Sekadar renungan


Bila Allah cepat makbulkan Doamu, Maka DIA Menyayangimu,

Bila DIA Lambat Makbulkan doamu, Maka DIA Ingin Mengujimu,

Bila DIA Tidak Makbulkan Doamu, Maka Dia Merancang Sesuatu Yang lebih Baik Untukmu.

Oleh itu, Sentiasalah Bersangka Baik Pada ALLAH Dalam Apa Jua Keadaan Pun... Kerana Kasih sayang ALLAH Itu Mendahului KemurkaanNya.

********************************************************

Saat itu, hadir syaitan yang terkuat, sementara si hamba dalam kondisi paling lemah. Siapakah yang selamat?


Ya Allah, jadikanlah amal terbaik kami sebagai penutup amal kami. Jadikanlah umur terbaik kami sebagai akhirnya. Dan jadikanlah hari terbaik kami sebagai hari kami menjumpai-Mu
.


Sabda Nabi s.a.w ;"...dan sesungguhnya waktu yang paling syaitan dengan manusia adalah disaat kematian (nazak) ","(Riwayat Abu Na'im)" didalam sepotong ayat Mursyal , Nabi s.a.w bersabda dengan membawa maksud ," Saat paling hampir musuh Allah (syaitan) itu dengan manusia ialah dikala terbit rohnya".

ZIKIR HARIAN

HARI AHAD: Ya Hayyu Ya Qayyum ( 1000 X )
HARI ISNIN: La haula wala quwwata illa billa hil 'aliyyil 'a ziim ( 1000 X )
HARI SELASA: Allahumma salli 'ala 'abdika warasulika wanabiyyikal amiina wa'ala alihi wasahbihi wasallim ( 1000 X )
HARI RABU: Astagh firullahal 'a ziim ( 1000 X )
HARI KHAMIS: Subhanallahii 'a ziim , Subhanallahi wabihamdihi ( 1000 X )
HARI JUMAAT: Ya Allah ( 1000 X )
HARI SABTU: La ilaha illallah ( 1000 X )

Sedikit Ilmu untuk dikongsi bersama...



Imam Ja’far Ash-shadiq (sa) berkata: “Barangsiapa yang membaca surat Ar-Rahman, dan ketika membaca kalimat ‘Fabiayyi âlâi Rabbikumâ tukadzdzibân’, ia mengucapkan: Lâ bisyay-in min âlâika Rabbî akdzibu (tidak ada satu pun nikmat-Mu, duhai Tuhanku, yang aku dustakan), jika saat membacanya itu pada malam hari kemudian ia mati, maka matinya seperti matinya orang yang syahid; jika membacanya di siang hari kemudian mati, maka matinya seperti matinya orang yang syahid.” (Tsawabul A’mal, hlm 117).

Bacaan Surah

.

Followers

Blog ini mengandungi Maklumat dan Koleksi ibadah untuk diri saya . Sekiranya ia baik , kita kongsi bersama , sekiranya ianya tidak baik , elakkanlah. Saya hanya insan biasa yang mencari ilmu selagi hayat dikandung badan...

.

Tuesday, September 27, 2011

ESQ

KOMEN PERIBADI TENTANG FATWA ESQ MUFTI WILAYAH


Beberapa hari kebelakangan ini penulis dihujani banyak pertanyaan berkenaan kedudukan fatwa pengharaman ESQ yang telah diwartakan oleh SS Datuk Mufti Wilayah Persekutuan (SSDMWP) pada 17 Jun 2010. Sebagai seorang yang pernah beberapa kali mengikuti kursus ESQ (sebelum ia dibawa ke JK Fatwa Kebangsaan dan mempunyai Panel Syariah sendiri), menonton video-video dan membaca buku-buku ESQ, penulis merasa terpanggil untuk memberi sedikit komentar berkenaan fatwa yang dikeluarkan oleh SSDMWP tersebut. Lebih-lebih lagi penulis teramat sedih apabila timbul fitnah-fitnah lain berikutan pewartaan fatwa berkenaan. Komentar penulis berkenaan isu ini adalah seperti berikut:-


Pertama: SSDMWP telah melaksanakan tugasnya di bawah kuasa yang telah diberikan oleh Yg Di Pertuan Agong (YDPA) kepadanya. Oleh itu, mempertikaikan mana-mana fatwa yang telah diwartakan bermakna mempertikaikan YDPA. Bagi penulis sekurang-kurangnya bagi mereka yang tidak bersetuju pun,janganlah sampai lupa bahawa setiap wilayah @ negeri di Malaysia ini ada pihak yang bertanggungjawab menjaga dan memelihara kesucian agama Islam. Logiknya,jika seorang ahli agama @ ustaz yang telahpun memiliki ijazah dalam bidang pengajian Islam sendiri pun perlu menghadiri temuduga utk memperoleh tauliah mengajar, apatah lagi 'orang luar' yang bukan dlm bidang agama ingin menyampaikan ajaran agama (walaupun berkonsepkan motivasi) di negara ini.

Kedua: Setakat pengetahuan penulis, tiada lagi fatwa yang dikeluarkan secara semberono oleh mana-mana institusi fatwa di Malaysia. Semuanya sudah tentu berasaskan satu kajian yang konkrit dan menyeluruh serta diputuskan melalui musyawarah oleh golongan yang berkeahlian. Hujjah-hujjah mengapa fatwa itu dikeluarkan jelas disebutkan di dalam kertas pewartaan. Sama ada ia dipersetujui atau tidak, itulah penemuan dan dapatan yang terhasil daripada kajian dan ijtihad yang dilakukan.

Ketiga: Fatwa pengharaman sesuatu perkara tidak semestinya merujuk kepada haramnya sesuatu perkara itu pada zatnya. Kadang-kadang ia lebih bertujuan untuk menyekat jalan-jalan yang mungkin akan membawa kerosakan pada masa-masa akan datang atau disebut sadd al-zara'i'. ESQ tidak boleh menafikan bahawa kini mereka mempunyai dua versi yang berbeza. Versi pertama iaitu sebelum ditegur dan belum mempunyai panel syariah sendiri. Versi kedua iaitu selepas ditegur dan telah melantik Panel syariah. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui adakah ESQ benar-benar telah menerima 'perubahan versi' itu atas dasar ia menyalahi aqidah dan syariah..atau..ESQ hanya mengubahnya kerana itu kehendak 'client' di Malaysia. Wallahu a'lam.

