SOALAN : Assalamualaikum.. Wahai ust.. tolong yakinkan saya bahawa Islam, Allah, Nabi semuanya menyertai saya. Yakinkan saya anak yatim piatu yang berguna pada bangsa & agama.. Saya sunyi tiada kawan..tapi insyAllah..saya ada Allah.. Saya rasa seolah-olah saya hidup sendiri di atas muka bumi ini.. Tolong kuatkan hati saya ust..
JAWAPAN : "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.."
Ustaz sangat memahami keadaan adik sekarang. Perasaan yang adik alami terutamanya ketika menjelang tiba Hari Raya Aidilfitri. Sangat pedih.. ust hanya mampu memberi sepatah dua kata sebagai suntikan motivasi dan dorongan kepada adik. Benarlah, yang lebih merasai adalah tuan kepada badan itu sendiri.
Sebenarnya adik tidak pernah keseorang, bahkan ramai sahabat-sahabat, teman-teman, guru-guru, warden, nabi, dan Allah taala bersama adik. Buktinya lihatlah dalam al Quran sebanyak 23 kali disebut perkataan 'yatim' betapa Allah taala mengasihani anak-anak yatim.
Bahkan Allah taala berfirman, : “Mereka bertanya kepadamu mengenai anak yatim, katakanlah: Memperbaiki keadaan mereka adalah baik.” Surah al Baqarah, ayat 220
Nabi kita, Nabi Muhammad SAW tidak pernah lupa akan perihal anak-anak yatim, banyak disebut dalam hadith-hadith, antarnya adalah :
Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Nabi jadi bapa angkat anak yatim
TIDAK lama lagi, umat Islam akan menyambut 1 Syawal, hari kemenangan selepas selesai menunaikan ibadat puasa sebulan puasa. Namun, tidak semua orang dapat menyambut kedatangan Syawal dengan kegembiraan kerana kesempitan hidup.
Oleh itu, pada bulan yang mulia ini, eloklah kita menginsafi bahawa ada orang yang memerlukan bantuan dan belas ihsan untuk sama-sama menyambut Aidilfitri.
Dalam hal ini, eloklah kita renungi dan teladani sifat Nabi Muhammad saw yang mengasihi anak yatim serta menjaga kebajikan hidup mereka. Inilah sifat terpuji yang seharusnya tersemat di sanubari setiap umat Islam.
Suatu ketika, sewaktu Aidilfitri umat Islam di Madinah merayakan hari bahagia itu dengan mengumandangkan takbir dan tahmid setelah memenangi perang menentang hawa nafsu, sebulan menjalankan ibadah puasa Ramadan.
Dengan mengenakan pakaian paling cantik, Rasulullah keluar rumah untuk menunaikan solat berjemaah Aidilfitri.
Di sepanjang jalan, anak kecil berlari-larian penuh kegembiraan menyahut kedatangan lebaran. Pakaian indah dan wajah berseri menghiasi diri, tiada seorang pun yang mempamer wajah duka.
Namun ketika Rasulullah memerhati sudut sebuah bangunan tua, Baginda kehairanan melihatkan seorang anak kecil yang serba tidak terurus dengan pakaian koyak, duduk menghadap dinding sambil menangis.
Baginda pun menghampiri anak kecil itu lalu bertanya: “Hai anakku, mengapa engkau menangis sendirian pada hari kita sedang bergembira?”
Tanpa menoleh untuk melihat siapa yang mengemukakan pertanyaan, anak kecil itu pun menjawab dengan suara penuh sayu: “Bagaimana tidak menangis, mereka punya pakaian baru sedangkan aku, tidak.”
Nabi pun bertanya: “Mengapa engkau tidak berganti pakaian dan bermain dengan kawan sebayamu?”
“Mereka tidak mahu aku menghampiri mereka kerana pakaianku lama dan compang-camping. Dulu, waktu aku masih punya ayah, setiap hari raya aku juga mengenakan pakaian baru, perutku kenyang, duitku juga banyak,” jelas kanak-kanak itu.
“Ayahmu ke mana nak?” tanya Rasulullah.
“Ayahku sudah meninggal. Ibuku sudah kahwin lagi dan nasibku disia-siakan sebab harta peninggalan ayahku dihabiskan oleh ayah tiriku,” jawab anak kecil itu.
Nabi termenung lantas berkata: “Anakku, seandainya Fatimah jadi kakakmu, Ali bin Talib jadi abangmu, Hassan dan Hussain jadi saudaramu dan aku pula jadi ayahmu, apakah engkau suka?”
Anak itu terperanjat dan terfikir kemungkinan orang yang berdiri berhampirannya itu adalah Rasulullah. Lalu, dia pun segera berpaling.
Setelah nyata orang yang berkata-kata itu, si kecil itu tidak dapat membendung kegembiraannya.
“Tentu sekali saya gembira, ya Rasulullah,” katanya sambil memeluk erat kaki Baginda.
Rasulullah pun mendukung anak itu dan dibawanya kembali ke rumah. Dengan tangannya sendiri Rasulullah memandikan anak kecil itu serta mengenakan baju kepada anak yatim itu. Anak kecil itu kemudiannya dihidangkan sarapan pagi serta diberikan pula sedikit wang.
Setelah anak itu mula bermain dan tertawa kegirangan, barulah Rasulullah meneruskan niatnya menuju ke lapangan untuk menjalankan solat sunat Aidilfitri bersama segenap penduduk Madinah.
Anak kecil itu riang tertawa menghampiri kawan-kawannya yang sedang asyik bersuka ria. Mereka kehairanan melihatnya tertawa gembira, sedangkan baru sebentar tadi dia menangis tersedu-sedu.
Salah seorang daripada mereka pun bertanya: “Hai aneh betul kau. Tadi menangis dan kini tertawa. Apa yang berlaku sebenarnya?”
Anak yatim itu menyahut bangga: “Tadi aku menangis kerana aku lapar.
Sekarang aku tertawa kerana aku kini kenyang. Tadi aku menangis kerana aku tidak punya pakaian cantik, tetapi kini pakaianku indah dan masih baru.
“Juga kini aku punya wang banyak. Tadi aku menangis kerana aku tidak punya ayah, tetapi sekarang aku tertawa kerana aku sudah punya ayah.”
Kawannya bertanya: “Hairan betul. Dari mana kau dapat ayah? Siapa ayahmu sekarang?
Jawab anak kecil itu :”Disebabkan ayah kandungku sudah meninggal maka Rasulullah mengangkatku menjadi anaknya. Rasulullah adalah ayahku sekarang.”
0 comments:
Post a Comment