Sekadar renungan


Bila Allah cepat makbulkan Doamu, Maka DIA Menyayangimu,

Bila DIA Lambat Makbulkan doamu, Maka DIA Ingin Mengujimu,

Bila DIA Tidak Makbulkan Doamu, Maka Dia Merancang Sesuatu Yang lebih Baik Untukmu.

Oleh itu, Sentiasalah Bersangka Baik Pada ALLAH Dalam Apa Jua Keadaan Pun... Kerana Kasih sayang ALLAH Itu Mendahului KemurkaanNya.

********************************************************

Saat itu, hadir syaitan yang terkuat, sementara si hamba dalam kondisi paling lemah. Siapakah yang selamat?


Ya Allah, jadikanlah amal terbaik kami sebagai penutup amal kami. Jadikanlah umur terbaik kami sebagai akhirnya. Dan jadikanlah hari terbaik kami sebagai hari kami menjumpai-Mu
.


Sabda Nabi s.a.w ;"...dan sesungguhnya waktu yang paling syaitan dengan manusia adalah disaat kematian (nazak) ","(Riwayat Abu Na'im)" didalam sepotong ayat Mursyal , Nabi s.a.w bersabda dengan membawa maksud ," Saat paling hampir musuh Allah (syaitan) itu dengan manusia ialah dikala terbit rohnya".

ZIKIR HARIAN

HARI AHAD: Ya Hayyu Ya Qayyum ( 1000 X )
HARI ISNIN: La haula wala quwwata illa billa hil 'aliyyil 'a ziim ( 1000 X )
HARI SELASA: Allahumma salli 'ala 'abdika warasulika wanabiyyikal amiina wa'ala alihi wasahbihi wasallim ( 1000 X )
HARI RABU: Astagh firullahal 'a ziim ( 1000 X )
HARI KHAMIS: Subhanallahii 'a ziim , Subhanallahi wabihamdihi ( 1000 X )
HARI JUMAAT: Ya Allah ( 1000 X )
HARI SABTU: La ilaha illallah ( 1000 X )

Sedikit Ilmu untuk dikongsi bersama...



Imam Ja’far Ash-shadiq (sa) berkata: “Barangsiapa yang membaca surat Ar-Rahman, dan ketika membaca kalimat ‘Fabiayyi âlâi Rabbikumâ tukadzdzibân’, ia mengucapkan: Lâ bisyay-in min âlâika Rabbî akdzibu (tidak ada satu pun nikmat-Mu, duhai Tuhanku, yang aku dustakan), jika saat membacanya itu pada malam hari kemudian ia mati, maka matinya seperti matinya orang yang syahid; jika membacanya di siang hari kemudian mati, maka matinya seperti matinya orang yang syahid.” (Tsawabul A’mal, hlm 117).

Bacaan Surah

.

Followers

Blog ini mengandungi Maklumat dan Koleksi ibadah untuk diri saya . Sekiranya ia baik , kita kongsi bersama , sekiranya ianya tidak baik , elakkanlah. Saya hanya insan biasa yang mencari ilmu selagi hayat dikandung badan...

.

Friday, May 18, 2012

Isteri dan Mata Hati


Astaghfirullah. Hei you, it’s HARAM!”, seorang lelaki Arab tiba-tiba menengking saya.

Terkejut saya dan isteri dibuatnya. Kami sedang mahu menyeberang jalan ke Botanic Garden.

Sorry, what HARAM?“, saya bertanya.

That! That is Haram“, kata lelaki itu sambil menunding ke arah tangan saya.

You mean, it’s haram to hold my wife’s hand?“, saya bertanya kepadanya kembali.

Astaghfirullah. You stupid!”, kata lelaki itu dan terus meninggalkan saya dan isteri yang terpinga-pinga.

Petang itu, mood kami rosak.

Asalnya saya berhasrat untuk membawa isteri saya ke kedai. Cadangnya mahu singgah mengambil angin di Botanic Garden terlebih dahulu. Maklum sahaja, sekarang ini musim bunga di Belfast. Kawasan Botanic Garden memang sangat indah.

botanicbelfast.jpg

Saya benar-benar tersentak dengan teguran lelaki itu tadi. Orang baru agaknya, tidak pernah saya melihatnya sebelum ini.

Isteri saya sedang mengandung 6 bulan, anak pertama kami. Beliau berjalan perlahan, dan saya biasa berjalan sambil memegang tangannya.

