Takziah adalah salah satu contoh akhlak yang mulia yang dapat menzahirkan kasih sayang seorang muslim terhadap saudaranya yang lain. Ianya merupakan satu amalan untuk menenangkan perasaan seseorang yang ditimpa musibah kematian dan meringankan kesedihannya iaitu dengan menyebut-nyebut sesuatu yang boleh menghiburkan hatinya.
Mengucapkan takziah hukumnya adalah sunat, kerana ia termasuk di antara perkara menyuruh kepada kebaikan dan menegah daripada kemungkaran. Sebagaimana juga, ianya adalah termasuk di antara perkara bertolong-tolongan dalam kebajikan dan taqwa.
Ucapan takziah boleh dibuat dengan apa juga lafaz yang memberi maksud takziah. Antara lafaznya:
Ertinya: “Semoga Allah memberi ganjaran yang besar, mengelokkan dukacitamu dan mengampunkan mayat (ahli keluarga)mu.”
Takziah dari segi istilah bererti menyuruh seseorang dengan bersabar dan mendorongnya dengan pahala yang dijanjikan, memperingati daripada dosa, mendoakan bagi si mati dengan keampunan dan mendoakan bagi orang yang terkena musibah dengan mendapat penggantinya. (Mughni al-Muhtaj: 1/481)
Sudah menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat untuk menziarahi keluarga si mati atau orang yang terkena musibah. Amalan ini amatlah digalakkan oleh Islam.
Hukum Takziah
Takziah itu sunat diucapkan kepada mereka yang ditimpa musibah, sebagaimana Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya : "Tiadalah seorang mukmin yang mengucapkan takziah pada saudaranya yang ditimpa musibah, melainkan Allah s.w.t. memberikannya pakaian daripada pakaian kehormatan di hari qiamat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Adapun takziah itu sunat diucapkan kepada ahli keluarga musibah pada keseluruhannya, sama ada terdiri daripada orang dewasa lelaki dan perempuan atau pun kanak-kanak yang berakal. Akan tetapi tidak boleh mengucapkan takziah itu kepada perempuan yang muda melainkan sesamanya perempuan, suami atau pun mahramnya. Ini kerana ditakuti akan mendatangkan fitnah.
Waktu Dan Jangka Masa Takziah
Sunat mengucapkan takziah kepada ahli keluarga musibah sebelum dan selepas menguburkan si mati. Adapun lebih afdhal mengucapkan takziah itu selepas menguburkan si mati kerana kesibukan ahli keluarga pada menguruskan mayat si mati. Berlainan halnya jika ahli keluarga itu terlalu sedih dan resah sebelum dikuburkan mayat tersebut, maka afdhal didahulukan takziah itu bagi menghilangkan kesedihan dan keresahannya.
Ucapan takziah kepada ahli keluarga musibah itu, hendaklah tidak melebihi kira-kira tiga hari lebih kurang. Kerana dalam jangka masa tiga hari itu, ahli keluarga musibah pada kebiasaannya hati mereka sudah mula tenang dan tidak merasa sedih dan resah lagi. Makruh mengucapkan takziah kepada ahli keluarga si mati selepas berlalunya tiga hari agar tidak menimbulkan lagi kesedihan mereka. Jika salah seorang di antara orang yang mengucapkan takziah dan orang yang diucapkan takziah itu tidak ada pada masa tersebut, maka harus diucapkan takziah itu selepas tiga hari.
Lafaz Takziah
Adapun ucapan takziah itu jika ditujukan kepada ahli keluarga yang Islam dan bagi si mati yang Islam, lafaznya adalah seperti berikut : Ertinya: “Semoga Allah membesarkan pahalamu dan kesabaranmu dan semoga Allah memberimu penggantinya".
0 comments:
Post a Comment