Amalan zahir dinamakan syariat zahir dan amalan batin dinamakan syariat batin. Ilmu yang membicarakan tentang syariat zahir dinamakan ilmu fikah. Ilmu yang membicarakan tentang syariat batin dinamakan ilmu tasauf. Istilah fikah dan tasauf digunakan pada zaman yang di belakang ini. Pada zaman Rasulullah s.a.w semua ilmu dikenali sebagai ilmu agama atau ilmu al-Quran atau ilmu Islam. Kesempurnaan ilmu syariat adalah gabungan ilmu fikah dan tasauf. Ilmu fikah mengajar manusia cara beramal yang betul. Ilmu tasauf mengajar manusia menghadap Tuhan dengan benar dalam melakukan suruhan-Nya. Bagi mereka yang cenderung dengan aliran tarekat tasauf janganlah menganggap tasauf sebagai persaingan kepada fikah atau kepada syariat itu sendiri. Fahaman yang membezakan tasauf daripada syariat, yang mengatakan fikah itulah syariat dan tasauf adalah bidang yang tersendiri, mestilah dihapuskan. Tasauf berperanan memudahkan seseorang melakukan peraturan syariat sebagaimana yang dikehendaki oleh fikah. Fikah pula membentuk jalan yang lurus agar seseorang boleh menghadap kepada Tuhan dan menghampiri-Nya sebagaimana yang diajarkan oleh tasauf. Gabungan fikah dan tasauf membentuk syariat yang sempurna. Berfikah tanpa tasauf dibolehkan bagi mendapatkan kedudukan sebagai seorang Islam tetapi bertasauf tanpa fikah tidak mungkin. Tidak mungkin mengerjakan sembahyang dengan niat yang betul tetapi tidak ada perbuatan sembahyang.
Friday, October 12, 2012
Taubat - Pintu Keselamatan
Sesudah itu Adam
terima beberapa kalimat dari Tuhannya lalu Dia ampunkannya kerana Allah
itu Maha Pengampun Maha Penyayang. ( Ayat 37 : Surah al-Baqarah
)
Dia jualah Penerima
taubat hamba-hamba-Nya dan mengampunkan dosa dan Dia Mengetahui apa yang
kamu kerjakan. ( Ayat 25 : Surah asy-Syura )
Kecuali orang yang
bertaubat dan beriman dan mengerjakan amal salih, maka mereka itu Allah
tukarkan kejahatan mereka dengan kebaikan kerana Allah Maha Pengampun Maha
Penyayang. ( Ayat 70 : Surah al-Furqaan )
Amalan zahir dinamakan syariat zahir dan amalan batin dinamakan syariat batin. Ilmu yang membicarakan tentang syariat zahir dinamakan ilmu fikah. Ilmu yang membicarakan tentang syariat batin dinamakan ilmu tasauf. Istilah fikah dan tasauf digunakan pada zaman yang di belakang ini. Pada zaman Rasulullah s.a.w semua ilmu dikenali sebagai ilmu agama atau ilmu al-Quran atau ilmu Islam. Kesempurnaan ilmu syariat adalah gabungan ilmu fikah dan tasauf. Ilmu fikah mengajar manusia cara beramal yang betul. Ilmu tasauf mengajar manusia menghadap Tuhan dengan benar dalam melakukan suruhan-Nya. Bagi mereka yang cenderung dengan aliran tarekat tasauf janganlah menganggap tasauf sebagai persaingan kepada fikah atau kepada syariat itu sendiri. Fahaman yang membezakan tasauf daripada syariat, yang mengatakan fikah itulah syariat dan tasauf adalah bidang yang tersendiri, mestilah dihapuskan. Tasauf berperanan memudahkan seseorang melakukan peraturan syariat sebagaimana yang dikehendaki oleh fikah. Fikah pula membentuk jalan yang lurus agar seseorang boleh menghadap kepada Tuhan dan menghampiri-Nya sebagaimana yang diajarkan oleh tasauf. Gabungan fikah dan tasauf membentuk syariat yang sempurna. Berfikah tanpa tasauf dibolehkan bagi mendapatkan kedudukan sebagai seorang Islam tetapi bertasauf tanpa fikah tidak mungkin. Tidak mungkin mengerjakan sembahyang dengan niat yang betul tetapi tidak ada perbuatan sembahyang.
