Tuesday, August 21, 2012
Tunai haji semasa muda
Oleh NORFADILAH ABDULLAH
Menunaikan haji di Baitullah menjadi impian setiap Muslim dan Muslimah di muka bumi ini. Bagi mereka yang telah menunaikan haji, pengalaman dan kenangan sepanjang berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah adalah sukar untuk dilupakan.
Ia tidak akan sama dengan pengalaman melawat ke tempat lain dan tidak dapat diperoleh di mana-mana jua.
Bagi setiap umat Islam yang berkemampuan, menunaikan ibadah haji sangatlah dituntut. Namun senario yang kelihatan sejak dahulu di negara ini, tuntutan agama ini seringkali diusahakan untuk dinikmati di kala usia sudah menginjak senja.
Paradigma minda masyarakat bahawa ibadah haji adalah untuk warga tua perlulah diubah. Hakikatnya, menunaikan haji di kala usia muda mempunyai banyak kelebihan dan kebaikan tersendiri.
Ibadah haji bukan sahaja menuntut persediaan material dan spiritual, malahan aspek fizikal juga perlu ditekankan. Justeru, bakal jemaah hendaklah memastikan diri mereka telah bersedia sepenuhnya untuk menunaikannya.
Selain persediaan lengkap terhadap aspek-aspek yang dinyatakan di atas, persediaan ilmu dan iman juga adalah penting. Oleh sebab inilah, Allah SWT meletakkan ibadah haji sebagai Rukun Islam Kelima supaya umat-Nya mantap dari segi rukun yang lain terlebih dahulu.
Imam Al-Ghazali membuat kesimpulan, ibadah haji adalah kemuncak ibadat dan pengabdian diri seseorang muslim kepada Allah SWT. Pengabdian ini tentunya perlu diusahakan sebaik mungkin dari segi hukum-hakam, semangat serta tenaga dan fizikal kepada ibadah haji itu sendiri.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Menunaikan haji adalah kewajipan setiap manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang mampu mengadakan perjalanan menuju ke Baitullah. Dan barang siapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam. (ali-'Imran: 97)
Sekiranya kita sudah diberi kemampuan untuk menunaikan haji di usia muda, mengapa mesti menunggu hari tua? Alasan-alasan seperti masih muda, belum bersedia, terlalu awal dan pelbagai lagi alasan lain seringkali meniti di bibir masyarakat Islam.
Sebenarnya, sebagaimana kita dikehendaki bersegera melaksanakan perkara-perkara yang dituntut oleh agama apabila telah cukup syarat-syaratnya, begitulah juga halnya dengan ibadah haji.
Faktor kewangan seringkali dijadikan alasan seseorang sehingga terpaksa menangguhkan hasrat untuk menunaikan ibadah haji. Pada dasarnya, hal ini boleh diatasi jika kita mempraktikkan amalan pengurusan kewangan yang berhemah.
Ia termasuk menguruskan segala perbelanjaan dalam pengurusan kewangan masing-masing iaitu perbelanjaan peribadi, keluarga, membayar hutang dan perbelanjaan bagi tujuan peribadatan.
Rakyat Malaysia sebenarnya lebih beruntung berbanding dengan negara-negara Islam lain yang tidak mempunyai badan khusus seperti Lembaga Tabung Haji (LTH) yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas urusan haji bagi penduduk-penduduknya.
Rasulullah SAW bersabda, "Bersegeralah kamu menunaikan fardu haji kerana seseorang itu tidak tahu apa akan berlaku ke atasnya (mati)". (riwayat Imam Ahmad)
Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah SAW pernah ditanya, "Apakah amalan yang paling utama?" Rasulullah SAW. menjawab, "Iman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya". "Kemudian apa?" "Jihad di jalan Allah". "Kemudian apa lagi?" Dan Rasulullah SAW menjawab, "Haji mabrur". (riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah SAW: Dari umrah ke umrah, adalah tebusan (dosa-dosa yang dikerjakan) di antara keduanya, dan haji yang mabrur balasannya tiada yang lain adalah syurga. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Ini menjelaskan tuntutan ke atas seseorang Muslim agar menyegerakan pelaksanaan ibadah haji sekiranya telah memenuhi semua syarat-syarat yang ditetapkan. Apatah lagi jika kita diberi keupayaan dan kemampuan untuk menunaikannya di ketika usia muda.
