Hikayat
kisah-kisah melayu lama banyak memuatkan tabiat melayu yang amat
cenderung untuk hasad dengki antara satu sama lain. Saya tidak pasti
sejauh manakah kebenaran kisah-kisah tersebut. Namun yang pasti samada
kisah itu benar atau bohong, atau separuh bohong, unsur hasad dengki
mempengaruhi masyarakat melayu sehingga kisah-kisah yang berunsur
sedemikian terbentuk dan diwarisi.
Mungkin
ianya kisah yang ada asalnya, atau igauan perekanya yang selalu
terbayang unsur-unsur hasad dengki yang sering mengambil peranan dalam
masyarakatnya. Lihat sahaja Hikayat Hang Tuah, Hang Nadim dan berbagai
kisah-kisah yang lain. Kisah-kisah itu menggambarkan betapa hasad dengki
telah mengambil tempat utama dalam kemuncak kisah dan pemikiran ingin
mengambil manfaat dari kebolehan individu lain dipinggirkan. Mungkin ada
masyarakat lain juga yang demikian, kerana hasad dengki adalah
‘penyakit antarabangsa’.
Dari segi
realitinya –walaupun tidak semua- orang kita selalu hasad apabila
melihat sesama kita maju ke hadapan. Padahal itu bukan sifat yang baik
bagi satu bangsa yang sedang bersaing membangunkan kaum mereka. Dahulu
jika ada orang melayu yang berkebun di kampung akan ada yang menyindir: “nanti habislah sayur cina tidak laku”. Jika ada yang cuba berniaga akan ada yang memerli: “nanti tutuplah kedai cina, aku nak tengok berapa hari boleh bertahan”.
Pada zaman ini pula, jika mereka melihat ‘orang lain kaya raya, mereka tidak pernah atau jarang mempertikaikan “daripada taukeh itu dapat duit, atau boleh kaya?”. Namun
jika ada sebangsa dengan mereka yang kaya, terus sahaja ada pemikiran
negatif bermain di kepala sebahagian kita. Sangkaan jahat dek hasad pun
akan muncul, lalu mereka akan berkata: barangkali ada ‘orang atas’ yang
tolong dia, atau barangkali rasuah, atau kroni atau barangkali itu dan
ini.
Nilai-nilai negatif
itulah yang menguasai pemikiran ramai tanpa terlebih dahulu dimulakan
dengan sangkaan baik dan mendoakan agar sesama kita mendapat rezeki yang
halal. Perangai ini sebenarnya bermula dari sikap bangsa melayu itu
yang ramai tidak ada keyakinan kepada diri sendiri untuk bermampuan
seperti ‘orang lain’, juga berhasad dengki jika melihat di kalangan
bangsanya ada yang lebih kehadapan.
Barangkali
ramai yang ‘begitu melayu’ akan sensitif dengan apa yang saya sebut
ini. Namun tokoh melayu yang agung Zaaba telah pun menyebut hal yang
sama sejak lama dahulu. Dalam bukunya ‘Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri’ yang diharamkan oleh golongan agama konservetif pada zamannya, Zaaba menyebut : “Demikian
pula jika hendak berniaga, orang kita tiada bermodal dan tiada upaya
mencari modal walau modal kecil-kecil pun dengan ikhtiar sendiri; dan
sentiasa mereka mengaku tiada upaya itu!
Sebaliknya
jika ada modal pula, mereka tiada upaya menjalankan perniagaan itu
dengan jalan-jalan yang betul dan cara yang teratur, serta dengan amanah
dan jimat cermat, sehingga mencapai kejayaan dan dipercaya orang.
Padahal bangsa-bangsa lain yang datang sebagai ’singkek’ mula-mulanya ke
negeri ini dengan tiada mempunyai sebarang harta dan wang belanja
–hanya ada tulang empat kerat dan akal ikhtiar serta kepercayaan akan
kebolehan dirinya- dapat mereka berikhtiar mencari wang.
Bahkan
dilihat mereka negeri ini sememangnya negeri yang kaya raya, dan semua
perkara boleh jadi wang, sehingga sampah di tepi jalan itupun boleh jadi
wang belaka; sebab itulah mereka berkumpul ramai ke sini. Kemudian
setelah dapat wang maka dengan berjimat-cermat dan berdikit-dikit
dikumpulkan mereka lalu mereka membuka kedai kecil-kecil –barangkali di
kampung-kampung, di kebun-kebun getah atau di hulu-hulu.
Tetapi
kerap kali yang kecil itu akhirnya menjadi besar dan maju lalu mereka
berpindah berkedai di bandar-bandar pula. Kesudahannya sehingga penuh
segala bandar negeri-negeri Melayu ini oleh kedai dan tempat perniagaan
mereka sahaja; dan segala pasar pun kecil besar pada kebanyakan tempat,
mereka jugalah yang memegang dan memenuhinya!
Sekalian
itu ialah terutamanya oleh sebab mereka kuat berpegang kepada kebolehan
sendiri. Begitulah sedikit daripada contoh yang menunjukkan kelemahan
dan kekurangan kita daripada mereka itu dengan sebab mereka ada perangai
percaya kepada kebolehan diri sendiri dan kuat bergantung kepada
ikhtiar diri sendiri, dan kita tidak.