Keempat: Alasan yang mengatakan bahawa "tiada apa-apa keraguan pada ESQ kerana saya sendiri telah mengikuti kursus tersebut" tidak boleh diterima bulat-bulat untuk menjustifikasikan bahawa ESQ itu 100 persen halal. Orang yang mengkaji ESQ hanya dengan mengikuti kursus-kursus ESQ tidak akan menemui 'apa sebenarnya sumber ilmu' ESQ.


Apa yang ada di dalam kursus tersebut hanyalah metodologi penyampaian ESQ berserta aspek teknikalnya sahaja. Tetapi ideologi pengasasnya bagaimana? Apa alirannya? Siapa gurunya? Apa sumber ilmu dan rujukannya?Oleh itu, penulis berpandangan SSDMWP bukan hanya menilai ESQ melalui kursus-kursus yang dijalankan tetapi yang lebih penting 'sumber ilmunya' iaitu melalui buku-buku karangannya dan tuan gurunya.

Kelima: ESQ bukan lahir sebagai satu kursus motivasi biasa seperti tanggapan sesetengah pihak. Ia bermula dengan satu teori yang dikarang oleh Ary Ginanjar melalui bukunya 'Membangun Kesuksesan Berdasarkan 5 Rukun Iman dan 6 Rukun Islam' pada 2001, diikuti dengan buku 'ESQ Power' dan 'ESQ: Rahsia Sukses Membangun Kecerdasan Emosi dan Spiritual'. Buku-buku ini sepatutnya menjadi kajian utama para pengkaji ESQ kerana di sinilah bermulanya ESQ dan ESQ tidak akan wujud jika tiada 'ideologi' yang terkandung di dalam buku-buku ini. Ideologi bukan sesuatu yang mudah untuk dikompromi, walaupun isi kandungan ini telah dibincangkan oleh Panel Kajian Aqidah JAKIM & Panel Pemantau JK Fatwa dengan Ary Ginanjar, tetapi ESQ tidak pernah membuat perakuan bahawa ideologi yang wujud dalam buku tersebut adalah menyalahi aqidah sebaliknya hanya bersetuju untuk menukarkannya dengan versi baru yang 'Malaysia compliance'. Penulis tidak pasti adakah modul ESQ di Indonesia atau di tempat-tempat lain telah diubah seperti apa yang wujud di Malaysia? Jika yang diubah hanya ESQ versi Malaysiabermakna ESQ hanya menurut 'Malaysia compliance' bukan 'Syariah compliance'!

Keenam: Orang yang 'bukan ahli' janganlah terlalu cepat melatah dalam isu agama sehingga ke peringkat memperlekehkan institusi fatwa atau mufti. Alasannya hanya mufti wilayah yang mengeluarkan fatwa tetapi mufti lain tidak. Bagi penulis, tindakan SSDMWP sememangnya tidak popular di kala ESQ diterima baik oleh ramai tokoh agamawan dan pelbagai pihak. Tetapi sejarah telah membuktikan, apabila ia melibatkan isu 'ideologi' yang sukar dilihat oleh zahir mata kecuali oleh mereka 'yang ahli', maka tidak hairan jika ada fatwa yang menongkah arus. Ia tidak berbeza dengan tindakan Imam al-Ghazali yang mengkafirkan al-Farabi dan Ibn Sina ketika masyarakat memuji kedua-dua mereka sebagai tokoh matematik, politik dan perubatan. Al-Ghazali mengkafirkan mereka kerana pengaruh pemikiran falsafah yang meresap ke dalam ideologi mereka dalam bab ketuhanan yang menyeleweng daripada aqidah Islam yang sebenar (Rujuk kitab al-Munqiz min al-Dhalal atau Tahafut al-Falasifah). Bagi Imam al-Ghazali kesalahan kedua-dua tokoh itu adalah muktamad, bagaimanapun Ibn Rusy menolak pandangan al-Ghazali dalam kitabnya 'Tahafut al-Tahafut' dengan menghujjahkan bahawa kesalahan kedua-dua tokoh itu bukan perkara yang muktamad (qat'iy). Adakah dengan pengkafiran al-Ghazali terhadap al-Farabi dan Ibn Sina boleh menjatuhkan martabat keilmuan al-Ghazali? Penulis tidak fikir mana-mana 'orang berilmu' yang memahami tradisi keilmuan akan mengatakan begitu.

Ketujuh: Bidang perbahasan ESQ bukanlah berfokus kepada isu syariah semata-mata, ia lebih kepada perbahasan ilmu falsafah, usuluddin dan pemikiran Islam. Para ulama yang pakar dalam bidang ini sepatutnya diberi ruang yang seluas-luasnya untuk membongkar segala-galanya tentang ESQ. Mereka lebih berhak untuk memperkatakan tentang ESQ kerana mereka adalah ahli dalam bidang tersebut. Selain memahaminya dari konteks agama Islam, penguasaan terhadap teori dan falsafah Barat juga amat penting bagi memastikan kita tidak tertipu di sebalik pelbagai istilah dan teori yang diketengahkan. Sebagai contoh, penulis tidak fikir semua orang memahami apa itu perrenial philosophy dalam perbahasan Barat. Satu falsafah ketuhanan yang amat halus dan licik dan boleh meresap dengan mudah tanpa disedari oleh penganut agama itu sendiri.

Kelapan: Seorang ahli ilmu tidak sewajarnya menilai ESQ hanya pada zahirnya. Ia seperti mengatakan, "adakah kita mahu mengharamkan ESQ sedangkan ESQ telah banyak mengubah orang yang tidak solat kepada bersolat, tidak bertudung kepada bertudung...dll". Bagi penulis, kalau ini hujjahnya maka apa salahnya 'Syiah' dan 'al-Arqam', bukankah kumpulan-kumpulan ini amat indah pada zahirnya. Tetapi apabila ideologinya dibongkar, di sana jelas terlihat kedangkalan pegangan mereka. Mungkin ini yang menjadi keutamaan SSDMWP ketika memutuskan fatwa tersebut.