‘Irish’kah perbuatan memegang tangan isteri ini? Saya masih kebingungan. Bingung bercampur marah. Isteri saya juga kelihatan cemas di wajahnya diherdik lelaki tersebut.

Sememangnya di Ireland, saya dan isteri selalu berbual bab pegang tangan ini. Kami berasa sangat kagum dengan pakcik makcik Irish yang sangat mesra hubungan mereka sebagai suami isteri. Sambil bertongkat, suami masih berjalan sambil memegang tangan isteri. Menyeberang jalan bersama-sama. So sweet!

Lain pulalah dengan budaya kita orang Melayu. Jangan tunggu sampai ulangtahun ke-30 perkahwinan, baru 3 tahun kahwin pun suami sudah suka meninggalkan isteri di belakang. Malu nak melayan isteri sebagai isteri, barangkali!

Memang tidak dinafikan, lain orang lain budayanya. Mungkin kerana saya dan isteri lama tinggal di Ireland, kami pun tidak pernah pula terasa janggal berjalan dalam keadaan suami memegang tangan isteri. Apatah lagi dalam keadaan isteri yang mengandung. Tetapi perbuatan lelaki itu menengking saya dan isteri, sangat mengejutkan. Apatah lagi dengan label ‘stupid‘ yang diberikannya percuma kepada saya.

Selepas balik dari kedai, saya mengantar isteri ke rumah dan terus ke masjid untuk mengimamkan solat Maghrib.

Subhanallah! Lelaki yang menengking saya tadi ada di masjid. Apabila dia melihat saya, mukanya berubah menjadi merah. Masih marah dengan saya, entah di mana hujung pangkalnya.

Selesai iqamah dibacakan, saya melangkah ke hadapan untuk mengimamkan Solat. Alangkah terkejutnya lelaki itu hingga dia beralih ke hujung saf. Mungkin dia tidak menyangka yang saya si ‘bodoh’ ini yang diherdiknya di tepi jalan tadi, adalah imam di masjid. Selesai solat, lelaki itu bingkas bangun meninggalkan jemaah dan saya hanya memandang beliau pergi menghilangkan diri.

Saya berpesan kepada isteri saya, “apabila pulang ke Malaysia nanti, apakah benda-benda baik yang kita dapat di Ireland ini mampu dikekalkan?”

Berjalan seiringan, dan selepas kelahiran Saiful Islam, kami sering menolak pram ke taman bunga untuk menjaga kualiti kehidupan. Walaupun kerja di masjid banyak tekanan, tetapi jalan mencari keredaan itu banyak. Boleh ambil angin di Botanic Garden, boleh Rose Garden, atau sekurang-kurangnya berjalan ke rumah sahabat-sahabat, menyusur lorong-lorong Belfast yang redup dengan pepohon hijau yang menenangkan.

belfast002.JPG

Tetapi apabila balik ke Malaysia, saya jadi khuatir. Lupakanlah soal jalan berpegangan tangan, atau membawa anak-anak ke taman bunga. Saya diancam rasa takut melihat “Krisis Umur Pertengahan”, yang melanda pakcik makcik yang pernah saya temui di dalam kursus.

Amat banyak kes penceraian berlaku, walaupun rumah tangga sudah mencecah 15 ke 20 tahun. Dan hasil kajian, puncanya pelbagai tetapi ada di antaranya yang sungguh menyedihkan. Apabila mencecah usia pencen, wanita kita sering meninggalkan suami. Mereka suka berkawan dengan anak-anak yang sudah dewasa. Wanita kita akan bersama anak-anak pergi ke masjid untuk belajar mengaji dan mendengar kuliah. Isteri sibuk berkawan dengan anak, suami pula ditinggalkan.

Suami pula sedang menempuh proses ‘pemudaan’ pusingan kedua.

Malang sekali, banyak benar kes penceraian berlaku di kalangan mereka. Ia ada feedback yang diterima melalui peserta kursus kami.

Sebab itulah saya sering mengingatkan diri, betulkan pandangan terhadap isteri. Jangan pandang isteri dengan pandangan mata yang kering, atau pandangan akal yang gersang, jauh sekali pandangan nafsu yang melulu. Pandanglah isteri dengan pandangan hati, kerana hati itulah yang memberi makna kepada pasangan hidup kita. Walaupun sudah dimamah usia, dialah separuh hidup kita. Separuh yang manis, kata pepatah Arab. Adanya isteri dan suami, sempurnalah sifat seorang insan. Bayangkan sahaja Adam di Syurga, segala-galanya sudah sempurna. Tetapi tetap terasa kurang kerana dirinya tiada pasangan…

Hargailah kasih sayang suami dan isteri, pandanglah dengan pandangan hati, kerana ia pandangan hakiki.