Adam a.s, manusia pertama, telah melakukan
kesalahan. Ketika itu beliau a.s mendiami syurga. Manusia secara tabi’inya
tidak dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan, sekalipun mereka
tinggal di dalam syurga yang serba menyenangkan, apa lagi mereka tinggal
di dalam dunia yang serba memayahkan. Adam a.s mengakui kesalahannya dan
merujuk kembali kepada Tuhan, memohon agar Tuhan mengajarkannya apa yang
perlu dibuatnya bagi menutup kesalahannya dan menggantikannya dengan kebaikan.
Tuhan Yang Maha Pengampun Maha Penyayang mengajarkan kepada Adam a.s beberapa
kalimat, iaitu cara bertaubat. Adam a.s bertaubat dengan penuh keinsafan
dan keikhlasan. Tuhan yang mengajarkan Adam a.s bertaubat itu menerima
taubatnya dan mengampunkan kesalahannya. Taubat mengembalikan Adam a.s
kepada Tuhan as-Salam, Yang Mensejahterakan. Taubat yang dilakukan oleh
Adam a.s adalah taubat yang disertai oleh iman dan diikuti oleh amal salih.
Taubat yang demikian menghapuskan kejahatan dan menggantikannya dengan
kebaikan.
Iblis, jin yang pertama diciptakan
Tuhan, telah melakukan kesalahan. Kesalahan Adam a.s adalah lupa kepada
pesanan Tuhan. Kesalahan iblis pula adalah engkar kepada perintah Tuhan.
Adam a.s mengakui kesalahan dan bertaubat. Iblis tidak mahu mengakui kesalahannya
dan enggan bertaubat. Adam a.s yang bertaubat menerima nikmat keampunan
dari Tuhan. Iblis yang enggan bertaubat menerima kemurkaan dan laknat dari
Tuhan. Adam a.s kembali kepada Tuhan dan keselamatan-Nya. Iblis tercampak
jauh dari Tuhan dan hilang peluang untuk kembali. Di akhirat kelak taubat
membawa Adam a.s kembali kepada syurga dan iblis pula akan dicampakkan
ke dalam neraka jahanam, tempat yang paling buruk dan paling azab.
Taubat adalah jalan kembali kepada
Tuhan. Apabila manusia melakukan dosa dia tercampak jauh dari Tuhan. Jika
dia tidak bertaubat dia tetap tinggal jauh dari Tuhan. Jika kemudiannya
dia berbuat kebaikan maka dia berbuat baik dalam keadaan jauh dari Tuhan.
Dia boleh melakukan suruhan syariat tetapi tanpa taubat dia menjadi ahli
syariat yang jauh dari Tuhan.
Hamba yang melakukan kesalahan sangat
perlu bertaubat. Taubat merupakan cetusan iman. Iman yang menguatkan amal
salih. Tanpa iman tidak ada amal salih. Amal tanpa taubat sebenarnya tidak
berpangkal kepada iman. Amal yang demikian sangat sedikit nilai salihnya.
Salih itulah yang menentukan darjat kemuliaan sesuatu amal itu di sisi
Tuhan. Amal yang tidak disertai oleh taubat tidak banyak memberi pahala.
Pahala bukan sahaja berguna di akhirat. Keberkatan pada rezeki dan kesejahteraan
hidup di dunia merupakan terjemahan kepada pahala yang diperolehi daripada
amal yang salih. Di akhirat kelak terjemahan pahala itu akan lebih menyata
lagi. Banyak daripada masalah kehidupan harian tidak mampu diselesaikan
lantaran tidak bertaubat daripada dosa-dosa yang lalu.
Bani Adam memiliki tabii keadaman.
Mereka tidak sunyi daripada melakukan kesalahan. Tidak wajar jika ada orang
yang mengatakan dia tidak pernah berbuat kesalahan dan tidak perlu bertaubat.
Nabi Muhammad s.a.w yang suci bersih pun sering bertaubat. Paling tidak
memohon keampunan di atas kelemahan sebagai manusia yang tidak berupaya
melakukan perintah Tuhan dengan sempurna.
