Satu ciri istimewa yang dimiliki oleh surah Al-Haj adalah ia merupakan satu-satunya surah yang dinamakan dengan salah satu daripada rukun Islam. Ibadah haji merupakan topik asasi bagi surah Al-Haj. Di sini kita dapat lihat betapa tingginya nilai ibadah haji dalam kehidupan seorang muslim.
Sekiranya kita membaca permulaan surah Al-Haj, kita akan mendapati bahawa di dalam surah tersebut ada menceritakan perihal hari kiamat. Kita akan dapat lihat bahawa ayat-ayat tersebut memfokuskan kepada hari kiamat, kebangkitan dan tempat kembali sehinggalah ayat-ayat tersebut berpindah kepada topik jihad fi sabilillah, kemudian kepada pengabdian dan ketundukan yang sebenar-benarnya kepada Allah s.w.t. Apakah kaitan diantara topik-topik tersebut?.Dan apakah kaitannya dengan ibadah haji?.
Sesungguhnya seorang muslim akan memahami apakah yang dimaksudkan daripada surah tersebut dengan menunaikan ibadah haji ataupun dengan berada bersama para jemaah haji dan berkhayal bahawa dia merupan salah seorang dari mereka. Haji merupakan satu ibadah yang mempunyai peranan yang asasi di dalam pembinnaan ummah. Seakan-akan surah tersebut berkata kepada mereka : tunaikanlah haji yang sahih sepertimana haji yang ditunaikan oleh Rasulullah s.a.w supaya kamu membina diri kamu dengan makna-makna yang asasi disebalik ibadah haji tersebut. Seterusnya makna-makna tersebut akan bertindak secara praktikal di dalam pembinaan individu, masyarakat dan seluruh ummah.
Peringatan amali
Surah tersebut bermula dengan mengingatkan kita dengan hari kiamat. Pada permulaan surah kita membaca firman Allah s.w.t ” Wahai manusia ! Bertakwalah kepada Tuhanmu, sesungguhnya goncangan (hari) Kiamat itu adalah suatu (kejadian) yang sangat besar”. Apakah kaitan diantara haji dan hari kiamat?.
Sesungguhnya ibadah haji secara keseluruhannya mengingatkan tentang hari kiamat, dari Arafah ke Muzdalifah untuk melontar jamrah dalam keadaan yang amat panas, bersesak-sesak, dan penantian yang lama. Setiap manusia berharap kepada Allah dengan doa, dan mengucapkan ” labbaika Allahumma labbaik “, memakai pakaian haji yang mengingatkan kita tentang kain kafan yang dipakai oleh mayat. Setiap perkara tersebut mengingatkan kita tentang hari kiamat. Kepanasan, kesesakan , dan tenggelam di dalam kepanasan cahaya matahari hari kiamat.
Haji dan gambaran kiamat
Ayat seterusnya menyifatkan keadaan hari kiamat seakan-akan berlaku di depan mata kita, firman Allah : ” (Ingatlah) pada hari ketika kamumelihatnya (goncangan itu), semua perempuan yang menyusui anaknya akan lalai terhadap anak yang disusuinya ,dan setiap perempuan yang hamil akan keguguran kandungannya, dan kamu melihat manusia dalakeadaan mabuk, padahal sebenarnya mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah itu sangat keras.”.
Kemudian berpindah pula kepada ayat-ayat yang berkaitan dengan kebangkitan. Ketika manusia dikeluarkan dari kubur-kubur mereka dalam keadaan muka dan jasad mereka dipenuhi debu dan tanah mengingatkan kita asal kejadian manusia daripada tanah. Firman Allah : ” Wahai manusia! Sekiranya kamu meragui (hari) kebangkitan, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah...”.
Ketika menunggu untuk membuka pakaian ihram, kamu akan melihat seakan-akan kamu telah menjadi sebahagian dari tanah. Lebih-lebih lagi apabila kamu menunaikan haji seperti haji Rasulullah s.a.w. Di Muzdalifah kamu akan melihat ramai manusia seperti mayat yang kepenatan malah ada diantara mereka yang kelihatan seperti sudah menjadi mayat. Apabila tiba waktu fajar, manusia bangun seperti dibangunkan dari kubur. Setiap mereka memakai pakaian putih dan bergerak untuk melontar jamrah… dengan itu datang ayat mengingatkan kebangkitan dari kubur di dalam firman Allah : ” dan sunggguh, (hari) Kiamat itu pasti datang, tidak ada keraguan padanya, dan sungguh, Allah akan membangkitkan siapa pun yang di dalam kubur.“.