Do I still sound stupid?” , ingin benar bertemu dengan lelaki Iraq yang mengherdik itu.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com


Thursday, May 17, 2012

Kisah Kasih Mak .



Mak selalu cakap dengan kami adik beradik, hanya kekayaan dan kematian sahaja yang dia belum pernah rasa selama 54 tahun dia hidup di dunia ini. Kekayaan yang Mak maksudkan adalah kekayaan dari segi harta.

Rasa sakit dan susah itu semacam sudah sebati dalam kehidupan seharian dia. Dia tidak merasa apa-apa lagi. Hati Mak sudah tepu dengan dua benda tu. Mak juga pernah berkata, hanya kematian sahaja yang akan mengakhiri rasa sakit dan susah itu..<—sedihkan?

Mak adalah anak sulung daripada lima adik beradik. Semasa Mak dilahirkan dialah menjadi kesayangan kedua orang tuanya. Yalah, anak pertama. Anak yang ditunggu-tunggu selama ini. Hidup Mak dengan atuk dan nenek sungguh bahagia. Sehinggalah Mak berumur 10 tahun.

Ketika itu Mak sudah mempunyai empat orang adik beradik. Tiga orang perempuan dan seorang lelaki. Hidup Mak dan adik-beradik semakin menjadi seperti bara dalam sekam. Kesengsaraan sentiasa menyelubungi Mak sebagai anak sulung. Nenek ada hubungan dengan lelaki lain. Datuk yang kuat bekerja tidak tahu menahu.

Mak menjadi mangsa subahat nenek dalam hubungan terlarang itu. Mak yang selalu membantu nenek menulis surat cinta kerana pada masa itu Mak sahaja yang baru sekolah dan tahu menulis dan membaca. Nenek buta huruf. Kalau Mak membantah tak nak tolong nenek, nenek akan pukul dan cepit Mak belakang pintu. Sehingga Mak lebam-lebam dan kadang-kadang sampai pengsan .

Apabila datuk dapat tahu pasal hal itu, datuk tak pukul nenek, datuk pukul Mak, datuk hentak kepala Mak di bucu meja sehingga Mak tak sedar diri. Mak pengsan untuk beberapa ketika. Bila Mak sedar tiada datuk atau nenek di sisinya untuk bertanya, kamu okey? atau membelai-belai kesakitan akibat pukulan dan tendangan datuk, atau sekurang-kurangnya sapu luka dan lebam Mak dengan ubat. Tiada sesiapa pada masa tu. Mak hanya menangis sendiri.

Kemudian, nenek tinggalkan datuk dan anak-anak. Hidup Mak dan adik-beradik kucar-kacir. Bayangkan, nenek telah meninggalkan Mak dan adik-adik lain terumbang-ambing. Mak masih berumur 10 tahun dan adik paling kecil tidak sampai tiga bulan masa itu. Pada masa ini, datuk sudah tidak peduli anak-anak, datuk sibuk cari rezeki. Mak terpaksa berhenti sekolah. Mak jadi IBU, BAPA dan KAKAK.

Semua kerja rumah mak yang buat. Mak yang memasak, membasuh dan menjaga adik-adik. Sehinggalah, pada satu hari datuk dimasukkan ke hospital selama tiga bulan kerana menghidap sakit TB. Mungkin sebab terlalu banyak merokok. Stresss!

Lagi beban Mak semakin bertambah. Mak terpaksa keluar rumah untuk mencari sesuap nasi. Siang hari Mak bekerja, petang Mak melawat datuk di hospital, malam Mak uruskan hal ehwal rumah tangga. Mak, seorang yang sangat tabah, besar hati dan kuat semangat, biarpun fizikal Mak sungguh kecil dan kurus.

Mak yang lakukan semua untuk kelangsungan hidup, biarpun pedih, jerih, perih dan susah. Mak terpaksa kerana terlalu sayangkan keluarganya, terutama adik-adik yang baru kenal dunia. Mak tak pernah mengadu, Mak tak pernah merungut, mengungkit. Walaupun ketika itu tidak ada seorang pun yang bersimpati dan kasihan. Mak tak ada sesiapa pada masa itu, adik-adik memang masih belum memahami, belum tahu betapa kejamnya dunia ini, sehinggalah Mak berumur 16 tahun.