Kesembilan: Bila dibuat perbandingan antara ESQ versi asal dan versi yang diubah, penulis dapati tiada lagi keistimewaan ESQ. Dulunya konsep pencarian, suara hati, asimilasi sifat tuhan, God Spot dan rumus Zero Mind Process menjadi hardcore subject dalam kursus ESQ. Tetapi kini fokus ESQ lebih kepada monolog-monolog yang meruntun hati para peserta untuk menangis. Kelebihan teknikal seperti penggunaan layar besar, kesan bunyi, pencahayaan dan kepakaran berpidato digunakan oleh para trainer untuk mengujudkan suasana sedih hingga menyentuh hati para peserta. Bagi penulis, jika ini yang menjadi kelebihan ESQ, ia bukanlah isu besar yang perlu dipertahankan sangat. Ia tiada beza dengan para pakar motivasi di Malaysia, cuma bezanya hanyalah 'persoalan teknikal dan metodologi penyampaian'.

Kesepuluh: Bagi individu yang was-was sama ada mahu menyertai ESQ atau tidak. Nasihat penulis adalah seperti sabda Baginda SAW: "Tinggalkanlah perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan". Insya-Allah kita akan selamat dan keluar daripada segala bentuk syubuhat, khilaf atau segala keraguan.

Sebagai rujukan semua, di sini adalah beberapa keraguan yang pernah ditimbulkan terhadap ESQ berdasarkan kitab rujukan utama mereka (yang akan dibekalkan secara percuma kpd setiap peserta kursus-versi lama):-


Mengiyaskan kurniaan kenabian para Nabi dengan pencarian manusia (Ary Ginanjar)

Mentafsirkan nama-nama Allah sesuai dengan sifat manusia sebagai 'barometer'
Nabi SAW memimpin manusia dengan suara hati (di mana letaknya wahyu?)

Nabi SAW pemimpin yang paling banyak menggunakan logik & suara hati akal bukan mukjizat2

Mengapa berhujjah dengan pejuang 'Global Ethic' yang jelas membawa faham pluralisme agama?

Mengapa berhujjah dengan aliran sesat kod 19 tajaan Rashad Khalifah?

Rumus ZMP boleh menghasilkan 'kekuatan luar bisa' termasuk mukjizat & karamah (spt kisah Kapt Razak)

Wallahu a'lam.

Ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh ESQ Leadership Training anjuran Ary Ginanjar Agustian dan sebarang ajaran yang seumpamanya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam ; kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam. Ciri-ciri penyelewengan tersebut adalah seperti berikut :

  1. Mendukung fahaman Liberalisme : iaitu memahami/mentafsir nas-nas agama (al-Qurandan as-Sunnah) secara bebas, dan faham Pluralisme agama ; iaitu fahaman yang mengajarkan semua agama adalah sama dan benar. Kedua-dua fahaman ini adalah sesat dan boleh membawa kepada kekufuran.
  2. Mendakwa bahawa Nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman dan pencarian. Ini bercanggah dengan akidah Islam tentang Nabi dan Rasul. Menurut akidah Ahli Sunnah Wa Jamaah, kenabian dan kerasulan adalah semata-mata pilihan Allah S.W.T (al-Isthifaiyayah) dan bukan sesuatu yang boleh diusahakan (al-Kasbiyyah)
  3. Mencampuradukkan ajaran kerohanian bukan Islam dengan ajaran Islam, ESQ adalah hasil penemuan seorang Yahudi, Danah Zohar manakala God Spot adalah hasil kajian seorang Hindu vs Ramachandran. Kedua-dua penemuan ini disahkan dengan ayat al-Quran (Surah al-Hajj : Ayat 46)
  4. Menekankan konsep “suara hati” atau “conscience” sebagai sumber rujukan utama dalam menentukan baik dan buruk sesuatu perbuatan. Konsep suara hati (conscience) adalah ajaran paling suci dalam agama Kristian. The Oxford Dictionary of World Religionmenyebut : “In the main forms of Christianity, conscience is the absolutely invioable and sacrosanct centre of the person as human as responsible for her or his decisions”.Konsep suara hati juga merupakan ajaran agama Hindu seperti yang dijelaskan olehSwami Vivekanda : “The Atman is the Holy Ghost of the Biblical Trinity, and the purpose of all religions is to make men heard ‘the still small voice’ within them”. Menurut Imam Abu al-Abbas pendapat demikian adalah zindek dan kufur.
  5. Menjadikan logik sebagai sumber rujukan utama. Ini bertentangan dengan akidah Islam yang menetapkan bahawa al-Quran dan as-Sunnah sebagai rujukan utama.
  6. Mengingkari mukjizat dan menganggapnya tidak dapat diterima oleh akal dan tidak sesuai dengan zaman sekarang yang serba logis. Mengingkari mukjizat adalah kufur denganijmak ulama’ ; kerana ia bermakna mengingkari nas-nas al-Quran dan Hadth Mutawatiryang mensabitkan mukjizat bagi Nabi A.S.
  7. Menggunakan Kod 19 rekaan Rasyad Khalifah untuk mentafsir al-Quran. Rasyad Khalifah mengaku dirinya sebagai rasul dan membawa agama baru yang dinamakan“submission”. Teori Kod 19 dianggap lebih tinggi daripada al-Quran kerana mengikut teori ini, ayat-ayat al-Quran perlu dibuang atau ditambah bagi menyesuaikannya dengan Kod 19.
  8. Menyamakan bacaan al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari oleh orang-orang Islam dengan amalan Bushido oleh orang-orang Jepun yang berteraskan ajaran Buddha.
  9. Mendakwa bahawa kekuatan luar biasa seperti mukjizat boleh berlaku melalui rumus Zero Mind Process (ZMP). Dengan ZMP ini, ESQ mengiaskan bahawa mukjizat Nabi Musa A.S diselamatkan daripada Fir’aun juga boleh berlaku kepada orang lain seperti yang berlaku kepada juruterbang Kapten Abdul Razak. Kefahaman mukjizat seperti ini adalah merupakan ajaran agama Hindu seperti yang diterangkan oleh Swami Vivekanda :“When Jesus healed, they called it a miracle”. What is miracle? A supernatural even says the dictionary. “Applied Raja Yoga”, says the Yogi. Just because you dont understand it, you call it miracle. We know what its about. Its natural to us.
  10. Mentafsirkan makna kalimah syahadah dengan “triple one”. Ini adalah tafsiran bid’ah dan sesat. Dalam konteks akidah “triple one” digunakan oleh Kristian untuk menghuraikan Konsep Trinity. Buku “Christianity For Dummies”, ketika menghuraikan konsep ini menyatakan : “The Trinity : How 1+1+1 Equals 1. Christianity say tha God is Trinity – One God Expressed in three beings. The term trinity means : “Three-oneness”

Artikel ini adalah tulisan dari Datuk Haji Wan Zahidi bin Wan Teh (Mufti Wilayah Persekutuan)

NIAT IHRAM HAJI KETIKA HAID


Mengikut Pengurus Besar Kanan Tabung Haji, "Jemaah haji wanita yang dalam haid boleh memasang niat ihram haji atau umrah, bukan tidak boleh. Mereka akan dikenakan dam sekiranya tidak memasang ihram di miqat. Ini adalah peraturan dalam wajib haji dan wajib umrah," kata beliau.Jemaah haji, khususnya wanita yang didatangi haid, wajib memasang niat ihram haji atau umrah apabila melalui miqat.(Bernama)

Friday, September 23, 2011

Dalam Ibadat Haji Terdapat Bekalan



Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:


(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ‘ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah

(Surah Al-Baqarah: Ayat 197)


Bekalan dari ‘ibadah haji itu melimpah ruah, yang dimuliakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala bagi para pengunjung ke rumahNya Baitullahal-Haram. Limpahan kurnia Rabbani ketika haji dan juga di tempat-tempat suci, ketika melaksanakan syi’ar-syi’ar ini semua merupakan limpahan yang amat banyak dari cahaya hidayah, taqwa, rahmat dan sakinah.


Khususnya apabila alat penyambut iaitu hati mereka yang mengerjakan haji itu sejahtera, suci bersih dan ikhlas semata-mata untuk mengadap Allah Subhanahu wa Ta’ala.


Luapan perasaan (hati nurani) yang menyelubungi para jama’ah haji sebelum mereka memulakan perjalanannya ialah rasa ghairah dan kerinduan yang mendalam untuk menunaikan haji, menziarahi Baitullah Al-Haram dan juga maqam Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam. Perasaan ini semakin bertambah ketika sedang dalam perjalanan, seterusnya ketika pandangan mata pertama kali dilemparkan ke Ka’bah Al-Musyarrafah. Betapa agung dan bernilainya detik-detik tersebut. Seakan limpahan nurani membasahi hati-hati para jemaah haji dan penuh dengan rasa gementar dan khusyu’ kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala di samping mengagung dan memuhakanBaitullah Al-Haram.


Pada saat ketika mengucup batu hitam (Hajar Al-aswad) yang merupakan ‘tangan kanan’ Allah Subhanahu wa Ta’ala di muka bumi, ketika berdiri berhampiran dengan Ka’bah, di sisi Multazam, lalu mengalirlah air mata lantaran rasa gementar, ketundukan kepadaNya, rasa taubat dan menyesal. Di sana terdapat limpahan kurnia Tuhan di ‘Arafah dan di Jabal Rahmah. Semua jama’ah haji dari segenap penjuru alam berhimpun di suatu tempat berdo’a kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala


Haji adalah wuquf di ‘Arafah sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam.Sebagai penghormatan Allah kepada mereka dan tidak kembali dalam keadaan hampa, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala menerima taubat mereka yang bertaubat, mengampuni orang yang memohon keampunan, memperkenankan do’a orang yang memohon, melimpahi mereka dengan sakinah dan rahmah, dan menyuburkan hati mereka dengan nur Ilahi dan ketaqwaan. Inilah dia kebahagiaan sebenar yang mengingatkan mereka kepada kebahagiaan ahli syurga.


Bekalan sembahyang, puasa, zakat sentiasa diperbaharui dan berulang-ulang kerana ‘ibadat ini sentiasa berulang-ulang seiring hari, bulan dan tahun. Sebaliknya ‘ibadah haji ini, ‘ibadah yang diwajibkan sekali seumur hidup, seakan Allah mengkhususkan penghormatan, kemuliaan dan limpahan yang besar seumpama ini serta bekalan yang melimpah-limpah kepada pelakunya dalam meniti baki usia dan kembali dalam keadaan bersih seperti hari dia baru dilahirkan. Seakan dia terungkai dari bebanan berat yang menghimpit dirinya.


Semenjak keluar dari rumah untuk menunaikan ‘ibadat haji, bakal haji hidup dalam keadaan tulus hanya kerana Allah, bebas dari segala kesibukan duniawi. Dia menghayati ‘ibadat tersebut dengan sepenuh jiwa raga, ‘aqal, jasad, harta dan dengan segala apa yang ia miliki. Demikianlah ia menggunakan segala ni’mat tersebut semata-mata untuk menta’ati Allah Subhanahu wa Ta’ala jauh dari segala maksiat. Pada ‘ibadat ini juga terdapat bekal, tarbiyyah dan asuhan yang kesannya berpanjangan selepas kehidupannya kelak.


Apabila kewajipan menunaikan haji tertakluk kepada ‘ keupayaan seseorang, ia memberi kesan yang tidak langsung terhadap seorang Muslim yang benar, agar ia menyelia hal keadaan dirinya senantiasa,dan merasakan dirinya diawasi Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam menentukan saat ketika terpenuhnya segala syarat ini. Ia juga tidak menunda dan bertangguh-tangguh untuk berusaha melaksanakan kewajipan tersebut dengan semata-mata setelah terpenuhnya syarat kemampuan tersebut, kerana ia tidak dapat menjamin ajalnya dilanjutkan. Kerana jika tidak maka ia akan terdedah kepada azab Allah Subhanahu wa Ta’ala dan menjadi seperti mereka yang meninggalkan salat kerana malas, atau apabila menjelang Ramadan ia tidak berpuasa, atau ia tidak menunaikan ke­wajipan zakat.


Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala itu baik dan tidak menerima melainkan yang baik-baik sahaja. Sesiapa yang berniat untuk menunaikan fardu haji maka hendaklah segala usaha pencariannya dari sumber yang halal lagi baik, jauh dari perkara yang diharamkan atau yang syubhat. Di sini juga terkandung aspek tarbiyyah yang penting bagi kehidupan Muslim.


Orang yang keluar dari rumahnya, ia telah mandi dan memakai pakaian ihram dan bebas dari kesibukan duniawi, kerana semata-mata ikhlas menghadap Allah semata-mata, meninggalkan anak isteri, alangkah miripnya mereka ini dengan orang yang meninggalkan dunia ini ketika bertemu Tuhan.Mereka mandi ibarat mayat dimandikan, memakai ihram seumpama mayat dikafankan, keluar dari kesibukan duniawi sama dengan keluarnya jasad dari dunia, meninggalkan anak isteri, harta benda merupakan hal keadaan yang sama antara kedua-dua keadaan tersebut.