Demikianlah kita melihat kesan pertama haji di dalam mentarbiyah ummah. Tarbiyah tentang hari kiamat dan persediaan untuk menghadapinya.
Ibadah haji matlamatnya ketaatan kepada Allah
Firman Allah : ” Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati.”. Apakah rahsia Allah mensyariatkan ibadah yang amat agung ini?.
Sesungguhnya sepanjang ibadah haji ada perkara-perkara yang tertentu yang perlu ditunaikan. Sekiranya tidak ditunaikan dengan sempurna ia akan merosakkan haji tersebut. Seorang muslim yang sedang menunaikan haji akan bertawaf mengelilingi kaabah sebanyak tujuh kali, berlari-lari anak diantara dua bukit sebanyak tujuh kali, kemudian ketika melontar jamrah, dia melontar batu kepada batu. Maka seakan-akan dia mempraktikkan pelbagai ibadah yang tidak diketahui hikmah disebaliknya, tetapi sebenarnya dia hanyalah menunaikan ketaatan kepada Allah, tunduk kepada perintahNya, dan ini merupakan puncak pengabdian dan ketaatan kepada Allah s.w.t, dan juga latihan kepada satu lagi kefardhuan di dalam Islam iaitu jihad dijalan Allah..
Haji dan jihad
Demikian datanglah selepas ayat-ayat haji ayat-ayat jihad fi sabilillah didalam firman Allah : “ Sesungguhnya Allah membela orang yang beriman…“. Dan firman Allah : ”Diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka dizalimi. Dan sungguh, Allah Maha kuasa menolong mereka itu.“.
Haji merupakan suatu latihan asasi kepada jihad fi sabilillah, ia diibaratkan daripada gerakan yang sukar dan perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain,. Kesimpulannya, haji merupakan suatu ibadah yang paling tinggi dimana seorang muslim meninggalkan kebanyakan rutin hariannya bagi membina diri dan menjadikannya seorang yang bersungguh-sungguh dan tahan lasak.
Haji dan ketundukan kepada Allah
Pada hari Arafah, kita akan merasakan bahawa bukan kita sahaja yang sujud kepada Allah di alam ini, tetapi kita akan merasakan bahawa khemah-khemah, gunung-gunung malah seluruh alam ini turut sujud kepada Allah s.w.t.. Maka kita akan bersama mereka di dalam sujud dan ketundukan kepada Allah s.w.t. Seperti di dalam firmanNya : ” Tidakkah engkau tahu bahawa siapa yang ada di langit dan siapa yang ada di bumi bersujud kepada Allah, juga matahari, bulan, bintang, gunung-gunung, pohon-pohon, haiwan-haiwan yang melata dan banyak di antara manusia ? Tetapi banyak (manusia) yang pantas mendapatkan azab. Barangsiapa dihinakan Allah, tidak seorang pun yang memuliakannya. Sungguh, Allah berbuat apa sahaja yang Dia kehendaki.“.
Kehidupan ummah di antara dua sujud
Surah pertama diturunkan tentang sujud saat awal perutusan adalah surah Al-Alaq dalam firmanNya : ” Sesekali-kali tidak! Janganlah kamu patuh kepadanya, dan sujudlah serta dekatkanlah (dirimu kepada Allah).“. Dan surah Al-Haj pada akhir perutusan, dalam firmanNya : ” Wahai orang-orang yang beriman! Rukuklah, sujudlah, dan sembahlah Tuhanmu, dan berbuatlah kebaikan, agar kamu beruntung.“.
Perbezaan di antara dua sujud menzahirkan perpindahan yang besar oleh ummah, dari sujud yang pertama yang ditujukan kepada Nabi s.a.w kepada sujud yang terakhir yang ditujukan kepada ummah keseluruhannya.
Jadi marilah kita sama-sama menunaikan ibadah haji, paling kurang kita menunaikan umrah bagi menyediakan diri kita mentarbiyahnya dengan makna-makna tersirat sepertimana yang terdapat di dalam surah Al-Haj.
0 comments:
Post a Comment