Sepanjang Mak hidup bersama datuk, Mak tak pernah rasa bahagia, datuk tak pernah hargai Mak, datuk tak pernah ucapkan perkataan keramat ‘TERIMA KASIH’ pada Mak.

Sehinggalah, pada satu hari, Mak dipinang oleh Bapa. Bapa adalah antara rakan sekerja datuk di estet getah pada masa itu. Waktu itu umur Bapa dalam lingkungan 36 tahun. Biarpun Mak tidak kenal Bapa, Mak terima pinangannya. Beza umur Mak dan Bapa sebanyak 20 tahun! kenapa Mak pilih Bapa?

Kenapa? sebab Mak mahu lari dari beban yang sangat menggunung dan membeban di bahunya. Mak sudah tidak larat. Urat nadi Mak sudah tidak mampu. Tubuh kurus Mak tidak berdaya membanting tulang lagi. Mak jerih. Bapa menjadi pilihan Mak sebagai sandaran sehingga hari tua. Jadi Mak dan Bapa disatukan dalam keadaan sederhana. Amat sederhana. Tiada orang tua yang menjadi saksi pernikahan mereka. Nenek memang tiada khabar berita dari saat dia menginjak keluar dari keluarga Mak. Datuk pula pergi berjoli-joli dengan perempuan lain. Mak jadi pengantin, Mak juga jadi tuan rumah melayan tetamu, Mak juga jadi tukang masak untuk jamuan. Semua benda Mak yang buat. Hatta selepas majlis Mak juga yang membasuh pinggan mangkuk dan kuali belanga.

Alhamdulillah, berlangsung juga majlis Mak. Syukur Mak dapat Bapa sebagai suami. Selepas berkahwin Mak ingatkan bebanannya akan berkurangan. Salah. Beban Mak semakin bertambah. Datuk sudah hilang berfoya-foya dengan perempuan. Nenek datang semula ke kampung dan hanya mengambil adik kedua bongsu. Adik-adik lain ditinggalkan bersama Mak, malah semakin membesar. Memerlukan pendidikan dan asuhan. Mak menjaga tiga orang adiknya. Lagi. Nasib baik bapa seorang yang memahami, malah penyayang dan pengasih. Bapa menjaga adik-adik Mak macam anak sendiri.

Bapa yang menyekolahkan mereka, memberi pakai, makan dan minum, memberi mereka perlindungan. Mak dan Bapa bersusah-susah pada masa itu. Memelihara ayam dan itik dan menjual di pasar untuk menampung perbelanjaan adik-adik Mak. Alhamdulillah, adik-adik Mak berjaya habiskan sekolah sampai tingkatan 5, dan ada yang berkahwin semasa di bawah jagaan Mak dan Bapa.

Tapi, sayang, selepas masing-masing besar dan berjaya, tiada seorang pun yang ingat Mak dan Bapa. Mak bukan minta untuk disanjung-sanjung, cukup sekadar Mak dihargai dengan kasih-sayang adik beradik. Itu sahaja.

Banyak Mak buat pengorbanan untuk mereka, tak tertulis, tak terkira malah tak terkata. Selepas berkahwin Mak pernah ikut Bapa balik Melaka, ke kampung halaman Bapa. Tetapi penerimaan keluarga Bapa tidak seperti yang dijangka. Mentua perempuan dan Kak Long Bapa tidak menerima kehadiran Mak dengan senang hati. Mak difitnah dan dibuli. Serius. Kesusahan hidup Mak tak pernah berakhir. Kasihan Mak.

Kemudian Mak membuat permintaan, samada Bapa pilih keluarganya atau Mak dan anak-anak (pada masa itu abang sulung, akak dan seorang abang saya baru lahir). Bapa pilih Mak dan anak-anak. Mak dan Bapa berpindah semula ke Sabah. Semenjak hari itu Bapa tidak pernah balik ke Melaka kerana terlalu berkecil hati dengan perlakuan nenek dan kak long Bapa. Bapa terus hilang dari hidup keluarganya. Mungkin Bapa terlalu kecewa dengan mereka.

Mak kembali semula ke Sabah. Tetapi hidup Mak tetap diselubungi kesusahan. Datuk masih dengan perangai berfoya-foyanya. Bertambah ligat lebih-lebih lagi anak-anak sudah semakin membesar. Datuk selalu menjadikan Mak tempat melepaskan kemarahan.