Kelebihan yang paling jelas dan nyata pastilah kelebihan dari aspek kesihatan dan kekuatan fizikal. Kesihatan yang baik sangat membantu seseorang untuk melaksanakan ibadah tersebut dengan lebih sempurna.
Kesempurnaan inilah yang kita cari, bagi melayakkan kita memperoleh darjat haji yang mabrur.
Sumber LTH menyatakan, pada musim haji 1429H yang lalu, seramai 10,306 jemaah haji berumur di bawah 50 tahun. Jumlah ini hanyalah 29.2 peratus daripada jumlah keseluruhan jemaah haji Malaysia bagi tahun tersebut. Ini adalah satu angka yang tidak begitu memberangsangkan.
Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (Jawhar) terhadap 1,000 responden yang terdiri daripada jemaah haji pada tahun tersebut mendapati, kebanyakan rungutan dan aduan ketidakpuasan hati semasa berada di Arafah, Masy'aer dan Jamrah diterima daripada responden yang berumur 50 tahun ke atas.
Perlu ditekankan bahawa situasi di ketiga-tiga lokasi ini sememangnya mencabar ketahanan fizikal dan mental seseorang jemaah haji.
Justeru, tidak hairanlah berlaku pelbagai masalah yang kebanyakannya melibatkan jemaah haji yang berusia di ketiga-tiga lokasi tersebut.
Oleh sebab itu, umat Islam adalah digalakkan menunaikan rukun Islam yang kelima ini secepat yang mungkin. Bagi merealisasikannya, perancangan yang rapi dan tersusun perlulah diatur sejak awal.
Sebagai umat Islam di Malaysia, kita seharusnya memanfaatkan keamanan dan kemakmuran yang dianugerahkan oleh Allah SWT serta kewujudan LTH di negara ini dengan sebaik-baiknya.
LTH telah diiktiraf oleh negara-negara Islam sebagai satu organisasi contoh yang telah berjaya dengan cemerlang dalam melaksanakan pengurusan haji kepada rakyat Malaysia.
Bagi menggalakkan umat Islam negara ini mampu dan meningkatkan kesedaran untuk mengerjakan haji pada usia muda, LTH telah mengambil inisiatif menubuhkan Kelab TaHa (Tabung Haji).
Kelab TaHa bertujuan untuk memupuk minat menabung dalam kalangan pelajar sekolah. Ia merupakan kesinambungan terhadap Program Skim Hadiah Galakan Sekolah-sekolah Malaysia (SHGSSM) yang telah dijalankan selama 20 tahun.
Selain itu, ia akan menarik minat para pelajar menjadi pendeposit Tabung Haji serta secara langsung membentuk kesedaran mereka terhadap kepentingan menunaikan ibadah haji.
Bukan itu sahaja, melalui Kelab TaHa juga, ahli-ahlinya berpeluang mengikuti program-program khas yang bermanfaat seperti klinik bimbingan peperiksaan, perkhemahan ibadah dan sebagainya.
LTH melalui Kelab TaHa sentiasa mempelbagaikan program untuk golongan pendeposit muda bagi menimbulkan keinginan menyahut seruan Baitullah di usia muda.
Menunaikan haji pada usia muda pastilah berbeza jika dibandingkan dengan mengerjakannya pada ketika usia yang lanjut. Allah SWT menyeru sekelian umat manusia dalm firman-Nya: Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. (al-Maidah: 48)
Seterusnya, Allah SWT memuji golongan yang bersegera dalam melakukan kebaikan, Mereka itulah orang-orang yang bersegera mengerjakan kebaikan dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya. (al-Mukminun: 61)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment