterjemahkan di dalam keinginan ibu bapa melihat anaknya memilih bidang agama. Mungkin manifestasi awalnya ialah pada memasukkan si anak ke sekolah Tahfiz. Mungkin dimasukkan ke sekolah agama. Atau apa-apa platform ke arah menjadikan anak itu beragama.

Tetapi ada kalanya ibu bapa keliru di antara menjadikan si anak beragama dengan menjadikannya orang agama. Apa yang dihajatkan oleh seorang ibu dan seorang bapa itu hakikatnya sudah sempurna tercapai apabila si anak menjadi manusia beragama. Tidak semestinya hingga jadi orang agama.

Sedangkan usaha menjadikan anak sebagai orang agama, adalah sesuatu yang mesti dinilai dan dipertimbangkan dari banyak sudut.

MINAT DAN KECENDERUNGAN

Pertama, apakah si anak itu ada minat dan kecenderungan?

Pengalaman saya di sekolah agama, dan kemudiannya pergi bermusafir di negara Arab dan menuntut di fakulti agama, memperlihatkan banyak ‘sampel’ yang sulit, antaranya berpunca daripada anak yang dipaksa ibu bapa melakukan sesuatu yang anak itu langsung tidak minat. Hidup bertahun dalam jiwa yang memberontak, bukanlah sesuatu yang sihat.

Sama sahaja dengan bidang-bidang yang lain. Ibu bapa yang menentukan destinasi kerjaya anak-anak mungkin berhasil dalam keluarga tertentu, tetapi ia adalah suatu penderitaan dan beban yang besar bagi kebanyakan.

Minat anak-anak berkembang dan bercambah hasil interaksi dirinya dengan persekitaran, semenjak kecil. Tidak semestinya anak seorang doktor akan terpengaruh untuk turut sama menjadi seorang doktor suatu hari ini. Ia bergantung kepada cara si anak diperkenalkan dengan kerjaya ibu atau bapanya yang doktor itu, serta bagaimanakah beliau menafsirkannya.

Mungkin si anak kagum dengan kerjaya kedoktoran orang tuanya, mungkin sahaja si anak membenci kerjaya itu, kalau tak kena gaya. Atau mungkin sahaja si anak tidak menunjukkan rasa benci atau suka, sebaliknya cenderung sahaja kepada minat-minat yang lain.

Maka, memaksakan kerjaya tertentu kepada anak, bukanlah suatu pendekatan yang mudah. Ia terlalu subjektif untuk saya katakan positif atau negatif, tetapi bagi diri saya… anak-anak bebas memilih kerjaya yang sesuai dengan bakat, minat dan kelebihan yang ada pada dirinya.

Sabda Rasulullah SAW:

Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling bermanfaat untuk manusia

Itulah yang seharusnya diberi perhatian. Bahawa kerjaya yang dipilih itu harus menjadi saluran manfaat dirinya kepada manusia. Dan untuk nilai ini menjadi asas pemilihan kerjayanya, si anak harus dibentuk dari awal untuk menjadi manusia yang berakhlaq dengan sikap berbudi dalam berbahasa dan memberi dalam menerima.

Saluran manfaat itu pelbagai. Seeloknya biarlah saluran itu saluran yang berjaya mengahwinkan manfaat dengan minat.


KILANG MANUSIA TERCEMAR

Terlalu berat untuk saya ungkapkan di sini, tetapi saya khuatir dengan nasib sekolah agama malah fakulti-fakulti agama. Kita meyakini bahawa agama adalah bahan paling utama dalam membentuk manusia kita.Maka amat besarlah musibahnya apabila institusi agama menjadi tempat berkumpulnya manusia yang runtuh jiwanya, musnah akhlaknya, dan kebanyakan kelakuan tidak senonoh di kalangan bakal ‘orang agama’ ini adalah berpunca daripada paksaan ibu bapa ke atas mereka.

Paksa anak belajar agama, tetapi jangan paksa anak jadi orang agama!

BEGIN WITH THE END IN MIND

Keduanya, jika anak mahu dipaksa masuk ke bidang agama untuk menjadi orang agama, apakah telah jelas di fikiran ibu bapa dan anak-anak apakah kerjaya yang bakal disandang oleh anak selepas tamat pengajian nanti?

Soalan yang sering saya tanya, KENAPA MAHU JADI USTAZ?

Saya sudah pun mengungkapkan dengan panjang lebar di dalam artikel saya dengan tajuk yang sama. Tetapi perspektif ibu bapa terhadap hal ini juga mesti dinilai kembali.

Kita mahu anak kita menjadi orang yang beriman dan bertaqwa, atas keyakinan kita bahawa anak seperti ini ‘menyelamatkan’. Inilah anak yang bakal mengemudi keluarga, menghulurkan doa selepas ketiadaan kita, menyejukkan mata, jiwa dan telinga dengan bacaan al-Quran dan lafaz hadith pada bibirnya, tetapi perlukah untuk mencapai semua itu, seorang anak menjadi ‘orang agama’?

Menjadi orang agama dengan menjadi orang yang beragama adalah dua perkara yang boleh bertindan, tetapi nyata ia adalah dua identiti yang berbeza. Khususnya apabila ia dikaitkan dengan kerjaya.

Peluang pekerjaan untuk orang agama itu agak berbeza. Jika dia mahu mengikut spesifikasi kerja yang bersesuaian dengan kelulusannya, maka berapakah jumlah tenaga manusia yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru KPLI, J-QAF, jabatan-jabatan agama, Baitulmal dan guru-guru di pelbagai sektor lain? Berapakah jumlah kekosongan untuk menjadi pensyarah di bidang agama?

Pendek kata, persaingannya sangat tinggi. Untuk si anak pergi mengisi kekosongan ini, mereka harusoutstanding dengan kelebihan masing-masing.

Malah sebelum mereka pergi mengisi kekosongan itu, apakah selaras minat mereka di bidang agama dengan minat mereka untuk mengisi kerja-kerja admin di jabatan-jabatan agama?

Bagaimana pula dengan tugasan sebagai Imam sepenuh masa di sebuah masjid? Tidak dinafikan, status sosial seorang Imam di dalam komunitinya memang baik.Tetapi penghormatan yang diberikan oleh masyarakat mungkin tidak setimpal dengan keperluan hidupnya. Bertugas sebagai imam belum lagi secara umumnya boleh menjadi suatu profesyen di negara kita.

Saya bukan sahaja memaksudkan ia dari aspek penggajian, malah Imam-imam di masjid kita masih dibayar secara elaun, bekerja dengan taraf kontrak, tiada pencen, EPF atau yang seumpama dengannya, malah skop kerja yang membosankan. Disebabkan oleh kongkongan pelbagai pihak terhadap peranan sebuah masjid, para Imamnya juga turut terbantut perkembangan diri.

Semasa saya bertugas sebagai Imam sepenuh masa di Ireland Utara, kebebasan yang dinikmati oleh masjid-masjid di sana telah menjadikan tugasan saya bercabang kepada peranan-peranan berikut:

  1. Mengimamkan solat lima waktu dan Jumaat.
  2. Mengajar jemaah masjid kitab Nuzhat al-Muttaqin Sharh Riyadh al-Salihin.
  3. Menjadi jurunikah untuk menikah kahwinkan pasangan, serta menguruskan hal ehwal rumahtangga termasuk penceraian dan konflik rumahtangga.
  4. Menjadi pegawai agama (Muslim Chaplain) di hospital, penjara dan universiti (QUB).
  5. Menjadi pengetua sekolah.
  6. Menjadi guru pada masa yang sama.
  7. Membangunkan silibus pendidikan sekolah.
  8. Mengendalikan dialog interfaith dengan tetamu masjid.
  9. Menjadi webmaster halaman web masjid.
  10. Bertindak sebagai ‘kaunselor’ untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah yang pelbagai oleh komuniti

Skop kerja ini memang agak ‘gila’ dan saya tidak dapat menafikan trauma yang saya alami akibat beban kerja yang teramat sangat itu. Tetapi tekanan itulah yang kemudiannya tanpa sedar telah memaksa diri saya untuk berkembang.

Apakah seorang imam di dalam sistem yang menguruskan masjid kita (jika ada sistem) memberi ruang yang luas untuk seorang anak muda berkembang? Tatkala seorang imam muda bertemu dengan rakan-rakannya yang menyambung pengajian peringkat sarjana, atau masuk ke bidang kerja yang kelihatannya punya prospek yang lebih baik, ditambah dengan rutin kerja seorang imam yang sangat hambar lagi membosankan, saya tidak terkejut jika perjawatan imam tidak mampu kekal lama. Sering sahaja berganti.

Jika seorang ibu dan bapa mahu menyalurkan anak kepada kehidupan seperti ini, mereka harus cuba untuk memahami apakah bentuk dilema dan cabaran yang bakal membelenggu mereka.

Terjun ke masyarakat sebagai seorang ustaz dan ustazah jadi lebih mencabar apabila dirinya tidak cukup kompetetif dalam menangani keperluan masyarakat. Seorang Imam yang hafiz 30 juzuk, menjadi Imam di sebuah masjid yang dikelilingi masyarakat korporat dalam keadaan Imam itu tidak mampu berbahasa Inggeris, tidak mengetahui dan memahami kehidupan ahli jemaahnya yang sangat urban itu, pasti akan berdepan dengan konflik.

Jika tidak dengan kaum ibu dan kaum bapa, mungkin sahaja berdepan dengan konflik tatkala berinteraksi dengan anak-anak mereka yang English Oriented itu.

Kesimpulannya, apabila seorang anak muda memilih atau dipaksa memilih untuk menjadi orang agama,dirinya harus membuat persediaan yang sesuai dengan cabaran yang bakal menanti. Pelajar yang cemerlang semasa di alam persekolahan, tetapi kemudiannya memilih untuk menjadi orang agama, harus bersedia untuk mungkin bertemu semula dengan rakan sekolah 15 tahun selepas SPM dalam keadaan taraf kerjaya yang jauh berbeza. Mungkin yang paling cemerlang itu bukan yang hidupnya paling senang.

KEMAMPUAN

Terakhir, jika soal minat dan kesediaan terhadap cabaran itu sudah diambil kira, maka keputusan untuk membuat pengkhususan di bidang agama mestilah pula mengambil kira soal keupayaan.

Kita tidak mahu bidang agama menjadi ‘tong sampah’ tempat mengumpul manusia buangan yang tidak mempunyai peluang di tempat lain. Kita tidak punya harapan yang tinggi jika bidang agama dipenuhi oleh pelajar yang lemah kemampuan. Ketika agama semakin dicabar oleh masyarakat hari ini, ia diburukkan lagi oleh agama yang dipimpin oleh orang agama yang mundur, tiada keupayaan untuk berdiri sama ada dengan kesarjanaan yang baik, mahu pun jati diri yang cemerlang.

Orang agama yang selekeh ilmu dan selekeh sikap hanya memburukkan lagi keadaan masyarakat kita.

“Susah sangatkah bidang agama ini?”, mungkin ada yang bertanya begitu.

Memang tidak susah. Jika sasarannya ialah sekadar mahu lulus. Cukup sekadar pulang dengan maqbul.

Tetapi jika seseorang itu mahu menjadi orang agama yang ada kesediaan terhadap challenge and responseyang sentiasa berubah dan menuntut perubahan, bidang agama memerlukan pelajar yang ada kelayakan untuk ke bidang perubatan, kejuruteraan dan undang-undang.

ANTARA BERAGAMA DAN MENJADI ORANG AGAMA

Justeru, ibu bapa harus mempertimbangkan sebaiknya, bahawa untuk waladun sooleh yad’uu lahu(anak soleh yang mendoakannya) itu berhasil, mungkin anak itu tidak perlu dipaksa untuk menjadi orang agama. Keutamaannya ialah pada memastikan si anak menjadi manusia beragama.

Tiada masalah untuk anak-anak meneruskan minat mereka di bidang Sunnatullah, kerana jalan untuk mereka itu melengkapkan diri dengan Syariatullah itu pelbagai dan terus ada sepanjang masa. Namun untuk seorang anak yang cemerlang masuk ke bidang Syariatullah, biarlah ia berlaku hasil minat, kemahuan dan kemampuan anak itu sendiri. Paksaan ibu bapa untuk anak ‘berkorban’ dengan masuk ke bidang agama, tanpa kesediaan minda yang betul, akan menjadi racun yang membinasakan.

ALTERNATIF

Mungkin kini, peluang melanjutkan pelajaran ke bidang perubatan di negara-negara seperti Mesir, Jordan malah mungkin juga di negara seperti Indonesia dan India, anak-anak ini mempunyai peluang yang luas terbuka untuk turut sama mengambil peluang mengukuhkan ilmu agama mereka. Selain dari silibus yang mengintegrasikan di antara subjek-subjek teras perubatan dan agama, peluang menambah ilmu melalui universiti yang didominasi bidang pengajian Islam, peluang bertalaqqi dan mengambil manfaat dari ulama’ yang ramai… boleh membantu.

Soal anak menjadi orang agama atau tidak, seeloknya biarlah atas pilihan dan perancangan. Namun untuk menjadi orang yang beragama, ia bukan pilihan, biar pun mungkin dengan sebuah paksaan!

Saya bercakap tentang realiti, jauh dari ilusi dan fantasi. Anda mungkin tidak enak membacanya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Lima Bahasa Kasih Sayang


Assalamualaikum ustaz. Saya mempunyai anak berusia tujuh tahun. Apabila saya menegur kesalahannya, dia mengatakan yang saya tidak sayangkan dia serta melebihkan adik beradik yang lain sedangkan kasih sayang saya kepada anak-anak tidak berbelah bagi. Apa nasihat ustaz?”

Alhamdulillah.

Soalan dihantar dalam bentuk nota dan ia bagus kerana di dalam program yang membabitkan hal-hal kekeluargaan, biasa sekali peserta segan hendak bertanya kerana tidak mahu kondisi rumahtangganya ‘dinilai’ oleh peserta-peserta lain.

KASIH TANPA SYARAT

Mendisiplinkan anak-anak lebih mudah jika anak mempunyai tahap emosi yang baik.

Mereka yakin dengan kasih sayang ibu bapa kepada mereka, justeru teguran tidak ditafsirkan sebagai benci, sebaliknya pembetulan dan disiplin.

Mengasihi anak-anak tanpa syarat tidak sama sekali bermaksud menjadi permisif. Anak-anak perlu didisplinkan, tetapi ia mesti SENTIASA bertitik tolak daripada rasa kasih sayang, bukannya benci. Peka terhadap intonasi dan gaya bahasa yang diguna pakai semasa memarahi anak sama ada ia terbit daripada kasih sayang atau benci.

“Kenapa tumpahkan air ini? Banyak kali emak dah tegur. Kamu ni!!!” si ibu meninggikan suara.

“Hishhh, kenapa kamu ni? Bodoh betullah, berapa kali emak nak cakapppp!” si ibu tidak begitu meninggikan suara tetapi menegur anak sambil jari telunjuknya ditujah-tujah ke dahi anak.

Nilaikan, mana satu teguran yang bertitik tolak daripada kasih sayang, dengan teguran yang terbit daripada rasa marah yang tidak terkawal hingga berubah menjadi benci.

Mengasihi anak dengan syarat, sungguh mengelirukan si anak.

BAHASA KASIH SAYANG

Keduanya, sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini, anak-anak malah manusia dewasa juga mengasihi dan dikasihi dalam bentuk-bentuk yang berbeza (The Five Love Languages for Children oleh Gary Chapman). Biar pun kelima-lima bahasa kasih sayang itu penting, namun setiap seorangnya akan lebih terkesan dengan salah satu daripada lima bahasa kasih sayang tersebut.

Bahasa-bahasa itu ialah:

Sentuhan fizikal

Perkataan

Masa berkualiti

Hadiah

Khidmat bakti

Semua ibu bapa sayangkan anak-anak. Tetapi ramai anak yang merasakan bahawa dirinya tidak disayangi (Gary Chapman). Salah satu puncanya ialah, ibu bapa mengasihi anak-anak hanya dengan menggunakan satu atau dua bahasa sahaja.

Misalnya, ibu bapa menunjukkan rasa kasih sayangnya kepada anak-anak dengan ‘perkataan’ apabila selalu menyebut kepada anak-anak, “ayah sayangkan kamu semua” atau “ibu sayang Adam, sayang Anas, sayang Anis”. Jika Anas dan Anis itu bahasa utama kasih sayangnya ialah perkataan, maka ungkapan itu berjaya membantu mereka yakin bahawa mereka memang disayangi. Tetapi jika bahasa utama kasih sayang Adam ialah sentuhan fizikal, biar pun dia juga diberitahu bahawa dia dikasihi oleh ayah dan ibunya, dia tidak dapat merasakan kasih sayang itu kerana ibu dan bapanya tidak memeluk, mencium, mengusap atau bergomol dengan Adam mahu pun adik-adik yang lain.

Dalam keadaan Adam tidak yakin dengan kasih sayang ibu bapanya kepada dia, usaha mendisiplinkan anak ini menjadi lebih rumit dan mencederakan jati diri.

Perhatikanlah tabiat-tabiat anak apabila mahu mendapatkan perhatian, juga cara anak-anak menunjukkan kasih sayangnya kepada kawan-kawan atau kepada kita sendiri, teliti apakah bentuk kasih sayang yang dia minta, apakah keluhan yang sering disuarakannya, dan perhatikan tabiat-tabiatnya dalam kehidupan seharian, untuk anda mengenal pasti bahasa kasih sayang utama setiap anak.

Andaikata ia tidak berhasil dilakukan, amat malang sekali jika anda yang sangat mengasihi anak-anak, dianggap oleh anak sebagai tidak menyayangi mereka semata-mata kerana anda tidak peduli kepada keistimewaan dan keunikan setiap seorang anak yang dianugerahkan oleh Allah itu.

Sesungguhnya Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menuturkan kelima-lima bahasa cinta itu.

Baginda memang seorang Murabbi Cinta.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Kita Dapat Apa Yang Kita Beri !

Kadang-kadang saya rasa tersinggung apabila permintaan saya tidak dihargai. Saya cuma mahukan masa beberapa hari dalam sebulan untuk saya bersama isteri dan anak-anak. Kotak-kotak kosong diari itu sebenarnya tidak kosong.

Bolehlah ustaz, janganlah macam itu. Anak hari-hari boleh jumpa. Kami sudah tiada masa lain yang sesuai untuk menjemput ustaz. Harap ustaz dapat pertimbangkan permintaan kami,” kata seorang pemanggil.

Dialog seperti ini meletakkan saya pada situasi serba salah. Saya berdakwah kepada masyarakat, bagaimana pula ahli keluarga saya sendiri? Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Itulah peribahasa Melayu yang amat menusuk perasaan saya.

Ketika saya menaip artikel ini, anak-anak saya sedang tidur nyenyak. Memandang mereka telah meretak hibakan hati saya.

“Maafkan Abi, wahai anak-anakku, Abi berdosa mengabaikan kalian,” saya sukar menahan hati dari bersedih.

Tidak wajar kita menyangka kita sudah menjadi ibu dan bapa yang baik hanya kerana makan pakai anak-anak sudah cukup. Itu tahap pencapaian yang dikongsi bersama antara manusia dan haiwan. Ibu bapa manusia ada tanggungjawab yang lebih besar dari itu. Soal makan, minum, pakaian, perlindungan, pendidikan, makanan emosi dan spiritual, semuanya mesti diharmonikan bersama bekalan yang tidak putus-putus. Apa yang paling utama adalah soal kuantiti dan kualiti masa yang kita luangkan bersama mereka. Sudah cukupkah untuk meyakinkan mereka, bahawa kita benar-benar kasihkan mereka?

Kita sibuk bekerja dan kerja tidak pernah habis.

Seandainya saya memohon kotak kosong itu dikekalkan kosong, janganlah heret saya ke suasana yang menjadikan saya tersepit. Saya ada tanggungjawab kepada anak-anak, kita semua sama. Anak-anak dan isteri saya, adalah mad”™u (sasaran dakwah) pertama saya.

Jika kita tercicir anak di perhentian lebuh raya, kita tetap ada jalan untuk berpatah balik, walaupun derau hati bagi separuh mati.Tetapi berapa ramai ustaz, doktor, polis, jurutera, pegawai bank dan kita-kita semua yang ketika dalam perjalanan memanjat tangga kerjaya dan kenaikan pangkat, kita tertinggal anak-anak di belakang. Jika lebuh raya kita boleh berpatah balik. Tetapi jika anak-anak tercicir dari Tarbiah Islam, ketika kita tersedar yang mereka yang sudah jauh ketinggalan di belakang, apakah ada jalan pulang? Apakah ada satu lagi peluang? Jawapannya TIADA.

Jika ada lelaki atau wanita yang berjaya di dalam kerjaya, jangan lupa kepada pengorbanan anak-anak selama ini. Jangan lupa dosa kita terhadap mereka.

Saya hairan semasa membaca sabda Nabi s.a.w. betapa tanda kiamat itu adalah pada ibu yang melahirkan tuannya. Anak derhaka jadi fenomena biasa di akhir zaman. Mengapa suasana begitu boleh terjadi? Pasti ia tidak berlaku tiba-tiba, atau tanpa sebab pemula.

Akhirnya saya membuat kesimpulan, anak durhaka di akhir zaman, bermula dengan dosa ibu dan bapa yang sibuk bekerja. What you give, you get back!

Maafkan Abi dan Ummi!


saifulislam.com


Teladan Anak berumur "40 " Tahun !

Jauhkan diri daripada Abi. You’re just beyond the limit” saya menahan marah.

Memang panas hati.

Tidur awal, sudah dibawa berjalan bersiar-siar semalamnya, masa berkualiti, dan tidur dengan baik. Tiada sebab langsung untuk buat perangai subuh-subuh ini.

Pagi ini anak saya enggan ke sekolah. Bukan pertama kali, tetapi sering. Malah bergilir-gilir pula dengan si adik. Kalau yang seorang ini tidak buat perangai, seorang lagi mengambil giliran. Kalau tidak yang seorang itu buat perangai, yang seorang ini menguji iman.

Sudah lama rotan tersimpan.

Kaedah ‘gentle but firm’ sentiasa diamalkan. Tetapi rotan tetap tergantung.

Kelmarin ia turun ke lantai, berfungsi buat pertama kalinya bagi tahun ini.

Pagi ini nampaknya rotan itu sekadar rotan. Cabaran yang sama berulang lagi.

Buat perangai pula di masa-masa kritikal. Jam 6:30 ke 7 pagi, waktu yang amat sempit untuk sesi kaunseling atau psikologi. Ada empat orang pula yang perlu diuruskan.

Tidak mahu mandi, enggan bersiap, mengamuk di bilik air, menendang-nendang termasuk bibik yang turut puas menahan sabar… hmm!

Dalam suasana seperti ini komitmen saya sebagai bapa terhadap ilmu pengetahuan dan kemahiran yang ada teruji. Jika sekolah di sebelah rumah, lain ceritanya. Tetapi sekolah terletak 35km dari rumah dan yurannya hampir RM700 sebulan untuk seorang. Saya tidak suka dengan fakta itu kerana ia bukan isu untuk anak saya. Ia isu saya. Isu untuk saya dan isteri yang berusaha menguasainya. Bagi anak, sekolah dekat atau jauh, sekolah percuma atau mahal, ia adalah sebuah sekolah.

“Baik tak payah sekolah kalau macam ni!” bisik di hati bapa.

Tidak pasti yang berbisik itu iman, nafsu, atau syaitan.

“Kalau ikutkan hati, rasa nak lempang aje!” ada suara dalam hati berkata.

Tangan mengurut dada, mencari iman untuk memadam amarah.

Astaghfirullah!

Keletihan usaha seorang bapa untuk memenuhi keperluan pendidikan anak-anak, adakalanya menjadikan kita tidak rasional.

Sebenarnya…

Kisah ini jangan diceritakan di Facebook. Jangan ditulis di blog. Apa yang diharap adalah simpati. Tetapi benda lain yang lazimnya muncul.

Nanti salahnya akan ditunding kembali kepada bapa. Mungkin genetik yang dipersalahkan. Saya yang agaknya semasa kecil terlupa bahawa saya juga pernah begitu. Ada juga yang kata, mungkin bagi anak makan duit tak bersih, jadi anak buat perangai. Oleh kerana saya banyak berceramah, ada juga yang berteori bahawa Allah sedang menguji saya pada apa yang saya kata.

Ada yang kata biarkan sahaja. Banyak contoh di depan mata, budak-budak yang semasa kecil buat perangai, akhirnya besar jadi manusia yang baik juga. Pendek kata, rasa sedih, kecewa dan kesal saya itu tidak valid.

Semua itu menyebabkan rasa kecewa dan tertekan kita sebagai satu kesalahan. Dan ia menambah lagi rasa tertekan. Lebih menekan, apabila ibu bapa yang sudah senior hanya ketawa dan berkata, “been there, done that!

Akhirnya kita tidak pasti, di mana hendak bernafas. Meminta tolong kepada manusia, akhirnya jadi seperti orang lemas meminta bantuan daripada orang lain yang lemas juga!

Hanya mampu menarik nafas dalam-dalam dan membina keyakinan, inilah sebabnya mengapa anak mencecah usia 40 tahun, baru dia benar-benar berjaya menghayati susah payah ibu bapanya membesarkan dia suatu ketika dahulu.

Suatu ketika dahulu…

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)” [Al-Ahqaaf 46: 15]

Saya mohon ampun kepada Allah atas dosa-dosa saya sebagai seorang anak.

Maafkan saya Abah.

Maafkan saya Emak.

Sakitnya usaha mendidik dan membesarkan anak-anak.

Di sinilah timbul kesedaran untuk saya bersungguh menggerakkan kumpulan sokongan ABAH.MY yang lama terbengkalai. Kumpulan sokongan ini perlu untuk para ABAH mencari sisi pandang yang menyokong, bukan menghukum.

Kepada Allah jua dipohon pertolongan.

Aku insan yang lemah.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com