Tetapi hati dan jiwa Mak disaluti emas. Mak masih menjaga datuk, menjaga makan dan pakai datuk. Sudah tanggungjawab Mak sebagai anak. Datuk berkahwin semula. Mak mendapat tiga orang adik baru. Selepas adik baru Mak paling bongsu lahir, emak tiri Mak meninggal dunia. Mak terbeban lagi menjaga adik-adik barunya. Namun, syukur, nenek mahu menjaga adik baru Mak yang paling kecil. Tapi hanya sekejap sahaja. Jadi Mak dan Bapa lah yang bertanggungjawab menjaga adik-adik barunya tambah dengan beban 8 orang anak.

Kemudian datuk menjual tanah di kampung, tanah yang ada rumah Mak dan Bapa, semata-mata untuk menampung pebelanjaan kahwin adik lelaki Mak. Mak terpaksa rela. Datuk berjanji, nanti datuk akan buatkan Mak rumah baru hasil penjualan tanah. Janji datuk dari dulu hingga kini tidak boleh pakai.

Datuk bagi Mak dan Bapa rumah lama tuan tanah yang datuk beli. Rumah buruk. Rumah senget. Rumah Mak dan Bapa di kampung lagi baik. Sana-sini bocor, berlubang dan rapuh. Datuk buat rumah baru yang besar.

Semasa awal-awal kami pindah ke kampung baru, adalah masa yang paling susah buat kami sekeluarga. Bapa belum ada kerja, adik-beradik kami ramai, rumah buruk, tiada pendapatan tetap. Tahu tak, datuk memang tiada rasa perikemanusiaan langsung terhadap Mak dan cucu-cucunya. Mak terpaksa mengemis datuk untuk beli makanan. Datuk memperlekehkan Bapa, mengatakan Bapa malas berusaha. Datuk hanya belikan Mak dan cucunya seikat sayur bayam dan berkilo-kilo ikan masin yang paling murah. <—-sehingga hari ini kalau Mak nampak ikan masin tu air mata Mak akan bergenang-genang.

Datuk menjadikan Mak macam orang gaji. Masa kami baru pindah, adik perempuan bongsu Mak baru lepas bersalin. Jadi, datuk paksa Mak untuk menguruskan semua hal berkaitan rumah tangga. Seawal jam 5.30 pagi datuk dah terpekik dan terlolong memanggil Mak untuk ke rumah makcik. Padahal Mak ada tanggungjawab sendiri untuk menguruskan anak-anak dan suami sendiri. Tapi, datuk akan marah-marah kalau Mak enggan menurut perintahnya. Mak lah yang akan menjaga makcik, memandikannya, memasakkanya, mencuci pakaiannya dan menjaga anaknya. Mak terpaksa membelakangkan tanggungjawab terhadap Bapa dan anak-anaknya. Bapa dan anak-anaknya terpaksa berusaha sendiri.

Datuk membelikan sayur dan ikan-ikan yang mahal untuk makcik sampai peti ais pun penuh. Berbagai-bagi jenis buah-buahan sampai tak habis makan. Untuk keluarga Mak, seperti biasa hanya sayur seikat dan ikan masin. Mak redha <—hati Mak kan diperbuat daripada intan.

Bukan setakat datuk yang jahat dengan Mak. Nenek juga begitu. Selepas berpindah ke kampung baru, Mak dan keluarga Mak (datuk, nenek dan adik-adik) tinggal bersama dalam satu kampung tetapi berlainan rumah. Nenek selalu marahkan Mak. Sehingga Mak tua, nenek masih memukul Mak, itu semua akibat hasutan daripada adik perempuan Mak. Mak pun tak tahu kenapa hati adik-beradik dan orang tua Mak sangat busuk.

Sehinggakan suatu hari, nenek humban parang dengan Mak. Memaki-maki Mak dan tidak mengaku Mak sebagai anaknya. Mak sampai pengsan diperlakukan begitu. Nasib baik ada kakak-kakak saya pada masa itu, akak saya tidak sanggup Mak diperbuat begitu rupa. Akak saya marahkan nenek dan berkata, nenek tak habis-habis benci dan pukul Mak dari kecil sampai tua, nenek tak malu? Mulai hari ini, anak-anak Mak ada 11 orang, kalau nenek buat Mak macam tu lagi, kami akan melawan!