Ya,
berkecualian daripada keadaan yang telah diceritakan itu tentulah ada
dan boleh terdapat di sana sini. Tetapi berapa orang? Barangkali tidak
ada satu dalam seribu atau sepuluh ribu. Yang terlebih banyaknya ialah
seperti yang diceritakan itu juga…maka selagi tidak kita ubah sakalian
ini, diganti dengan perasaan dan pemandangan hidup yang lebih baik,
tidaklah akan diubah Tuhan hal kita, melainkan akan terbenam juga di
dalam kubang kita yang ada ini selagi kita kekalkan sifat-sifat
kelemahan yang ada pada diri kita sekarang”. (Zaaba, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri, DBP, 17-18).
Barangkali
sebahagian orang melayu sudah pun mengalami proses minda dan persepsi.
Namun di kebanyakan kampung, apa yang disebut Zaaba masih kelihatan
segar. Salah satu sebab yang menghilangkan keyakinan masyarakat melayu
adalah banyak tersebar bicara dan ucapan manusia yang hasad sesama
sendiri yang selalu meluahkan perkataan buruk apabila melihat orang lain
lebih baik atau memiliki keistimewaan. Ramai yang suka mempertikai
kelebihan orang lain untuk dijatuhkan daripada membincang kesusahan
sesama sendiri orang untuk dibantu.
Maka
apabila ada seseorang yang memiliki kelebihan atau kebaikan segala
pergerakannya akan diperhatikan. Bukan untuk dicontohi, tapi untuk
dikeji. Pantang ada salah dan silap dia akan dihentam. Namun jika ada
seseorang yang melarat dalam kesusahan, tidaklah pula mereka sibuk
berbincang bagaimana hendak membantu. Itulah hasad yang mencukur
pegangan agama seseorang.
Maka
hasad adalah musuh utama sesuatu masyarakat. Lebih buruk dari segala
jenis penyakit. Hasad ini berasal dari bahasa ‘arab, kita sebut dalam
bahasa kita sebagai dengki atau kita gabungkan arab dan melayu menjadi
hasad dengki. Hasad secara mudahnya bermaksud perasaan inginkan agar
nikmat atau kelebihan atau kebolehan atau keistimewaan yang ada pada
insan lain terhapus.
Maka
seseorang yang hasad selalu gelisah atau tidak puas hati melihat apa
yang dimiliki oleh pihak yang dihasadnya. Jika perasaan itu dilayan,
maka maka si pendengki ini akan menyusun strategi agar hasrat buruk itu
tercapai. Maka lahirlah angkara-angkara buruk terhadap individu yang
dihasadnya, tanpa dosa dan kesalahan melainkan kerana memiliki
kelebihan.
Masyarakat yang
dipenuhi dengan hasad akan dipenuhi berita utamanya; jatuh menjatuh,
umpat mengumpat, fitnah memfitnah, tuduh-menuduh, maki-memaki, kata
mengata dan segala macam perkara yang mendengarnya sudah memenatkan jiwa
apatahlah lagi mengalaminya. Lihat dalam dunia politik melayu, tidak
habis-habis dari perkara yang seperti itu. Padahal mereka semua mengaku
muslim dan orang Islam itu bersaudara.
Dalam
dunia golongan agama juga bukan sedikit perkara yang seperti itu.
Bahkan dalam dunia akademik universiti juga kadang-kala hasad berjaya
mendapat tempat sehingga merobohkan nilaian ilmiah. Dalam dunia
pekerjaan dan perniagaan juga demikian. Sebab itu Nabi s.a.w bersabda: “Akan
menjalar kepada kamu penyakit umat-umat yang terdahulu; hasad dan benci
membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur
rambut, tetapi ia mencukur agama” (Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang sahih, juga diriwayatkan oleh al-Tirmizi).
Dalam
dunia politik, ada kelompok manusia yang sanggup mewakafkan diri untuk
berfikir bagaimana untuk menjatuhkan orang lain. Habis satu pilihanraya
kepada pilihanraya yang akan datang. Habis satu pemilihan kepada satu
pemilihan. Kerjanya tidak habis-habis. Tanpa batasan dosa dan pahala.
Demikian
dalam perniagaan, kekeluargaan, pendidikan dan berbagai lagi. Si
pendengki kadang kala tidak pernah kenal letih dalam usaha menghilangkan
kebahagiaan orang yang didengkinya. Seakan mereka membantahkan kurniaan
atau nikmat Allah kepada hamba-hamba yang dikehendakiNya. Allah
mengingatkan kita dengan firmannya: (maksudnya) apakah patut mereka itu dengki kepada manusia disebabkan kelebihan yang Allah berikan kepada mereka? (Surah Ali ‘Imran: 54)
Bagi
si pendengki atau kaki hasad ini, berita gembira untuknya bukan ajaran
al-Quran atau sunnah, tapi kisah keburukan lawannya. Jika ada isu buruk
orang dihasadnya, ceria dan tersenyum wajahnya. Jika ada kebaikan orang
yang dihasadnya pula maka bermasam mukalah dia. Amat berbeza watak
seperti ini dari ajaran Allah dan RasulNya yang menyuruh kita bergembira
dengan berita baik dan berdukacita dengan berita jahat yang menimpa
saudara muslim.
