SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA MATINYA HATI IALAH APABILA TIDAK BERASA SEDIH
JIKA TERLEPAS SESUATU AMAL KEBAIKAN DARIPADANYA DAN TIDAK MENYESAL JIKA
TERJADI PERBUATAN YANG TIDAK BAIK OLEHNYA.
Kita telah dinasihatkan supaya jangan meninggalkan zikir
walaupun tidak hadhir hati ketika berzikir.
Begitu juga dengan ibadat dan amal kebaikan.
Janganlah meninggalkan ibadat lantaran hati tidak khusyuk ketika beribadat
dan jangan meninggalkan amal kebaikan
lantaran hati belum ikhlas dalam melakukannya.
Khusyuk dan ikhlas adalah sifat hati yang sempurna.
Zikir, ibadat dan amal kebaikan
adalah cara-cara untuk membentuk hati agar menjadi sempurna.
Hati yang belum mencapai tahap kesempurnaan dikatakan hati itu berpenyakit.
Jika penyakit itu dibiarkan, tidak diambil langkah mengubatinya,
pada satu masa, hati itu mungkin boleh mati.
Mati hati berbeza daripada mati tubuh badan.
Orang yang mati tubuh badan ditanam di dalam tanah.
Orang yang mati hatinya,
tubuh badannya masih sihat
dan dia masih berjalan ke sama ke mari di atas muka bumi ini.
Jika kita renungi kembali kepada diri zahir manusia,
kita akan dapat menyusunnya
sebagai tubuh, nyawa, naluri-naluri dan akal fikiran.
Bila dibandingkan dengan haiwan,
kita akan mendapati susunan haiwan seperti susunan manusia juga..
Haiwan mempunyai tubuh badan, nyawa dan naluri-naluri.
Bezanya adalah haiwan tidak mempunyai akal fikiran.
Oleh sebab manusia memiliki akal fikiran
maka manusia boleh diistilahkan sebagai haiwan yang cerdik.
Haiwan yang cerdik (manusia), dipanggil nafsu natiqah menurut istilah tasauf .
Pemilikan akal tidak mengubah manusia dari status kehaiwanan.
Jika ada haiwan berbangsa monyet, harimau, kuda dan lain-lain,
maka ada haiwan berbangsa manusia.
Haiwan berbangsa manusia menjadi raja memerintah semua haiwan yang lain.
Akal fikiran yang ada pada mereka
membuat mereka boleh membentuk kehidupan yang lebih sempurna
dari haiwan lain yang tidak berakal.
Akal fikiran juga mampu membuat haiwan bangsa manusia
menawan daratan, lautan dan udara.
Walaupun mereka berjaya menawan daratan
dengan kenderaan mereka namun,
itu tidak membezakan mereka daripada kuda dan haiwan lain
yang mampu juga menawan daratan.
Walaupun mereka berjaya menawan lautan namun,
itu tidak membezakan mereka
daripada haiwan ikan yang juga menggunakan lautan.
Walaupun mereka berjaya menawan udara namun,
itu tidak membezakan mereka
daripada haiwan burung yang juga menggunakan udara.
Kemampuan yang ditunjukkan oleh akal fikiran
tidak mengubah status haiwan yang ada pada manusia.
Apakah yang menjadikan manusia sebagai insan, bukan haiwan ?
Manusia menjadi istimewa kerana memiliki hati rohani.
Hati mempunyai nilai yang mulia yang tidak dimiliki oleh akal fikiran.
Semua anggota dan akal fikiran menghala kepada alam benda
sementara hati rohani menghala kepada Pencipta alam benda.
Hati mempunyai persediaan untuk beriman kepada Tuhan.
Hati yang menghubungkan manusia dengan Pencipta.
Hubungan dengan Pencipta memisahkan manusia daripada daerah haiwan
dan mengangkat darjat mereka menjadi makhluk yang mulia.
Hati yang cergas, sihat dan dalam keasliannya yang murni,
berhubung erat dengan Tuhannya.
Hati itu menyuluh akal fikiran
agar akal fikiran dapat berfikir tentang Tuhan dan kejadian Tuhan.
Hati itu menyuluh juga kepada anggota tubuh badan
agar mereka tunduk kepada perintah Tuhan dan menjauhi larangan-Nya.
Hati
yang berjaya menaklukkan
akal fikiran dan anggota tubuh badannya
serta
mengarahkan mereka berbuat taat kepada Allah s.w.t
adalah hati yang
sihat.
Hati yang sihat melahirkan takwa, iaitu pengabdian kepada Allah s.w.t.
Takwalah yang membezakan kedudukan seseorang hamba pada sisi Tuhan.
Semakin
tinggi darjat ketakwaan
semakin hampir seorang hamba dengan Tuhannya.
Semakin rendah darjat takwa
semakin hampir seseorang dengan daerah
kehaiwanan.
Jika takwa tidak ada
jadilah manusia itu haiwan yang pandai berfikir dan berkata-kata.
Haiwan yang pandai berfikir inilah yang dikatakan manusia yang mati hatinya.
Dia tidak dapat menggerakkan fikiran dan anggotanya menuju kepada Allah s.w.t.
Bahagian yang menghala kepada Pencipta tidak berfungsi,
hanya
bahagian yang menghala kepada alam benda
merupakan bahagian yang aktif.
Manusia yang mati hatinya atau manusia yang berbangsa haiwan ini
tidak berasa sedih
jika terlepas peluang baginya
untuk melakukan amalan yang mendekatkan diri dengan Tuhan
dan dia tidak berasa kesal jika dia berbuat dosa dan maksiat
yang menjauhkan dirinya daripada Allah s.w.t.
Kematian hati tidak dapat dikenal
jika seseorang itu mengambil daya nilai keduniaan sebagai piawaian.
Ramai orang yang menurut pengertian tasauf sudah mati hatinya
tetapi mereka mencapai berbagai-bagai kecemerlangan dalam kehidupan dunia.
Mereka menjadi pemimpin kepada orang ramai.
Mereka menciptakan berbagai-bagai benda keperluan manusia.
Mereka berjaya mendaki Gunung Everest.
Mereka memegang bermacam-macam rekod kejohanan.
Mereka menguasai kekayaan dan berbagai-bagai lagi kejayaan dan kecemerlangan.
Apa juga kejayaan dan kecemerlangan yang diperolehi
hendaklah diletakkan di atas neraca akhirat.
Jika kejayaan dan kecemerlangan itu mampu menambahkan berat dacing kebaikan,
maka kejayaan dan kecemerlangan itu adalah benar.
Jika tidak
ia hanyalah fatamorgana.
Alhikam
1 comments:
Makasih ilmunya. Moga manfaat. Mampir ya http://goldenmanners.blogspot.co.id/2016/03/memendarkan-energi-dzikir.html
Post a Comment