Ya, mulai hari itu nenek tidak mengapa-apakan Mak. Hati Mak kan selembut sutera. Mak tak pernah berdendam dengan ibunya. Mak tetap berbaik sangka dengan nenek walaupun nenek tak pernah anggap Mak anaknya. Allah itu maha adil, di hari tua nenek, nenek nyanyuk. Nenek tak ingat apa-apa. Nenek tak kenal sesiapa. Tetapi paling mengejutkan, nenek masih kenal Mak, anak yang tak diakui anak olehnya, anak sulungnya. Nenek juga selesa kalau Mak yang menjaganya. Ada beberapa kali Mak pergi KL rumah abang, nenek tercari-cari Mak. Kuasa Allah siapa tahu. Sehingga nenek meninggal Mak setia di sisi nenek, memandikan serta mengafakannya.

Perihal datuk. Datuk yang masih tinggi egonya, besar jahatnya dan cemburunya terhadap Mak yang bahagia dikelilingi anak-anak dan cucu-cucu. Sehingga hari ini. Datuk banyak tabur fitnah di seluruh kampung mengenai Mak dan anak-anak Mak. Klimaks, apabila Mak pergi menunaikan umrah, jiran-jiran Mak membuat pengakuan pasal fitnah yang datuk lakukan terhadap Mak. Mak menangis dan mendoakan kesejahteraan datuk di tanah suci. Serta memaafkan datuk.

Tetapi, Mak janji, Mak tak akan menjaga datuk di hari tuanya nanti. Mak tidak berdendam, tapi Mak kata, perasaan sayang untuk datuk sudah tiada. Datuk tak pernah ingat jasa Mak, datuk tak pernah hargai kehidupan Mak yang sentiasa berada di sisi datuk. Datuk tak pernah ‘MEMINTA MAAF’ atas semua kesalahan yang datuk telah lakukan. Mak kata tidak ada sudah ruang di hati Mak untuk datuk.

Tetapi, hati Mak memang diperbuat daripada emas dan intan. Mak tak pernah ajar anaknya untuk membenci datuk, nenek, makcik dan pakcik kami. Walaupun kami tahu cerita disebalik kehidupan Mak bersama mereka.

Sesungguhnya, ALLAH MAHA ADIL.

Sekarang hidup Mak sungguh bahagia, anak-anak membesar, berjaya menjadi manusia, mempunyai menantu yang semuanya baik-baik dan sayang serta menghargai anak-anak Mak, pemurah kepada Mak dan Bapa, mempunyai cucu-cucu yang comel, sekarang Mak dan Bapa seperti diawal perkahwinan mereka. Duduk berdua menikmati hari-hari mereka. Tiada yang mahu difikirkan.

Berbalik kepada adik-adik Mak, kehidupan mereka tetap begitu. Kesemua talam dua muka. Sungguh baik bila di hadapan Mak, bila di belakang mengumpat Mak. Mak dah tidak peduli.

Itulah Mak saya, mak saya yang dijadikan Allah daripada seketul tanah yang wangi, cantik, bersih dan bernilai untuk semua orang. Hati Mak yang disadur emas berkilaun dan daripada intan yang tahan lasak.

Biarlah, hari ini Mak tak pernah rasa kasih sayang daripada orang tuanya, daripada adik beradiknya. Nanti di syurga Mak akan diselubungi kasih sayang Allah. Di dunia Mak di kelilingi kasih sayang Bapa yang setia (orang yang paling banyak menyokong dan memberi kata-kata yang baik untuk memujuk) di sisi Mak, anak-anak Mak, menantu Mak serta cucu-cicit Mak yang akan datang.

Hidup Mak baru bermula ~Today My Life Begins~

Kisah hidup Mak berlainan daripada kisah hidup orang lain. Mak saya tidak sama dengan Mak orang lain. Mak saya seperti muzium dan arkib yang menyimpan banyak khazanah dan kisah di sebaliknya. Ya Allah! berilah aku peluang untuk menjaga dan memberi sepenuh kasih pada Mak dan Bapa.


#Kisah benar Mak yang selalu Mak kisahkan kepada kami adik-beradik dengan tujuan supaya kami berkasih-sayang sesama saudara dan mengingat kesusahan#


sumber : ieyd.wordpress.com

Kasih Ayah

Inilah cerita benar... Cerita benar seorang penulis yang berjaya. Beginilah kisahnya...


Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah... Apabila saya ingin pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit... Seakan-akan mendesak...


" Ada duit?... Minta ayah sedikit.."


Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar... Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah... Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang... Mujurlah, isteri dan anak-anak saya sudah faham... Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak banyak meragam...


"Emak, ayah asyik minta duit... Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak ada duit," bisik saya kepada emak... Emak seperti biasa, berwajah selamba, sukar ditembak reaksinya...


"Bagilah beberapa yang ada..." cadang emak pendek...


"Takkan 5 ringgit?..." Emak mengganguk...


Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu... Apalah yang boleh dibeli dengan wang 5 ringgit....Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapan ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya...

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya... Tetapi yang mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulang ke kota... Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit... Siapa yang bagi kalau bukan ayah?... 10 tolak 5, saya masih 'untung' 5 ringgit... Geli hati mengenangkannya...


Begitulah selalunya tahun demi tahun... Apabila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan memberi pemintaan ayah... Kengkadang terlupa, tetapi ayah akan selalu mengingatkan... Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung... Kedudukan ekonomi saya yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan kepada ayah... Ironinya, ayah tetap dengan pemintaannya dan tetap tersenyum apabila menerima... Tidak kira berapa jumlahnya... Emak terus-terusan selamba... Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah)...


Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran... Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang... Ayah akan setiap memasukkan duit yang melebihi jumlah saya berikan kepadanya... Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat disebalik perlakuan ayah itu... Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada', tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya...


Namun, secara bertahap-tahap buku tulisan saya semakin mendapat sambutan... Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar... Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri... Saya masih ingat komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri...


"Nanti, besarlah kereta kamu ini...." ujur ayah sambil tersenyum...


Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung... Wang saya dahulukan kepadanya... Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya...


" Eh tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara...


Ekonomi keluarga sudah agak stabil... Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun perantaraan pemberian datuk kepada cucunya... Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak...

"Kenapa, dah kaya?" usik ayah...


Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap diselitkannya... Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi 'dikebas' oleh saya... Dan dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkan ke kocek anak saya... Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya...


Masin sungguh mulut ayah... Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta!... Di samping menulis, saya menjadi penerbit... Perniagaan semakin rancak... Oleh sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya sudah membeli MPV utuk kegunaan harian... Anak-anak mula menjejak menara gading...


Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak... Namun sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu... Anehnya ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya... Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami,
tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH... Mencontohi Allah al-Wahhab itu!..


Anda ingin tahu apa pesan penulis itu kepada saya?.. Ya, mari kongsi bersama: -

"Kini aku benar-benar faham bahawa ibu ayah yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka bukan 'liabiliti' tetapi sebenarnya aset untuk kita (walaupun istilah itu sebenarnya kurang atau tidak tepat kerana ibubapa bukan benda)"... Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.

"Memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri... Walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula... DOA MEREKA MUSTAJAB... Harapan mereka kenyataan... Kasih mereka berkekalan... Benarlah sepertimana sabda Rasulullah S.A.W, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa..."


Inilah sebenarnya rahsia 'perniagaan' yang jarang-jarang diperkatakan oleh tokoh korporat... Juga tidak pernah ditulis dalam mana-mana buku perniagaan... Masih punya ibubapa ? MEMBERILAH KEPADA MEREKA... Tidak ada?


Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda... Tidak ada juga?

Memberilah kepada sesiapa sahaja... Kita sentiasa berfikir untuk memberi...

Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri "walaupun itu bukan maksud kita" ketika mula memberi!...



Sumber : Unknown (E-mail)

Kasih Abang


Sayu...

Itu yang mampu aku katakan bila melihat gambar diatas. Aku memang tidak mengenali dua insan didalam gambar ini tetapi aku meyakini bahawa mereka ini bersaudara; lebih tepat lagi abang dan adik. Si abang mendakap adiknya yang masih kecil sambil kepala masing-masing bersentuhan antara satu sama lain jelas membuktikan bahawa pertalian mereka sangat erat. Mereka keletihan; mungkin kerana penat menjalani aktiviti seharian atau mungkin juga terlena kerana menahan lapar dan dahaga selepas beberapa hari tidak menjamah makanan. Sungguh kasihan melihat mereka berdua ini...


Si adik yang masih kecil mungkin baru berusia beberapa tahun nyenyak didalam pelukan abangnya. Dia tidak mengetahui dan mengenali apa-apa. Mungkin hanya pandai meminta dan menangis apabila perut mula berirama. Si abang tidak pernah jemu malah sentiasa berusaha agar nasib mereka berdua terbela. Sungguh menyayat hati apabila mengenangkan nasib mereka berdua ini. Masih lagi kecil, tidak tahu apa-apa sudah mula mencari rezeki demi sesuap nasi biarpun dengan meminta sedekah...


Begitulah kasih seorang abang. Sanggup bergolok bergadai untuk adiknya. Adakalanya, si abang sanggup berkorban apa sahaja agar kesejahteraan adik sentiasa terjamin biarpun ia mengancam dan menggugat diri sendiri. Siapa sangka, bukan setakat ibu dan bapa sahaja memberi kasih sayang pada anak-anaknya. Di sebalik hati yang keras dan ego seorang lelaki yang sentiasa menebal didalam diri, jauh di sudut hati seorang abang tersemat satu perasaan yang sukar digambarkan dengan perkataan. Itulah kasih seorang abang yang jarang kita ambil peduli...


Bila aku lihat gambar ini, aku teringat akan adik-adikku. Ketika mereka masih kecil sehinggalah dewasa. Aku memang sangat-sangat menyayangi mereka. Bila bangun pagi je, merekalah orang pertama aku cari. Selalu, selepas balik sekolah, aku akan bantu mak jaga mereka semua ; tukarkan lampin, mandikan mereka, malah buatkan susu dan dodoikan mereka tidur. Mereka pun, memang rapat denganku sewaktu kecil. Cuma kini, keadaan sudah berubah dan masing-masing pun dah besar panjang. Kami pun tak serapat sewaktu kecil kerana adik-adikku semuanya perempuan ; jadi ada batasan yang perlu dijaga diantara kami.


Selain dari mereka, aku juga mempunyai adik lelaki yang lain. Mereka bukanlah adik kandungku tetapi merupakan adik angkat. Tak kisah, bagi aku mereka tetap sama seperti adik-adikku yang lain. Layanan yang aku berikan sama seperti adik kandung sendiri kerana bagi aku, kasih sebagai seorang abang tidak pernah berbeza antara satu sama lain. Aku dah anggap mereka macam darah daging sendiri walaupun aku tahu, ada diantara mereka tidak merasakan begitu.


Aku memang jenis lembut hati; pantang melihat kalau adik-adikku susah. Aku tetap merasakan kesusahan itu sama. Pelik, bukan?. Tetapi itulah hakikat yang sebenar. Aku sanggup lakukan apa sahaja demi untuk kesejahteraan mereka semua. Adakalanya, mereka tidak sedar, mereka tidak tahu betapa kasihnya aku pada mereka. Aku sanggup lakukan apa saja asalkan mereka semua tidak menghadapi masalah dan kesusahan. Pernah berkali-kali, aku korban impian aku sendiri demi untuk adik-adikku. Kenapa ye aku buat macam tu ? Aku sendiri tidak pasti. Mungkin naluri dan kasih yang tebal menyebabkan aku nekad untuk berbuat demikian. Tak apalah, asalkan mereka bahagia dan gembira, sudah cukup dan memadai bagiku. Aku yakin, bila sesuatu pengorbanan itu dilakukan (lebih-lebih lagi pada adik sendiri), pastinya akan menerima ganjaran yang besar. Lagipun, kita sudah membantu orang yang ditimpa kesusahan. Dia pun bukan orang lain, adik aku juga kan? Kalau aku tak tolong, siapa lagi nak tolong ?


Selama ini, aku ikhlas. Aku hanya memberi yang terbaik pada mereka semua. Aku sendiri tidak pasti, apakah cukup dengan apa yang aku berikan selama ini. Kadang-kadang, hati tidak tenang dan sentiasa bergelora bila mengenangkan nasib adik-adikku. Ada yang menghadapi masalah, aku cepat-cepat bantu. Entah kenapa, aku boleh rasa perasaan mereka. Sekiranya aku sudah tidak berdaya, aku akan jadi gundah gulana. Rasa geram kerana aku tidak mampu berbuat apa-apa...


Saban hari aku berdoa, semoga aku tidak sampai ke tahap itu. Aku juga sentiasa mendoakan kesejahteraan adik-adikku. Agar mereka sentiasa bahagia dan senang sepanjang masa tanpa sebarang masalah. Namun jauh disudut hati, aku tahu... Ada diantara mereka memang tidak ingat akan diriku ini. Lebih-lebih lagi bila dah senang dan gembira. Bila sudah ada segala-galanya... Tidak mengapalah, asalkan mereka bahagia, aku juga tumpang gembira sama. Apalah yang hendak diharapkan lagi ?


Begitulah kasih seorang abang… Dalam apa jua keadaan, sentiasa membakar diri sendiri demi kebahagiaan orang lain. Biarpun kasih tidak lagi dihargai, si abang tidak pernah putus memberi...



Image source : Unknown (E-mail)