Alangkah indahnya jika para jama’ah haji dapat mengingati makna sebegini dan menjadikannya sebagai pengajaran dan teladan, bersedia untuk bertemu Allah dalam keadaan bersih dan suci, menjauhi kezaliman, melangsaikan hutang-piutang, berdamai dengan orang yang melakukan kejahatan terhadapnya, bertaubat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan kemungkinan ia bertemu Allah dalam perjalanan ini. Dengan ini ia memulakan perjalanannya dengan permulaan yang baik lagi mulia.


Selawat dan salam ke atasmu wahai junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam yang telah mengajarkan kita do’a ketika memulakan perjalanan. Jika kita menghayati makna yang tersirat dengan sebenar-benarnya, nescaya kita akan keluar dengan bekal tarbiyyah yang amat banyak:


Ya Allah, ya Tuhan kami! Kami memohon kepadaMu kebaikan dan ketaqwaan di dalam perjalanan kami ini dan juga amalan yang Kau redai.


Menghadapkan niat dan qasad kepada kebajikan dan ketaqwaan serta ‘amal salih. Matlamatnya ialah mendapatkan keredaan Ilahi dan memohonnya dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, di samping merasakan dan beriqrar di dalam hati sanubari bahawa ini semua tidak akan tercapai melainkan dengan taufiq dan ‘iradah Allah.


Perenggan seterusnya dari do’a tersebut:

Ya Allah, ya Tuhan kami! Engkaulah peneman di dalam perjalanan dan pengganti bagi isteri, harta dan anak-anak.


Alangkah besarnya kesan do’a ini di dalam jiwa orang mu’min, dan merasakan sentiasa di dampingi Tuhan sepanjang perjalanan. la sentiasa di dalam pemeliharaan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan penjagaanNya, serta jaminan dan ketenangan dari Allah. Allah Subhanahu wa Ta’alalah pengganti bagi anak isteri dan hartanya. la tidak lagi dihantui kebimbangan dan kerunsingan terhadap semua itu.


Demikianlah terlaksananya penyerahan yang total dan tawakkal yang terindah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala degan gambaran ‘amali yang nyata. Seterusnya perenggan yang berikutnya ialah:


Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami ini dan perdekatkanlah jaraknya.


Bernaung kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk mempermudahkan perjalanan dan meringankan kesukaran. Segala urusan kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala. Tiada sesiapapun beranggapan bahawa kemudahan ini terletak kepada prasarana yang tersirat di sebalik sebab musabbab, seperti kapal terbang atau kereta kerana tiada apa yang mudah melainkan apa yang permudahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Adakalanya kereta menjadi sebab kepada kepayahan bukannya sebab kepada kerehatan, sekiranya Allah Subhanahu wa Ta’ala memegang rahmatNya dan membiarkan kita dengan diri kita sendirian.'


Seterusnya perenggan yang berikutnya lagi:


Ya Allah, kami berlindung denganMu dari kepayahan perjalanan, kedukaan pandangan dan keburukan tempat kembali, pada harta mahupun keluarga.


Rasa lemah dan bergantung kepada Allah, memohon perlindungan denganNya dan segala kepayahan dan mara bahaya yang kadang-kadang terdedah kepada orang yang bermusafir ketika perjalanan, atau terhadap ahli keluarga dan harta mereka ketika kembali kepada mereka.

Ketika seseorang jama’ah haji ingin memulakan perjalanan maka ia hendaklah merasakan ia memulakan perjalanan untuk bertemu Tuhan yang Maha Pengasih, dan sesiapa yang bersama dengan mereka kesemuanya adalah tetamu Al-Rahman dan pengunjung Baitullah Al-Haram. Mereka berasa tenang bahawa mereka di bawah penjagaan Allah dan pemeliharaanNya, beramah mesra bersama tetamu Al-Rahman dengan penuh kasih sayang, berlemah-lembut, bertolak ansur, rasa kasih dan saling bertolong bantu. Membantu orang yang lemah serta sakit dan menunaikan hajat mereka.


Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:


Maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji

(Surah Al-Baqarah: Ayat 197)


Membiasakan diri dengan cara ini sepanjang permusafiran merupakan bekal tarbawi bagi seorang Muslim dalam kehidupan mereka dan satu keperluan bagi para penda’wah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala secara khusus.


Do’a yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, yang saling dibacakan semasa berpisah dengan ahli keluarga dan sahabat handai ketika hendak bermusafir mengandungi kebaikan yang besar dan makna tarbiyyah yang penting:


Saya tinggalkan (serahkan) agamamu, amanahmu, dan kesudahan amalmu kepada Allah.

Demikian juga dengan orang yang bermukim mendo’akan orang yang bermusafir dengan do’a berikut:


Semoga Allah membekalkan kamu dengan ketaqwaan.


Dan juga:

Jangan lupakanku dalam doamu wahai saudaraku.


Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam membacakan do’a ini kepada ‘Umar Al-Khattab Radiyallahu ‘anhu ketika beliau bermusafir. Orang yang bermusafir mendo’akan kepada orang yang bermukim:


Saya tinggalkan kamu bersama Allah Subhanahu wa Ta’ala yang tidak pernah lenyap jagaanNya (simpanan)


Semua keadaan dalam suasana berzikir kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala saling berwasiat dengan kebenaran dan tetap pada sesuatu urusan, dan berazam untuk mendapatkan kesudahan yang baik (Husnul Khatimah). Rasa kasih-sayang, rasa cinta untuk kebaikan tidak akan dapat ditemui melainkan orang Muslim.


Memilih ketua rombongan merupakan teladan dari Nabi untuk merealisasikan erti kesatuan, memiliki peraturan dan bersatu hati, serta melindungi diri dari syaitan dengan berkat jama’ah. Ini merupakan aspek tarbiyyah terpenting yang khusus bagi para petugas yang merintis jalan da’wah.


Ini adalah do’a ketika menaiki kenderaan atau apa jua alat pengangkutan. MembacaBismillah terlebih dahulu lalu mengucapkan Alhamdulillah dan bertakbir tiga kali. Apabila telah sempurna di dalam kenderaan maka bacalah:


Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya – “Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”

(Surah Al-Zukhruf: Ayat 13)


Terkandung di dalam do’a tersebut peringatan terhadap kemuliaan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang sebenar-benarnya mencipta wasilah pengangkutan tersebut. Kelebihan ini tidak kembali kepada pembuat kapal terbang atau kereta semata-mata. Segala kemuliaan hanya untuk Allah Subhanahu wa Ta’ala. Allah yang menciptakan segala komponen penciptaan ini semua dan mengurniakan mereka akal yang memikirkan hal ini semua.