Ramai manusia terhalang daripada
memperolehi apa yang layak diperolehinya sebelum mereka memasuki pintu
taubat. Adam a.s yang diciptakan khusus untuk menjadi khalifah di bumi
hanya memperolehi mahkota khalifah itu setelah beliau a.s melalui pintu
taubat dan menerima keampunan dari Tuhan. Roh syariat, roh agama, nur iman,
nur Ilahi dan yang seumpamanya hanya masuk ke dalam hati yang telah dibasuh
dengan air taubat. Orang yang bertaubat dan Tuhan mengampunkan dosanya,
kesuciannya kembali kepada kesucian roh yang latif, yang suci dan hampir
dengan Tuhan. Manusia yang rohnya kembali kepada taraf amr Tuhan akan memperolehi
keselamatan di dunia dan di akhirat. Manusia yang memiliki roh yang demikian
mampu mengkamilkan batin syariat dengan zahir syariat atau antara iman
dengan amal. Bani Adam sewajarnya mengikuti langkah bapa mereka dengan
bertaubat agar mereka juga boleh kembali kepada Tuhan dan layak dipakaikan
mahkota khalifah di bumi.
Taubat yang hanya merupakan kata-kata,
tanpa mengetahui sejauh mana dosa yang dilakukan, tidak berikrar untuk
tidak mengulangi dosa tersebut, tidak mengambil langkah mencegah daripada
berulangnya perbuatan dosa dan tidak melakukan kebaikan yang boleh menghapuskan
dosa, adalah taubat pada luaran sahaja, tidak terhunjam ke dalam lubuk
hati yang dalam. Taubat yang demikian adalah umpama memotong rumput bahagian
di atas tanah sahaja sedangkan akar yang di dalam tanah dibiarkan. Rumput
akan kembali tumbuh selagi akarnya tidak dicabut. Orang yang benar-benar
bertaubat mengetahui kesalahannya dan punca kesalahan tersebut, bertekad
tidak akan mengulanginya dan membebaskan dirinya daripada punca kesalahan.
Taubat yang begini umpama mencabut rumput beserta akarnya yang di dalam
tanah dan membuangnya jauh-jauh.
Taubat luaran adalah penyesalan secara
umum dan samar-samar. Tauabat dalaman adalah penyesalan yang jelas tentang
apa yang dikesalkan dan menjauhkan diri daripadanya. Orang yang bertaubat
daripada zina tidak lagi menghampiri zina, bukan sekadar tidak melakukan
zina. Jika masih lagi menghampiri zina, sekalipun tidak melakukannya, itu
bukanlah taubat yang sebenarnya. Adam a.s yang telah melakukan kesalahan
dengan memakan buah larangan di dalam syurga, setelah bertaubat beliau
a.s tinggal di bumi yang sangat jauh daripada pokok larangan yang menjadi
isu kesalahannya. Tanda taubat diterima adalah orang yang berdosa tidak
jatuh lagi ke dalam jurang dosa tersebut.
Orang yang benar dengan taubatnya
mempelajari keadaan dirinya, mencari punca dan faktor yang menyebabkan
dia jatuh kepada perbuatan dosa. Dia mengawasi perjalanan nafsunya, membebaskannya
daripada ego yang mengheret kepada kejahatan dan kedurhakaan kepada Tuhan.
Jihad membuang nilai-nilai buruk daripada daerah nafsu akan memberi kekuatan
kepada rohani. Rohani yang sedar dan celik akan dapat melihat kepada kejahatan
dan dapat mengeluarkan teguran daripada dalam. Teguran dari dalam itu dinamakan
suara hati. Pada peringkat awalnya suara hati hanya sekadar memberi teguran
tetapi tidak mampu menghalang berlakunya kesalahan tetapi apabila semakin
banyak nilai-nilai buruk dikeluarkan daripada daerah nafsu suara hati akan
menjadi lebih kuat. Hati akan sempat memberi peringatan sebelum terjadinya
perbuatan dosa. Kemunculan penasihat dari dalam diri sendiri menambahkan
kesedaran seseorang tentang yang benar dan yang salah. Kemudian dibukakan
kepadanya hakikat yang benar dan yang salah. Apabila hakikat tersebut telah
terbuka kepadanya dia akan lebih mudah melakukan yang benar dan meninggalkan
yang salah.
Dalam perjalanan menuju tahap yang
suci bersih seseorang perlu menentang nafsu kehaiwanan yang menumpang pada
nafsunya yang asli, yang suci bersih. Nafsu kehaiwanan hanya inginkan makanan,
minuman, pakaian, tidur, melakukan yang sia-sia dan berseronok. Dalam daerah
nafsu yang rendah itu juga ada sifat ego yang jahat seperti takabur, sombong,
dengki, dendam, tamak dan lain-lain penyakit hati. Semua itu mesti dibuang
daripada daerah nafsu supaya kemurnian nafsu yang asli kembali menyerlah.
Orang yang benar-benar bertaubat mampu berbuat demikian dan dia kembali
menjadi suci, bersih dan murni. Hijab yang muncul dari alam zahiriah menjadi
hancur dan rohaninya akan bercahaya, memperlihatkan keserian wajah yang
menggambarkan kedamaian jiwa.
Syariat mengajarkan jihad menyelamatkan
diri daripada dosa. Dosa masuk ke dalam manusia melalui setiap bahagian
tubuhnya dan juga melalui dirinya yang tidak kelihatan. Mata, telinga,
mulut, hidung, tangan, kaki, syahwat dan segenap tubuh boleh menjadi pintu
buat dosa memasuki manusia. Fikiran dan perasaan juga menjadi pintu dosa.
Dosa adalah umpama besi dan neraka
umpama besi berani yang besar lagi kuat, menarik besi dosa kepadanya. Makanan,
minuman dan bauan yang harum memasukkan dosa ke dalam tubuh manusia. Dosa
bercampur dengan darah, daging, tulang, sumsum dan seluruh tubuh. Tangan
yang melakukan kejahatan akan dibaluti oleh dosa seperti balutan lumpur.
Tangan yang berbalut dosa menyentuh isteri, anak-anak, makanan, pekerjaan
dan lain-lain. Ia mencemarkan apa sahaja yang disentuhnya.
Syahwat yang berzina akan dibaluti
dosa dan dengan syahwat yang berbalut kekotoran dosa itu juga lelaki meniduri
isterinya. Tangannya yang menyuap makanan dibaluti dosa. Makanannya haram.
Darahnya bercampur air dosa. Air mani yang terbentuk dalam tubuhnya juga
terpalit dosa. Melalui syahwat yang berdosa dia menghantar air mani yang
terpalit dosa ke dalam kandungan isterinya. Dalam kandungan ibu lagi bayi
sudah dihadapkan dengan kesan dosa. Anak keluar ke dunia membawa kekuatan
dosa, bersedia untuk menghadapi dosa-dosa. Ramai bayi yang dibungkus oleh
dosa sejak dalam kandungan ibu mereka keluar membawa penyakit yang ganjil-ganjil.
Sudah ada bayi yang keluar sahaja ke dunia sudah pun menghidapi penyakit
aids.
Kecelakaan menimpa manusia yang berdosa
kerana syaitan boleh bersekutu dalam apa sahaja yang mereka lakukan. Apa
sahaja yang dipegangnya dan apa yang keluar daripadanya beserta dengan
syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk menjahanamkan Bani Adam. Dosa
yang menemani seseorang itu membawa bahang api neraka kepadanya ketika
dia masih hidup dalam dunia ini, apa lagi setelah dia memasuki lubang kubur.
Bahang api neraka membuatnya menjadi resah gelisah dan kepanasan. Isteri
yang cantik tidak menyejukkan pandangannya. Harta yang banyak tidak menemukannya
dengan kepuasan. Kemuliaan yang diberikan oleh manusia tidak mendamaikan
jiwanya. Beban dosa menghimpit jiwanya, takut orang ramai mengetahui kejahatan
yang disembunyikannya.
Fikiran dan perasaan yang dibaluti
dosa, walaupun memikirkan sebaik mungkin, merancang dengan penuh kerapian,
membuat kajian dengan teliti namun, hasilnya adalah kemusanahan. Morfin
yang ditemui oleh pakar-pakar perubatan untuk membantu orang sakit itulah
yang menjadi dadah membunuh jutaan manusia. Satelit yang diciptakan untuk
kesejahteraan umat manusia itulah yang memandu peluru berpandu dan bom
nukliar untuk membunuh umat manusia sendiri. Sentuhan fikiran, perasaan
dan anggota yang berdosa lebih mengwujudkan neraka dalam dunia daripada
memberi kesejahteraan kepada umat manusia. Dosa-dosa yang bertaburan dalam
dunia inilah yang mengheret dunia kepada kiamat.
Ulama zaman dahulu suka memperingatkan
umat manusia supaya menghindarkan diri daripada melakukan dosa demi kesejahteraan
manusia sendiri. Ramai daripada ulama hari ini segan mahu bercakap tentang
dosa, takut dianggap kolot. Orang ramai hari ini tidak tahu tentang dosa
tetapi sangat mengerti tentang kemudaratan pada tubuh badan. Perkara dosa
mesti dihurai secara saintifik terlebih dahulu untuk mengetahui kemudaratannya.
Apakah kemudaratan meminum arak? Apakah kemudaratan memakan daging babi?
Apakah kemudaratan tidak bersembahyang? Apakah kemudaratan tidak berpuasa?
Semuanya mesti dimasukkan ke dalam ‘tabung uji’ terlebih dahulu sebelum
disahkan sebagai dosa. Manusia mengambil alih tugas menentukan sesuatu
perkara itu berdosa atau tidak.
Kaum Muslimin memainkan peranan yang
penting di dalam dunia. Mereka berfungsi sebagai pengimbang kepada ketidak-stabilan
yang terjadi kepada dunia. Kaum Muslimin berperanan menyekat mala petaka
yang mengancam dunia akibat dosa-dosa manusia. Kaum Muslimin mempunyai
keupayaan yang tinggi kerana mereka berpegang kepada syariat yang benar
yang mengajar mereka ibadat taubat dan memperkenalkan mereka kepada Tuhan
Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang. Air taubat yang mengalir daripada
kaum Muslimin menyejukkan api neraka dunia yang keluar daripada dosa-dosa
manusia. Taubat merupakan kurniaan Tuhan yang besar kepada orang-orang
yang beriman demi faedah mereka sendiri dan umat manusia seluruhnya. Ibadat
taubat mesti disebarkan seluas-luasnya demi kesejahteraan hidup di dunia
dan juga di akhirat. Kaum Muslimin seharusnya memandang serius kepada ibadat
taubat sebagaimana kesungguhan mereka dalam ibadat sembahyang dan lain-lain.
Mereka mestilah benar di dalam taubat sebagaimana benarnya hati mereka
menghadap Tuhan di dalam sembahyang.
Taubat, sebagaimana juga ibadat yang
lain, ada aspek zahir dan ada aspek batin. Aspek zahir melibatkan cara
dan peraturan yang bersangkutan dengan perbuatan zahir. Aspek batin melibatkan
urusan hati. Setiap amalan zahir digantungkan kepada niat yang berada dalam
batin.
Amalan zahir dinamakan syariat zahir dan amalan batin dinamakan syariat batin. Ilmu yang membicarakan tentang syariat zahir dinamakan ilmu fikah. Ilmu yang membicarakan tentang syariat batin dinamakan ilmu tasauf. Istilah fikah dan tasauf digunakan pada zaman yang di belakang ini. Pada zaman Rasulullah s.a.w semua ilmu dikenali sebagai ilmu agama atau ilmu al-Quran atau ilmu Islam. Kesempurnaan ilmu syariat adalah gabungan ilmu fikah dan tasauf. Ilmu fikah mengajar manusia cara beramal yang betul. Ilmu tasauf mengajar manusia menghadap Tuhan dengan benar dalam melakukan suruhan-Nya. Bagi mereka yang cenderung dengan aliran tarekat tasauf janganlah menganggap tasauf sebagai persaingan kepada fikah atau kepada syariat itu sendiri. Fahaman yang membezakan tasauf daripada syariat, yang mengatakan fikah itulah syariat dan tasauf adalah bidang yang tersendiri, mestilah dihapuskan. Tasauf berperanan memudahkan seseorang melakukan peraturan syariat sebagaimana yang dikehendaki oleh fikah. Fikah pula membentuk jalan yang lurus agar seseorang boleh menghadap kepada Tuhan dan menghampiri-Nya sebagaimana yang diajarkan oleh tasauf. Gabungan fikah dan tasauf membentuk syariat yang sempurna. Berfikah tanpa tasauf dibolehkan bagi mendapatkan kedudukan sebagai seorang Islam tetapi bertasauf tanpa fikah tidak mungkin. Tidak mungkin mengerjakan sembahyang dengan niat yang betul tetapi tidak ada perbuatan sembahyang.
Taubat yang benar menggabungkan cara fikah
dengan cara tasauf. Orang yang bertaubat melakukan sembahyang sunat taubat
dan memperbanyakkan ucapan istighfar. Kesalahan yang berhubung dengan orang
lain diselesaikan secara meminta maaf atau membayar hutang jika ada. Dia
tidak mengulangi kesalahan selepas dia bertaubat. Dia tidak mendekati ruang
yang boleh membawanya kepada kesalahan semula. Bagi kesalahan kepada orang
lain dia perlu mendoakan kesejahteraan untuk orang itu.
Taubat yang lebih mendalam perlu kepada
bimbingan orang arif yang telah melakukan taubat secara khusus. Orang arif
melakukan taubat dengan penuh rasa takut kepada Tuhan. Dilihatnya dosa
seumpama gunung yang akan jatuh ke atas kepalanya. Dia berasa takut dan
lari kepada Tuhan memohonkan keampunan-Nya. Dia takut dicampakkan jauh
daripada Tuhan. Dia takut ‘kehilangan’ Tuhan yang sangat dikasihinya. Dia
takut kehilangan perhatian-Nya, cinta-Nya dan keampunan-Nya. Dia takut
dan malu kerana Tuhan Melihat dan Mendengar segala perbuatan dan tutur
kata lidah serta hatinya. Dia takutkan azab Tuhan yang sangat keras. Ucapan
yang keluar dari mulut orang yang takutkan Tuhan memberi kesan yang mendalam
kepada jiwa orang yang mahu bertaubat. Keadaan takutkan Tuhan itu turut
menguasai jiwa orang berkenaan yang mahu bertaubat itu. Perkataan yang
keluar daripada hati yang bersih dan dibaluti oleh cahaya suci menyinar
pada cermin hati orang yang mendengar. Hati yang menerima pancaran cahaya
suci daripada orang suci akan menjadi jaga dan hidup. Hati yang hidup itu
melakukan taubat dengan sebenar-benarnya.
Orang arif yang mampu membimbing orang
lain memasuki pintu taubat adalah orang yang telah sampai kepada makam
kehampiran dengan Tuhan. Kemudian mereka dihantar balik kepada alam rendah
bagi membimbing orang lain yang berpotensi tetapi masih ada kecacatan dan
kelemahan. Dalam melaksanakan tugas tersebut orang arif berjalan menurut
Sunah Rasulullah s.a.w. Tugas pembimbing kerohanian berbeza daripada tugas
seorang Rasul. Rasul ditugaskan menyampaikan kepada semua orang. Pembimbing
kerohanian tidak mengajarkan semua orang. Mereka hanya mengambil orang-orang
tertentu sahaja, yang dipilih untuk mengikuti latihan intensif bagi menambahkan
bilangan orang arif yang akan berkhidmat kepada orang ramai. Rasul diberi
kebebasan dalam melakukan tugas berdakwah tetapi pembimbing jalan kerohanian
mesti mengikuti jalan rasul, tidak boleh membuat jalan sendiri.
Guru kerohanian
yang mengaku dirinya bebas daripada Sunah Rasulullah s.a.w, mendakwa dirinya
sama dengan nabi, sebenarnya telah jatuh ke dalam kesesatan dan kekufuran.
Guru kerohanian yang benar berpegang teguh kepada prinsip agama yang dibawa
oleh Rasulullah s.a.w, tidak membawa peraturan baharu. Cara penyampaian
mereka boleh jadi berbeza dengan cara Rasulullah s.a.w kerana kebijaksanaan
manusia tidak sama, tetapi perbezaan cara tidak sampai mengubah hukum dan
peraturan. Orang arif yang benar mempunyai ‘kehampiran’ dengan Rasulullah
s.a.w melebihi kehampirannya dengan isteri, anak dan kaum keluarga mereka.
Kehampirannya adalah kehampiran kerohanian yang lebih erat daripada hubungan
darah daging.
Dalam masyarakat Islam sudah ramai orang
alim yang memperkatakan tentang zahir syariat iaitu ilmu fikah. Sebab itu
orang arif lebih menumpukan soal batin iaitu ilmu tasauf yang menumpukan
soal hati. Bidang fikah lebih bersifat umum. Satu fatwa yang dikeluarkan
oleh seorang alim fikah sesuai untuk orang ramai dan kebanyakan keadaan.
Bidang kerohanian bersifat persendirian. Bagi satu orang hanya ada satu
sahaja jalan kerohanian yang sesuai untuknya. Oleh sebab itu guru kerohanian
perlu ada kasyaf yang membolehkannya mengerti kedudukan muridnya. Kearifan
guru lebih diperlukan bagi memandu murid yang didatangi oleh jazbah atau
mendapat gangguan khadam. Hanya guru yang arif mengerti jalan khusus yang
sedang dilalui oleh muridnya dan dia mampu membimbing muridnya menuju matlamat
dengan selamat.
tamansufi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment