Umrah sunat hanya mampu saya lakukan selepas beberapa hari pulang dari Mina kerana menunggu surutnya jemaah di waktu Tawaf. Tetapi pastinya tiada istilah surut dimusim Haji jauh berbeza di waktu Umrah. 2 minggu sebelum wukuf sudah ramai dan saya hanya mampu lakukan 1 kali Umrah Sunat selain 1 kali Umrah Haji dan terpaksa menunggu selepas pulang dari Mina untuk lakukan Umrah Sunat , itupun selepas beberapa hari menanti bilalah jemaah lain nak balik tapi tidak juga balik balik malah makin hari makin ramai mengelilingi Baitullah kerana ibadat untuk Tawaf Haji, Tawaf Umrah Wajib (untuk Haji Ifrad), Tawaf Wada dan Tawaf Umrah Sunat.
Disana kita akan lihat berbagai cara jemaah melakukan ibadat mereka , ada yang memilih beberapa waktu yang sesuai sahaja untuk ke Masjid atau memilih untuk solat di Surau Hotel mahupun di bilik. Ada yang membuat Tawaf Sunat atau Umrah Sunat tetapi terpaksa mengorbankan solat fardhu di Masjid. Jadi kalau kita memilih seperti apa yang saya lakukan , tentulah saya cadangkan hanya yang kuat fizikal dan mental boleh melakukannya . Tetapi kalau kita tiada kekuatan fizikal maka pilihan alternatif seperti kebanyakan jemaah lakukan akan menjadi pilihan.
Mengapa saya berkata begitu adalah kerana kita memerlukan sekurang-kurangnya 45 minit ke 1 jam awal sebelum waktu solat untuk berada di Masjid , itupun sudah bersesak dengan begitu ramai manusia untuk ke Masjid. Kalau lambat kita tidak dapat solat di dalam Masjid ! Bila berada 1 jam awal sebelum waktu , kita kena pastikan kita mampu menjaga wudu kita. Kalau wudu kita batal , agak sukar mengambil wudu walaupun kita boleh mengambil di tempat air zam zam, tapi makin dekat waktu solat makin ramai orang. Lelaki dan perempuan pula boleh minum air zam zam ditempat yang sama jadi menyukarkan untuk ambil wudu yang terletak dibahagian belakang dinding masjid, itupun kalau tempat solat kita dekat dengan tempat minum air zam zam di dinding. Sebab itu membiasakan diri mempunyai wudu yang lama sewaktu di Malaysia lagi akan memudahkan kita sewaktu berada di Masjdil Haram.
Setiap kali selepas solat kita perlu menunggu masa sedikit untuk redakan jumlah jemaah yang hendak keluar dari Masjid dan pergerakan adalah sangat perlahan. Kalau kita tunggu lama supaya kita tidak turut dalam arus itu, masa kita akan suntuk untuk sampai ke Hotel semula. Kalau selepas Zuhor kita bukan sahaja berjalan dengan perlahan ditengah panasdidalam arus manusia, bila sampai di dewan makan kena juga beratur untuk ambil makanan dan kadang kadang tiada tempat duduk kerana penuh. Selepas sahaja makan , bergegas untuk menunggu peluang untuk naik lif kerana ramai yang hendak naik pada waktu yang sama. Sampai di bilik , mungkin dapat rehat 5 minit dan terus ambil wudu untuk pergi Solat Asar pula. Kalau Asar pukul 3.15 petang, kita baru habis makan di dewan makan sekitar pukul 1.50 tgh, bermakna pukul 2.15 ptg sudah kena bersiap untuk turun dari hotel menuju ke Masjid. Ruang masa antara 1.15 tgh hingga 2.15 ptg itulah kita boleh rehat dan ambil wudu. Kalau rakan bilik kita semuanya hendak ambil wudu , tentulah kita kena pandai cari ruang waktu untuk ambil wudu dulu supaya kita tidak terlambat untuk turun dari hotel.
Lif untuk turun pun ramai juga dan selalunya penuh , jadi kena pastikan kita sudah keluar dari bilik sebelum jemaah mula hendak turun guna lif. Sebab itu strategi mesti ada ! Mesti pandai atur masa, mesti komited jaga kesihatan , mesti sentiasa rasa seronok setiap kali ke Masjid maka setiap halangan yang kita lalui , terkejar-kejar, beratur, penat dan panas mendapat pulangan yang istimewa setiap kali kita mengerjakan solat di Masjidil Haram . Ini adalah kerana setiap solat yang kita lakukan itu menuntut pengorbanan yang sangat tinggi. Barulah saya tahu mengapa pahalanya begitu banyak diberi kerana disebalik hendak lakukan setiap solat itu saya belajar erti kesabaran, disiplin, keinsafan dan kekuatan minda.
Sebab itu tidak mustahil , kita selalu terdengar kisah mereka yang hanya solat di Hotel kerana bila kita berada disana baru kita tahu halangan dan cabarannya bukan sedikit setiap kali hendak ke Masjid.
Tetapi , kita yang memilih.
Adakalanya bila susah itulah manis, tetapi ada pula bila susah itulah pahit. Setiap ibadat memberi rasa yang berbeza bagi setiap individu.
Saranan saya , pergilah diwaktu usia kita masih berupaya untuk dihimpit dan diasak oleh manusia yang kuat kuat seperti orang Negro dan India. Tandingan kita untuk ke Masjid bukan dengan orang Asia yang baik baik tetapi beradu tenaga untuk berjalan dan berjalan dan berasak dengan manusia manusia gagah yang bukan bandingan kita apatah lagi bagi seorang wanita !
0 comments:
Post a Comment