Mereka ini
bagaikan lalat bangkai; yang busuk dicari, jika jatuh ke dalam minyak
wangi ia mati. Padahal Allah memerintahkan kita semua; tanpa mengira
orang politik atau selainnya: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang
beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka
sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu
adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang;
dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah
seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka
sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah
larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;
sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat: 12).
Penafsir terkenal, Sayyid Qutb menyentuh ayat ini dengan begitu mendekati kehidupan muslimin di zaman kini, beliau menyebut: “Namun
perkara ini kesannya lebih jauh dari itu. Ia adalah prinsip Islam yang
utama dalam sistem kemasyarakatannya, juga dalam urusan perundangan dan
perlaksanaannya. Sesungguhnya bagi manusia itu kebebasan, kehormatan,
kemuliaan yang tidak boleh dicerobohi dalam apa bentuk sekalipun. Tidak
boleh disentuh dalam apa keadaan sekalipun.
Dalam
masyarakat Islami yang tinggi dan mulia, manusia hidup dalam keadaan
aman pada diri mereka, aman pada rumah mereka, aman pada rahsia mereka
dan aman pada keaiban mereka. Tiada sebarang justifikasi –atas apa
alasan sekali pun- untuk mencerobohi kehormatan diri, rumah, rahsia dan
keaiban. Sekalipun atas pendekatan mencari jenayah atau memastikannya,
tetap tidak diterima dalam Islam pendekatan mengintip orang ramai.
Hukumlah manusia berasaskan apa yang zahir. Tiada hak sesiapa untuk
mencari-cari rahsia orang lain.
Seseorang
tidak akan diambil tindakan melainkan atas kesalahan dan jenayah yang
nyata dari mereka….demikianlah nas ini (larangan menyintip) menempatkan
dirinya dalam sistem perlaksanaan dalam masyarakat islami. Ia bukan
sekadar mendidik jiwa dan membersihkan hati, bahkan ia telah menjadi
dinding yang memagari kehormatan, hak dan kebebasan manusia. Tidak boleh
disentuh dari dekat atau jauh, atau atas sebarang pendekatan atau nama”.(rujukan:
Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran, 6/3346, Kaherah: Dar al-Syuruq). Namun
atas ketamakan dan hasad dengki, ramai yang melarang pantang larang ini.
Dalam
urusan agama pun bukan sedikit hasad dengki. Kadang-kala kita jumpa
sesama yang berjubah atau berlebel agama pun hasad menghasad tanpa
alasan yang benar. Ditolak pendapat yang benar dan dalil yang sahih
kerana soal umur, daerah dan aliran. Lalu timbul hasad dengki diikuti
mencerca dan menfitnah sesama yang memakai baju agama. Bukan kerana
mempertahankan fakta dan kebenaran, tetapi dek perasaan dengki dan
hasad.
Dalam
sejarah Rasulullah s.a.w, golongan yang paling mengetahui tentang
kebenaran baginda ialah golongan ahli Kitab. Namun merekalah yang paling
kuat menentang baginda. Mereka menolaknya kerana hasad, sebab Nabi
Muhammad bukan dari kelompok mereka. Lalu kedengkian itu menguasai jiwa
mereka. Firman Allah: (maksudnya) “Banyak di kalangan ahli Kitab
(Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan
kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari
diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi
Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan
mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Baqarah: 109).
Bahkan
hasad dengki boleh berlaku di kalangan kaum keluarga yang rapat, apa
hendak dihairankan jika ianya berlaku di kalangan seagama. Sehingga
kadang kala sanggup berpakat dengan musuh luar untuk menentang saudara
seagama hanya disebabkan perbezaan parti atau kumpulan. Dalam sejarah
Nabi Yusuf a.s. beliau dicampakkan ke dalam telaga oleh abang-abangnya
sendiri, hanya kerana hasad dengki.
Al-Quran menyebut ucapan mereka: Ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): “Sesungguhnya
Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita,
padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya
bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.”(Ramai di antara
mereka berkata):” bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang
jauh, supaya bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan kamu
sesudah itu menjadi orang-orang yang baik”. (Surah Yusuf: 8-9).
Justeru
itu Nabi s.a.w bersabda: Manusia ini terus berada dalam kebaikan selagi
mereka tidak dengki-mendengki (Riwayat al-Tabarani, disahihkan oleh
al-Albani). Sabdanya juga: “Tidak akan terhimpun dalam jiwa hamba Allah
iman bersama dengan hasad” (Riwayat Ibn Hibban dihasankan oleh
Al-Albani). Masyarakat yang dipenuhi dengan hasad adalah masyarakat yang
kotor di sisi Tuhan dan porak peranda dalam agenda kehidupan.
nusarhuagrotek.blogspot
0 comments:
Post a Comment