Ucapan talbiyyah dan segala makna yang terkandung di dalamnya merupakan sahutan bagi penyeru Allah dan segala makna penyucian dari syirik yang terkandung di dalamnya. Segala puji hanya untuk Allah semata-mata, segala ni’mat dan kerajaan hanya untuk Allah jua. Pengulangan ucapan ini dengan lidah serta hati sering menyematkan makna kalimat ini, merupakan peneguhan serta menetapkan lagi makna-makna keimanan serta tauhid; dan merasakan kemuliaan Allah Subhanahu wa Ta’ala serta keperluan kita kepada Allah:


Ku sambut seruanMu, ya Allah! Ku sambut seruanMu, ya Allah! Tiada sekutu bagiMu. Ku sambut seruanMu. Segala puji-pujian, ni’mat dan kekuasaan hanyalah bagiMu. Tiada sekutu bagiMu.


Di saat jama’ah haji saling mengucap salam sesama mereka, mengandungi makna mengingatkan dan memantapkan pertemuan mereka atas dasar ‘aqidah tauhid, serta rasa keber-samaan dalam menunaikan haji secara berjama’ah.


Setiap kali peningkatan jiwa (ruh) jama’ah haji bersama-sama makna di atas, ianya dapat mengurangi rasa penat tubuh badan, bahkan mereka merasakan kepenatan ini sebagai satu rasa ghairah yang lain, bukannya rasa penat, apabila ini semua menjadi sumber bagi mereka untuk meraih ganjaran Allah Subhanahu wa Ta’ala dan juga kasih sayangNya.


Di saat jama’ah haji semakin hampir dengan Baitullah, maka semakin bertambah kerinduan mereka dan pergantungan mereka, seperti tarikan magnet, semakin menarik di saat sesuatu objek hampir dengannya. Inilah yang dicetuskan oleh Allah dalam hati hamba-hambanya yang ikhlas, dan ini merupakan tanda kasih sayang Allah bagi para hambaNya yang Allah melahirkan rasa cinta kepada mereka untuk mengunjungi “rumah”Nya. Baitullah, Insya’ Allah.


Ketika pandangan jama’ah haji pertama kali jatuh ke Ka’bah musyarrafah, hati mereka dilimpahi rasa gementar dan rasa keagungan kerana melihat satu pemandangan yang sangat menakjubkan, berbaur dengan rasa girang dan terlalu gembira. Gambaran sahaja tidak memadai, sesiapa yang merasakannya sendiri akan tahu. Seterusnya do’a ma’thur ini, jika dibacakan mengandungi kebaikan:


Ya Allah, tambahkanlah kemuliaan, keagungan, kehormatan dan kewibawaan rumah ini. Tambahkanlah kemuliaan, kehormatan, dan kebaikan kepada orang yang menghormati dan memuliakannya dari kalangan jama ‘ah haji dan ‘umrah. Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Sejahtera dan dariMulah segala kesejahteraan, maka hidupkanlah kami dalam keadaan sejahtera

Perjalanan jama’ah haji tidak sama dengan permusafiran yang selainnya, ia bukan sekadar perjalanan dengan jasad-jasad inenuju Mekah, mengujungi Ka’bah, Bukit ‘Arafah. Ia merupa-kan perjalanan rabbaniyyah, perjalanan nuraniyyah, perjalan­an hati-hati dan juga roh menuju Yang Maha Penciptanya, memperkukuhkan hubungan dengannya, kesinambungan kekuatan, kehidupan, kebahagiaan; dan bekal ketaqwaan merupakan sebaik-baik bekal.


Rumah Allah tidak serupa dengan rumah-rumah yang selainnya, sekalipun diperbuat dari batu yang sama. Ia merupakan rumah Allah, dan bukit (‘Arafah) ini bukan seperti bukit yang selainnya, sekalipun dijadikan dari bahan-bahan yang sama. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengkhususkan kedua lempat ini dengan beberapa limpahan kurniaan dan kemuliaan sepertimana Allah Subhanahu wa Ta’ala istimewakan kalam Al-Qur’an, dengan beberapa rahsia, mu’jizat dan pengaruh, meskipun lafaz dan hurufhya seumpama apa yang kita tuturkan. Ini merupakan kelebihan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala serta tahmat dan kemudahan dari Allah. Kita tidak mampu untuk memikul hakikat “Kalamullah”secara langsung. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:


Sekiranya Kami turunkan Al-Qur’an ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyu’ serta pecah belah kerana takut kepada Allah


(Surah Al-Hasyr: Ayat 21)


Sepertimana juga kita tidak mampu melihat penzahiran Tuhan:


Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesarannya) kepada Gunung itu, (maka) “TajalliNya” menjadikan Gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. setelah ia sedar semula, berkatalah ia: “Maha suci Engkau (Wahai Tuhanku), Aku bertaubat kepadaMu, dan Akulah orang Yang awal pertama beriman (pada zamanku)

(Surah Al-A’raf: Ayat 143)


Allah Subhanahu wa Ta’ala telah permudahkan untuk kita menziarahinya, serta menghampirkan diri kepadanya, ber-munajat, serta mendapatkan limpahan kurnia Allah dengan menziarahi Baitullah, mengistimewakannya dengan limpahan kurnia dan“Nur”yang menimbal balik ke atas kita dengan kadar yang mampu tertanggung oleh kita.


Limpahan kurnia Tuhan diperolehi sekadar kemampuan hati kita yang sentiasa takutkan Tuhan, sekadar kesanggupan-nyamenerima “Nur” Ilahi dan limpahan Rabbaniyyah, sebagai-mana yang berlaku dengan kitab Allah Subhanahu wa Ta’ala:


Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan Iaitu Kitab suci Al-Quran Yang bersamaan isi kandungannya antara satu Dengan Yang lain (tentang benarnya dan indahnya), Yang berulang-ulang (keterangannya, Dengan berbagai cara); Yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang Yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab suci itulah hidayah petunjuk Allah; Allah memberi hidayah petunjuk Dengan Al-Quran itu kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah) sesiapa Yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya Yang salah), maka tidak ada sesiapa pun Yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadaNya.

(Surah Al-Zumar: Ayat 23)


Wahai saudaraku, hayatilah perjalanan haji sekitar pandangan rabbani ini ibarat perjalanan hidup bagi hati dan roh. Bukan hanya sekitar pandangan jasad indera. Hati terpusat kepada Allah, menghampirkan diri kepadanya, menambah bekalan dengan kelebihan, ihsan dan rahmat Tuhan, barulah benar-benar tercapai haji mabrur, bekal yang melimpah ruah, dosa-dosa terampun, dan kembali dalam keadaan bersih suci seperti baru dilahirkan dari perut ibu.


Dengan pandangan yang seumpama ini kamu akan mengetahui rahsia gelora perasaan yang berbaur antara rasa gementar dan rasa gembira serta bahagia, ketika pertama kali memandang ke arah Ka’bah Al-Musyarrafah.


Tawaf di Ka’bah iaitu memberi tabik hormat kepada Masjid Al-Haram ini bermula dengan mengusap dan mengucup Hajar Al-Aswad sekiranya dapat, sebagai meneladani sunnah nabi, disertai niat mengikat janji dengan Allah untuk iltizam di atas jalanNya yang lurus, melaksanakan kewajipan Islam bermula dari jihad, pengorbanan, membantu agamaNya dengan keazaman yang benar untuk melaksanakan janji, setia dan menyedari bahaya memungkiri janji tersebut yang akhirnya boleh menyebabkan kemurkaan Allah dan azabNya. Dengan melaksanakan janji setia seumpama gambaran yang sebegini merupakan bekal di atas jalan da’wah.


Tawaf mengelilingi Ka’bah ibarat salat dengan gambaran gerak langkah, pusingan serta do’a-do’a. Jadi, laksanakanlah ia seumpama kamu melakukan salat dalam keadaan khusyu’, hadir hati, beradab, berlemah kembut dengan saudara-saudaramu ketika melakukan tawaf, menyedari Allah sentiasa meng-awasi kamu ketika kamu melaksanakan ‘ibadat ini di sekeliling Baitullah. Ketahuilah bahawa hati kamu di bawah pengawasan Tuhan. Justeru, kosongkanlah hati kamu melainkan hanya Allah dan mengasihiNya. Ikhlas kerana Allah ketika itu seolah-olah ruh yang tawaf mengelilingi Ka’bah bukannya kaki kamu. Lantaran itu, perbanyakkanlah berzikir kepada Allah, berdo’a untuk diri kamu, saudara-saudara kamu dan da’wah kamu.


Ketika di “Multazam”selepas tawaf, hidupkanlahperasaan ketika kamu menempelkan diri ke Baitullah rasa ghairah yang membuak-buak menghampirkan diri kepada Allah; dan ketika bergayut di kelambu Ka’bah rasakanlah keperluan kamu kepada Allah dan juga keampunannya serta keredaannya. Ketika kamu berdiri di pintu Ka’bah rasakanlah seolah kamu seorang hamba yang sangat fakir berada di pintu Si Kaya. Allah akan melihat kamu lantaran kamu benar-benar menghadapkan wajah kepadaNya, penuh ikhlas, rasa takut, penuh mengharap, rasa penuh menyesal, bertaubat, merasakan tiada lagi tempat mengadu dan penyelamat melainkan hanya kepada Allah, di samping merasakan penuh cinta, tunduk, merasakan kelazatan menghampirkan diri dan ta’at. Di saat pelbagai perasaan yang berpadu di hati sanubari, perbanyakkanlah do’a, titiskan air mata, perbaharui tekad keazaman kepada Allah, seolah kamu tidak mahu meninggalkan ambang pintu Ka’bah melainkan hanya untuk memberi ruang kepada tetamu Allah yang lain.


Ketika berdiri di maqam (tempat berdiri ketika membangunkan Ka’bah) Ibrahim Alahissalam, lakukanlah salat dua raka’at dan niatkanlah hubungan batin yang terbentang sepanjang sejarah antara kita dan Nabi Ibrahim Alaihissalam. Juga ingatlah bahawa Allah mengutus Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam yang menjadi rahmat bagi seluruh alam sebagai jawapan bagi do’a Ibrahim Alahissalam.


Air zam-zam tidaklah sama dengan air yang lain, kerana Allah telah membennya beberapa keistimewaan. Ketika meminumnya hendaklah mengingati Siti Hajar dan Nabi Isma’il ‘Alaihissalam yang menderita kehausan serta mengingati betapa susahnya mereka sebelum munculnya air zam-zam. Justeru biasakanlah diri sabar menanggung kesulitan dan kesusahan ketika berjuang di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala.


Sa’i antara Safa dan Marwah adalah salah satu syi’ar di dalam ‘ibadat haji dan umrah. la merupakan bentuk ‘ibadah, bukan hanya sekadar lari-lari kecil beberapa kali pusingan. Bila anda terasa lelah ketika melakukannya, maka ingatlah betapa payahnya Siti Hajar ketika berlari-lari mencari air buat puteranya yang hampir mati kehausan. Dengan itu, kita akan bersabar menanggung beratnya perjalanan jihad fi sabilillah dalam rangka ber’ibadah kepada Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Demikian juga sebagai zakat bagi kesihatan kita dan untuk menyibukkan tubuh fizikal kita dengan keta’atan kepada Allah.


Saat bermukim di Mekah dan di bawah naungan Baitullah yang dimuhakan selama beberapa hari, sebaiknya anda manfa’atkannya untuk melaksanakan semua salat fardu dengan berjama’ah di hadapan Ka’bah. Di keheningan malam gunakan-lah sebahagian tempat untuk bertahajjud, bermunajat, ber-selawat, serta “mengetuk pintu”Allah dengan ruku’, sujud, do’a dan air mata kerana takut kepadaNya. Dalam suasana Rabbani seperti itu, jangan lupa berdo’a kepada Allah agar la memper-kukuhkan pasukanNya, menolong agamaNya, dan menghancurkan musuh-musuh Islam di pelbagai tempat.


Ketika berada di Mekah, berjalan-jalan di lembah-lembah serta penjuru-penjurunya, dan saat berkunjung ke Gua Hira’ dan Gua Thur, kenangkanlah masa-masa permulaan da’wah; kesusahan, seksaan dan gangguan yang dirasakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dan kaum Muslimin generasi pertama kerana keyakinan tauhid. Kenanglah kesabaran, keteguhan dan semangat mereka dalam menyampaikan da’wah. Kenanglah Darul Arqam yang digunakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sebagai tempat meng-kader para pejuang yang menolak segala bentuk kesesatan para penyembah patung, penyembah api, Rom, dan Yahudi. Bayangkanlah bahawa anda sekarang sedang berjalan di atas tanah yang pernah dijejaki oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabatnya.


Berkumpulnya jama’ah haji dari penjuru dunia merupakan kesempatan yang sangat baik untuk mengukuhkan ikatan di antara kaum Muslimin, saling berkenalan, saling bertukar khabar perihal daerah masing-masing, saling bertukar fikiran, dan saling menggembeling semangat serta cita-cita, hingga mereka seakan satu tubuh yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lainnya. Juga merupakan kesempatan yang baik untuk mengkaji masalah-masalah yang dihadapi oleh dunia Islam, minoriti Islam, tipudaya musuh, dan segala hal yang berkait dengan kaum Muslimin. Alangkah baiknya kalau hal itu berlanjutan dengan saling mengirim surat setelah ibadah haji, agar hubungan tetap terjalin, berita tetap disampaikan dan wujudnya syi’ar kesatuan umat Islam: Firman Allah Subhanahu waTa’ala


Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu – agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu.

(Surah Al-Mu’minun: Ayat 52)


Padang ‘Arafah tidak sama dengan padang-padang lainnya. Di sana rahmat dan kurnia Allah mengalir kepada para tetamu-Nya yang berkumpul dengan pakaian ihram yang sederhana; mereka khusyuk berdo’a kepadaNya seolah-olah mereka berada di padang Mahsyar. Memang benar ini merupakan pe-mandangan agung dan hari yang agung.


Imam Muslim dan selainnya meriwayatkan dari ‘A’isyah Radiyallahu ‘anha bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


Tiada hari yang (pada hari itu) Allah lebih banyak memerdekakan hambaNya dari api neraka, melebihi hari Arafah. Saat itu Allah Subhanahu wa Ta ‘ala menghampirkan diri, kemudian membangga-banggakan mereka di hadapan para malaikat sambil bertanya (pada para malaikat): “Apa yang mereka inginkan ? “

(Hadith riwayat Muslim)


Di antara kebaikan yang dilimpahkan oleh Allah pada hari itu adalah; orang-orang yang belum berkesempatan menunaikan haji disunatkan berpuasa ‘Arafah yang dapat menghapus dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya. Dari Abu Qatadah Radiyallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam ditanya perihal puasa ‘Arafah, lantas baginda menjawab:


la dapat menghapus (dosa setahun) yang lalu dan yang kemudian.

(Hadith riwayat Muslim)


Saat selesai menunaikan wukuf di ‘Arafah, perasaan jama’ah bergetar kerana berpisah dengan bukit tercinta, hari yang berkat, serta suasana yang agung, dan hati selalu berharap agar amal-amal diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.


Melempar Jumrah adalah lambang kepatuhan dan bukti penghambaan dengan menjalankan perintah, meskipun akal belum mampu mencerap hikmah-hikmahnya. Ketika itu ingatlah syaitan yang menggangu Ibrahim ‘Alaihissalam dan memujuknya agar tidak melaksanakan perintah Allah, namun Baginda menolak pujukan tersebut. Wahai jama’ah haji, sedarlah terhadap bahaya gangguan dan pujukan syaitan lalu perangilah syaitan sebagaimana ketika anda melempar jumrah untuk mengusir syaitan.


Saat menyembelih “Al-Hadyu” (binatang sembelihan sebagai denda kerana meninggalkan ‘amalan-’amalan yang wajib atau mengerjakan hal-hal yang dilarang dalam ‘ibadah haji, pent.) dan membahagikannya kepada kaum fakir miskin di kalangan kaum Muslimin; di samping merupakan saranan mendekatkan diri pada Allah, mengharap keredaanNya dan agar dibebaskan dari api neraka, juga mengandung makna kasih-sayang dan simpati pada orang-orang fakir.


Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari Syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta Yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian Yang lain) kepada orang-orang Yang tidak meminta dan Yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan Dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

(Surah Al-Hajj: Ayat 36)


Saat melakukan Tawaf Wida’, muncul rasa terharu kerana berpisah dengan tempat yang tercinta dan termulia, yang bercampur dengan rasa harap agar Allah menerima ibadah haji tersebut dan memberi kesempatan lagi untuk kembali. Ketika perjalanan menuju ke Madinah, kita akan terkenang hijrah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, jarakyang ditempui. Baginda ketika diusir oleh kaumnya, sambutan penduduk Madinah, dan didirikan masjid pertama oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat; peperangan, pembebasan daerah, pembersihan Semenanjung ’Arab dari syirik penyembahan, dan Yahudi, setelah mengkhianati perjanjian memang begitulah tradisi mereka yang telah dinyatakan di dalam Al-Qur’an.


Saat berada di masjid Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam ingatlah hadith Rasulullah Sallallahu ‘alaihi ini:


Di antara rumahku dan mimbarku terdapat sebuah taman dari taman-taman syurga. Dan mimbarku berada di atas telagaku


Alamilah kebahagiaan rohani yang mirip dengan bahagiaan penghuni syurga yang mendapat keredaan sedarilah hubungan rohani antara anda dan Rasulullah sangat prihatin terhadap kaum mu’minin, kasih-sayang mereka dan merasa susah apabila mereka mendapat kesulitan berdo’alah agar Allah membalasnya dengan sebaik-baik basalan kepada seorang nabi yang sangat berjasa kepada umatnya. Iuga berdo’alah untuk khalifah yang pertama, Abu Bakar Radiyallahu ‘anhu; khalifah yang kedua, ‘Umar Radiyallahu ‘anhu, khalifah yang ketiga, ‘Uthman Radiyallahu ‘anhu; dan khalifah yang keempat, ‘Ali Karamallahu wajhah; semoga Allah meredai mereka semua, serta mohonlah agar Allah mengumpulkan kita bersama mereka.


Kunjungilah tempat-tempat bersejarah di Madinah dm kenanglah peristiwa-peristiwa di dalamnya yang dapat merubah sejarah manusia. Kunjungilah perkuburan Baqi’ yang menjadi tempat beristirehatnya para pejuang yang agung. Kunjungilah bukit Uhud yang menjadi medan bagi perang Uhud, serta renunglah pelbagai ibrah dan pengajaran yang ada di dalamnya.


Demikianlah, anda dapat mengimbas kembali sebahagian dari sirah yang harum dan segala kenangan baiknya yang dapat memberimu bekal, nasihat, dan pelajaran yang sangat engkau perlukan dalam meniti jalan da’wah ini.