Tuesday, November 1, 2011
Jangan Berkira Tambang Haji.
Saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman menunaikan ibadah haji apabila isu kenaikan kadar tambang haji timbul baru-baru ini. Saya teramat bertuah kerana telah menunaikan rukun Islam kelima ini pada usia 22 tahun pada Disember lepas. Lebih bertuah lagi, saya ditaja sepenuhnya oleh ibu yang bermurah hati untuk membawa saya menemaninya menunaikan haji. Walaupun kami mengikuti rombongan pakej swasta dan bukannya muasassah Tabung Haji, pengalaman saya selama sebulan lebih di Tanah Suci memberi peluang untuk membuat penilaian mengenai pengalaman para jemaah lain.
Berbalik kepada isu kenaikan tambang daripada RM8,973 ke RM9,980 yang mencetuskan tidak puas hati kebanyakan pihak, sungguh membuatkan hati saya terkilan dengan sikap tidak bersyukur kebanyakan rakyat Malaysia. Air mata saya menitis mengenangkan betapa mewahnya kita dimanja-manjakan sehingga semakin lama semakin hilang perasaan bersyukur dalam diri kita.
Saya bukan mahu memfokuskan kepada rakyat Malaysia yang berpendapatan terlalu rendah, namun penulisan ini diharap dapat membuka mata mereka yang berkemampuan tetapi lebih suka membazirkan wang ke arah yang kurang penting. Di sini, saya ingin membuat perbandingan antara jemaah muasassah Malaysia dengan para jemaah dari negara lain.
Jemaah dari Indonesia adalah contoh terbaik kerana berkongsi bahasa yang sama. Mereka memberitahu, mereka membayar lebih 30 juta Rupiah untuk menunaikan haji. Pada waktu itu, 30 juta Rupiah bernilai lebih kurang RM14,000 hingga RM15,000. Bayangkan nilai tersebut sudah hampir sekali ganda dengan tambang Tabung Haji pada waktu itu yang bernilai RM8,000 lebih. Ditambah pula dengan mata wang Indonesia yang jauh lebih kecil daripada Ringgit menjadikan jumlah 30 juta Rupiah itu ibarat RM30,000 di mata rakyatnya!
Berbeza dengan amalan di sini, membuat pinjaman atau berhutang untuk menunaikan haji diamalkan di Indonesia dan proses ini diaktifkan oleh bank-bank Indonesia. Jika difikirkan, kepulangan mereka sudah pasti dinantikan oleh bebanan hutang. Namun ini merupakan salah satu usaha kerajaan membolehkan rakyat mereka mengerjakan haji dan menggalakkan rakyat mereka yang muda mengerjakan haji dengan tenaga dan kudrat yang optimum.
Malu
Sayangnya sudah menjadi kebiasaan rakyat kita, haji mungkin akan difikirkan setelah merasakan diri 'dipanggil kubur' atau sudah puas merasai nikmat dunia. Saya berasa malu pada diri sendiri melihatkan tersangat ramai rakyat Indonesia berusia belasan tahun sehingga awal 30-an menunaikan haji. Alasan mereka supaya mereka punya lebih panjang masa untuk melangsaikan hutang haji serta dapat mengabdikan diri tanpa alasan sakit-sakit selalu berbanding usia senja.
Sebagai jemaah haji bersama pakej swasta, jarak hotel kami dari Masjidil Haram, Mekah ialah 200 meter sahaja, sememangnya sesuai untuk berjalan kaki. Manakala jarak maktab para jemaah muasassah pula tidak begitu jauh iaitu 800 meter dari Masjidil Haram. Masih mampu untuk jemaah berjalan kaki atau bagi yang uzur boleh mengupah orang menolak kerusi roda. Manakala di Madinah, hotel kami yang bersebelahan dengan maktab muasassah bertentangan dengan Masjid Nabawi. Masya-Allah, teramat dekatnya! Ingin tahu jarak yang perlu dilalui rakyat Indonesia? Paling hampir dengan Masjidil Haram ialah dua kilometer!
Saya juga pernah bertemu dengan rakyat Indonesia yang tempat penginapannya tujuh dan 10 kilometer dari Masjidil Haram. Dikhabarkan untuk berulang-alik ke masjid, mereka perlu membayar bas atau van untuk menjimatkan perbelanjaan. Kebanyakannya berjalan kaki sejauh itu dari tempat penginapan. Mereka menghabiskan masa sepanjang hari di masjid atau kawasan sekitarnya kerana tidak mungkin mereka dapat pulang ke tempat penginapan untuk beristirahat. Rakyat Malaysia sering dapat pulang ke maktab atau hotel yang cukup selesa untuk berehat dan juga menikmati juadah yang telah disediakan.
Berbeza dengan rakyat Indonesia, setelah membeli peralatan memasak termasuk periuk belanga, mereka bergilir-gilir membeli bahan mentah di pasar dan memasak untuk jemaah mereka. Seorang jemaah Indonesia pernah meluahkan perasaan kepada saya: ''Sudahlah pondoknya buruk bangat (sangat), udah kecapekan (kepenatan) seharian di masjid, pulangnya harus masak. Untung ya jadi orang Malaysia, sering dikasihi pemerintahnya.'' Cuma kata-kata syukur saya ucapkan di dalam hati kerana sesungguhnya saya tidak sanggup untuk melalui pengalaman haji seperti yang dialami oleh arwah nenek saya di era 60-an seperti dialami oleh rakyat Indonesia sekarang.
Menjadi kebiasaan musim haji, ramai yang jatuh sakit terutamanya batuk dan demam. Para jemaah Malaysia baik bersama pakej swasta atau muasassah semuanya di bawah naungan Tabung Haji. Klinik-klinik Tabung Haji disediakan dengan doktor-doktor dan ubat-ubatan percuma tanpa perlu membayar satu sen pun buat rakyat Malaysia. Dek kerana begitu 'mewah' ubat, kelihatan bungkusan ubat-ubatan yang telah diambil pesakit ditinggalkan merata-rata walaupun masih banyak isinya.
Betapa hati pilu apabila melihat rakyat negara lain yang berasal dari India, Pakistan, Eropah Timur dan sebagainya batuk tanpa henti, dan ada yang lelah di masjid, namun hanya meneguk air zam-zam sebagai penawar kerana ketiadaan ubat. Sering dilihat rakyat Malaysia menyedekahkan lozenges atau ubat salap kepada jemaah luar negara dan mereka menerima dengan wajah penuh kelegaan dan kesyukuran. Itu salah satu bukti betapa kita lebih mewah.
Berbalik kepada isu rungutan tentang tambang haji terbaru. Saya tabik kepada pihak Tabung Haji yang bertungkus-lumus memberi subsidi untuk meringankan beban rakyat Malaysia, juga kerana berusaha menyediakan kebajikan terbaik buat para jemaah Malaysia di Tanah Suci. Kewujudan Tabung Haji juga sering dipuji dan dihormati teman-teman di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang berasal dari Kashmir, India, Bosnia, Afrika dan banyak lagi kerana teramat meringankan beban rakyat yang ingin menunaikan haji. Betapa mereka berharap badan seumpamanya wujud di negara mereka agar mereka sekeluarga mempunyai laluan lebih mudah untuk menunaikan ibadah Fardu ini.
Kurangkan Pembaziran
Saya berharap kepada mereka yang suka merungut namun dalam masa sama suka membazir, kurangkanlah berbelanja dan berhutang untuk barang kemas, perabot atau aksesori kereta yang tidak diperlukan. Kurangkanlah juga menukar-nukar telefon bimbit model terkini. Juga dinasihatkan agar lebih mengutamakan menyimpan duit untuk mengerjakan Haji berbanding berulang-alik ke Jakarta, Bandung, China dan Eropah untuk membeli-belah. Ini dapat dilihat dengan fenomena Matta Fair diserbu setiap kali diadakan. Jika anda mampu berbuat demikian kenapa mustahil untuk menyimpan duit untuk mengerjakan haji walaupun telah disubsidi oleh kerajaan?
Anda boleh melancong ke mana anda suka dan mampu setelah menunaikan haji dengan hati yang cukup lapang kerana kewajipan kepada Allah telah terlunas. Jika ada yang sanggup berhabis untuk mengadakan majlis perkahwinan yang hebat untuk menggembirakan pasangan dan mertua, maka rasailah nikmat berhabis tidak terlalu banyak untuk menggembirakan Kekasih Abadi.
Bersyukurlah wahai rakyat Malaysia dengan nikmat yang ada. Haji merupakan ibadah fardu untuk penganut Islam yang berkemampuan. Berkemampuan pada hemat saya ialah berusaha sedaya upaya mengumpul duit daripada punca rezeki yang ada, baik bergaji tinggi atau sederhana. Insya-Allah jika untuk menggembirakan Allah, ia akan tercapai dan dibalas baik berkali ganda.
Percayalah rezeki kita akan bertambah murah setelah menunaikan haji. Ini benar-benar terjadi kepada saya apabila rezeki saya bertambah-tambah daripada pelbagai segi. Alhamdulillah. Jadi anggaplah modal anda untuk haji merupakan pelaburan kecil untuk mendapat imbuhan yang tidak ternilai selain rezeki yang lebih murah, kebahagiaan dan yang paling penting keredaan dan kasih sayang Allah dunia dan akhirat.
HAJAH SURAYA
Ampang, Selangor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment